Tentera Yaman Lancar Serangan Dron Ke Atas Kapal Perang AS Dan Kedudukan Tentera Israel

Tentera Yaman Lancar Serangan Dron Ke Atas Kapal Perang AS Dan Kedudukan Tentera Israel

Tentera Bersenjata Yaman mengumumkan telah melancarkan operasi dron yang menyasarkan sebuah kapal perang milik Amerika Syarikat di Laut Merah serta kedudukan tentera rejim Zionis Israel di wilayah Tel Aviv.

Serangan ini dianggap sebagai tindak balas terhadap kekejaman berterusan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Jurucakap rasmi tentera Yaman, Brigedier Jeneral Yahya Saree dalam kenyataan rasminya pada Rabu berkata, satu serangan berjaya dilancarkan ke atas sasaran ketenteraan Israel di wilayah Jaffa yang diduduki, menggunakan dron dan ia mencapai sasarannya dengan tepat.

“Operasi ini dilaksanakan sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang tertindas dan para Mujahidin yang sedang berjuang, serta sebagai respons terhadap perang genosid yang terus berlangsung ke atas saudara-saudara kita di Gaza,” tegas Saree.

Beliau turut menekankan bahawa rakyat Yaman tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk pencerobohan, dan akan terus berdiri teguh bersama perjuangan rakyat Palestin yang dizalimi.

Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan bahawa beberapa buah dron juga telah dilancarkan ke arah kumpulan kapal perang musuh di kawasan utara Laut Merah, termasuk kapal induk milik tentera laut Amerika Syarikat, USS Harry S. Truman.

Saree mendakwa serangan tersebut mengenai sasaran dengan tepat.

“Tentera Yaman tidak akan sesekali tunduk kepada pencerobohan Amerika. Kami akan meneruskan operasi ketenteraan kami terhadap rejim Zionis sehingga mereka menghentikan perang dan menamatkan sekatan terhadap Gaza,” tambah beliau dengan tegas.

Operasi ini diumumkan sehari selepas saluran Al-Masirah TV melaporkan bahawa serangan udara oleh Amerika Syarikat di bandar pelabuhan Hodeida telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang awam.

Kementerian Kesihatan Yaman sebelum itu mengesahkan bahawa empat kanak-kanak dan dua wanita turut termasuk dalam senarai korban.

Ketegangan di rantau tersebut dijangka terus memuncak susulan tindakan balas daripada pelbagai pihak terhadap tindakan keras Israel ke atas Gaza, serta penglibatan langsung Amerika Syarikat dalam konflik yang semakin mencengkam ini.

Yaman