Tekanan Luar Terhadap Hizbullah: Arab Saudi Dan AS Terus Mengawal Situasi Di Lubnan

Tekanan Luar Terhadap Hizbullah: Arab Saudi Dan AS Terus Mengawal Situasi Di Lubnan

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, melakukan lawatan diplomatik ke Beirut dalam usaha meneruskan tekanan luar terhadap gerakan Hizbullah, selaras dengan peranan aktif Timbalan Utusan Khas Amerika Syarikat ke Asia Barat, Morgan Ortagus, yang telah lama menyasarkan kumpulan tersebut.

Pemerhati politik serantau menyifatkan lawatan Bin Farhan sebagai satu misi susulan untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa kerajaan baharu Lubnan sedang bergerak ke arah melaksanakan “pembaharuan”, khususnya berkaitan usaha melucutkan senjata Hizbullah – satu tuntutan yang kini diberi had masa dan tidak lagi terbuka tanpa had.

Fokus utama lawatan beliau tertumpu kepada tindakan tentera Lubnan di kawasan selatan dan utara Sungai Litani, di mana tentera dikerahkan bagi memantau aktiviti bersenjata yang dikaitkan dengan Hizbullah.

Sumber diplomatik mendedahkan bahawa Washington dan Riyadh secara prinsipnya tidak membantah cadangan Presiden Michel Aoun untuk mengadakan dialog dengan Hizbullah berkaitan isu senjata pertahanan, dengan syarat perbincangan itu tidak digunakan untuk mengukuhkan kedudukan Hizbullah.

Pendekatan ini berbeza dengan sikap keras sesetengah pihak dalam negara seperti parti Lebanese Forces pimpinan Samir Geagea yang menuntut perlucutan senjata secara paksa terhadap Hizbullah.

Dalam satu kenyataan di Doha selepas pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Aoun menegaskan bahawa “keputusan untuk menyerahkan kawalan senjata hanya kepada negara telah pun dibuat, dan pelaksanaannya akan dijalankan melalui dialog, bukan dengan kekerasan.”

Presiden Aoun turut menekankan keperluan merangka strategi keselamatan negara yang mampan, yang daripadanya bakal lahir strategi pertahanan kebangsaan.

Beliau juga menegaskan bahawa isu normalisasi dengan Israel tidak pernah dibangkitkan, dan Lubnan akan terus berpegang kepada ketetapan Sidang Kemuncak Beirut dan Persidangan Riyadh berkaitan hubungan dengan Israel.

Sementara itu, Perdana Menteri Nawaf Salam, atas permintaan Arab Saudi, turut mengadakan lawatan mengejut ke Damsyik.

Beliau dilaporkan bertemu dengan ketua rejim Hayat Tahrir al-Sham, Abu Muhammad al-Julani, yang juga dikenali sebagai Ahmad al-Sharaa.

Salam disertai oleh Menteri Pertahanan Michel Menassa, Menteri Dalam Negeri Ahmad Hajjar dan Menteri Luar Negeri Youssef Raji.

Difahamkan, bulan lalu Menteri Pertahanan Lubnan juga telah bertemu dengan rakan sejawatnya dari Syria di Jeddah bagi membincangkan isu kawalan sempadan, penyeludupan, sempadan laut dan darat, serta kerjasama keselamatan termasuk nasib tahanan pengganas Syria di penjara Lubnan yang terlibat dalam beberapa siri serangan ke atas rakyat Lubnan.

Laporan Program Makanan Sedunia (WFP) pula menyatakan bahawa sejak awal April, lebih 30,000 pelarian Syria telah memasuki kawasan Akkar dan wilayah Utara Lubnan, sekali gus menambah beban kepada negara yang sedang berdepan kekurangan bekalan asas.

Pelarian ini kini ditempatkan di masjid, dewan komuniti dan rumah-rumah persendirian. Namun 25 pusat perlindungan baharu yang dibuka dijangka ditutup dalam tempoh dua bulan akibat kekurangan dana luar.

Sepulangnya dari Syria, Perdana Menteri Salam telah mengadakan pertemuan dengan Putera Faisal bin Farhan bagi memaklumkan hasil lawatannya, termasuk tindakan kontroversi beliau yang didakwa telah menjemput Julani untuk melawat Beirut – satu langkah yang dilihat menimbulkan pelbagai reaksi di dalam dan luar negara.

Situasi di Lubnan terus bergolak, dengan tekanan luar semakin meningkat dan kepimpinan negara terpaksa mengimbangi antara tuntutan antarabangsa dan realiti politik serta keselamatan domestik yang amat kompleks.

Arab Saudi