Dengan penuh keinsafan dan rasa dukacita yang mendalam, kita merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, yang telah menghembuskan nafas terakhir pada 14 April 2025 bersamaan 15 Syawal 1446H.
Pemergian beliau bukan sekadar kehilangan seorang tokoh negara, bahkan satu gugurnya bintang dari langit sejarah bangsa — bintang yang menyuluh jalan dengan cahaya keikhlasan, kejujuran dan kasih terhadap rakyat serta agamanya.
Tun Abdullah, atau Pak Lah dalam sebutan penuh mesra, adalah lambang kepimpinan yang mendamaikan.
Dalam kegawatan zaman dan kecamuk politik, beliau tampil bukan dengan gelegak suara atau tikaman kata, tetapi dengan sejuknya jiwa, teduhnya akal dan beningnya hati.
Ketenangannya adalah kekuatan, dan diamnya mengandungi hikmah.
Dalam dunia yang semakin lantang dan kasar, beliau mengajarkan kita makna keberanian dalam kelembutan, ketegasan dalam kesantunan, dan kekuatan dalam kebijaksanaan.
Keperibadian beliau tidak tumbuh dari ruang kosong.
Ia berakar dari susur galur yang mulia — datuknya, Tuan Guru Haji Abdullah Fahim, adalah ulama besar yang pernah menjadi Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama, seorang murabbi umat yang disegani, penentu tarikh kemerdekaan yang penuh barakah.
Ayahandanya pula, Ahmad Badawi, merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS yang pertama, mewakili semangat juang Islam yang menyala dalam dada pemuda-pemuda watan.
Maka dari darah dan didikan itulah, Pak Lah dibentuk — seorang teknokrat Islami, seorang pemimpin yang menjunjung warisan ruhani.
Sebagai anak watan yang diasuh dengan ilmu dan nilai, Tun Abdullah menuntut di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Islam.
Tidak hairanlah apabila beliau memegang tampuk pemerintahan, pendekatannya terhadap Islam bukanlah bersifat kosmetik atau politik semata, tetapi sebagai roh yang menyerap dalam dasar dan tindakan.
Antara sumbangan terbesarnya ialah memperkenalkan program J-QAF pada tahun 2005 — sebuah gagasan pemulihan pendidikan Islam yang menyeluruh dan futuristik.
Di bawah program ini, pengajaran Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain dimartabatkan kembali dalam sistem pendidikan kebangsaan, melahirkan generasi yang bukan sekadar celik huruf al-Quran, tetapi menghayatinya sebagai panduan hidup.
Inilah antara legasi teragung beliau kepada pendidikan Islam di negara ini, yang akan terus hidup dan berkembang di bawah langit Malaysia.
Dalam kepemimpinannya, beliau membawa gagasan Islam Hadhari, yang meskipun menerima pelbagai tanggapan, hakikatnya lahir daripada tekad dan kesungguhan beliau untuk menjadikan Islam sebagai asas pembangunan bangsa yang progresif, bertamadun dan seimbang.
Beliau memperkukuh institusi Islam secara tenang tetapi tegas, dan meletakkan nilai keimanan dalam struktur pentadbiran awam.
Walaupun PAS berbeza pandangan dengan beliau dalam banyak perkara, namun kita tidak pernah menafikan bahawa Allahyarham merupakan seorang tokoh besar yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan Islam di Malaysia.
Beliau telah memperlihatkan bahawa membawa nilai Islam dalam pentadbiran negara bukanlah suatu yang mustahil — bahkan boleh dilaksanakan dengan pendekatan berhikmah dan bersifat menyatukan.
Beliau juga adalah seorang pemimpin yang bersih daripada kontroversi, yang menjunjung maruah dan kesantunan dalam politik dan kehidupan peribadi.
Tun Abdullah bukan seorang yang gemar menuding, bukan seorang yang membakar jambatan silaturahim.
Beliau tidak membina kemegahan di atas kejatuhan orang lain, tetapi mengangkat nilai dalam diam, membina negara dengan hikmah, dan mendidik melalui contoh.
Pemimpin seperti ini bukan sahaja sukar dicari, bahkan amat dirindui tatkala negara kini ketandusan teladan yang luhur.
Maka dengan rasa rendah hati dan linangan doa, kita memohon kepada Allah SWT agar Allahyarham diampunkan segala dosanya, diluaskan kuburnya, dan diangkat ke darjat tertinggi di sisi-Nya.
Semoga segala amalnya diterima, segala khidmatnya dicatat sebagai amal soleh, dan segala warisannya menjadi bukti cinta beliau kepada agama, bangsa dan negara.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ. وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَنَجِّهِ مِنَ النَّارِ.
Hayatilah bait puisinya yang pernah menyingkap isi jiwanya yang halus dan mendalam:
“Ku cari damai abadi
Di hujung sejadah sepi
Pada sujud yang panjang
Ku letakkan seluruh resah
Pada Tuhan yang Maha Mengerti…”
Hari ini, pencarian itu telah berakhir. Semoga Pak Lah benar-benar telah bertemu damai abadi yang selama ini dicari.
AHMAD FADHLI SHAARI