Kenapa Umno Terengganu Bersungguh Mahu Menjatuhkan Kerajaan Terengganu Pimpinan PAS?

Kenapa Umno Terengganu Bersungguh Mahu Menjatuhkan Kerajaan Terengganu Pimpinan PAS?

Umno Terengganu boleh kalau kita mahu kategorikan sebagai Umno yang terlemah dalam kalangan semua Umno di Malaysia.

Jawatan tertinggi yang diperolehi oleh Umno Terengganu di dalam Majlis Tertinggi Umno ialah Naib Presiden pada zaman Tan Sri Dato Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad 1987.

Selepas itu tiada dari Umno Terengganu yang berjaya ke posisi itu.

Dalam PRU-11, 2004, setelah kemenangan besar Umno Terengganu mengambil semula Terengganu 28-4, hanya ada seorang dari Ahli Parlimen Terengganu yang diangkat menjadi menteri.

Itupun beliau bukanlah politikus sejati Umno Terengganu, Dr Abdullah Mohd Zin, Besut.

Dua orang dilantik menjadi Timbalan Menteri, Tengku Putera Tengku Awang dan Dato’ Abdul Rahman Bakar.

Tengku Putera kemudiannya digugurkan dari jawatannya dalam kabinet kedua Pak Lah dikatakan kerana prestasi.

Sedangkan pada tahun yang sama, Perlis yang hanya ada tiga Ahli Parlimen, dua daripadanya dilantik menjadi menteri penuh.

Sehinggakan dari Kelantan, nama-nama yang masih segar dalam fikiran kita seperti Tengku Razaleigh, Annuar Musa, Mustaffa Mohamad, Awang Adik, malahan Ibrahim Ali juga jauh lebih terkenal dari Man Bakar yang digelar ‘The Giant Killer’ kerana pernah dua kali menewaskan Presiden PAS di Marang.

Walaupun sering kalah, paling kurang, Umno Kelantan masih mendapat dua menteri penuh.

Melihat kepada bagaimana Umno Terengganu menerajui Terengganu selama puluhan tahun, tidak banyak kemajuan yang dikecapi Terengganu.

Walaupun bangga digelar ‘Kuwait’ Malaysia, tetapi lebih terhina apabila rakyatnya dinobatkan sebagai kedua termiskin di Malaysia pada 1978 hingga 1999.

Keretapipun tak wujud selepas yang di Bukit Besi dahulu.

Ugutan seperti tidak akan mendapat geran tanah jika tidak mengundi Umno adalah irama yang sudah lali sampai ke telinga rakyat, setiap kali PRU.

Biasanya majlis gimik mahu memberikan geran tanah sewaktu kempen PRU, adalah babak-babak ugutan.

Rakyat adakalanya terpaksa menunggu puluhan tahun walaupun sudah begitu lama tanah diusahakan.

Bantuan juga terpilih diberikan. Jika culaan B, maka jangan diharap untuk mendapatkan bantuan.

Mungkin ada JKKK atau penghulu yang sedikit mempunyai rasa kemanusiaan, lalu dibantunya. Majoritinya, tidak.

Terpaksalah pengundi culaan B ini dibantu oleh PAS dengan mengutip bantuan sini dan sana dari masyarakat yang perihatin sanggup membantu.

Setiap kali projek mega, pasti akan ada ‘hanky panky’.

LPT2, lambat siap satu hal, kontraktor tempatan lari, kos bertambah sekali ganda, guna duit negeri.

Di mana kecerdikan pimpinan Umno?

Perwaja dan banyak lagi projek yang gagal ada yang berjumlah bilion RM setiap satu. GLC sentiasa rugi.

Jika ditulis ia hanya mengulang-ulang cerita lama. Tetapi ia perlu disebut, bagaikan sejarah yang lain, agar menjadi panduan masa depan.

Dengan kesombongan orang Umno dipelbagai peringkat terutama kepada yang bukan orang mereka, akhirnya membuahkan kecelakaan kepada mereka sendiri.

Anak-anak Terengganu mulai sedar terutama setelah 1999 dimana PAS boleh mentadbir negeri dengan baik walaupun royalti disekat.

Tanah-tanah dibahagi kepada rakyat dengan memudahkan cara.

Dengan menipu mereka menang semula 2004.

Tetapi benarlah kata orang, apabila ada kalangan yang dizalimi berdoa, maka doa mereka tiada hijab.

Selama tiga penggal 2004-2018, Umno Terengganu hanya berkelahi sesama mereka merebut jawatan.

Tiga MB saling tendang menendang. Sehingga ada yang mengugut bunuh.

Ada tanah melayu jatuh kepada bangsa lain di Kuala Berang, Paka. Jumlah tanah rezab melayu juga berkurang.

Rakyat berpaling sekali lagi kepada PAS, setelah Umno sudah tidak berdaya menipu lagi dan kebencian rakyat sudah ke tahap maksima.

Umno benar-benar dihumban semasa PRU-15 kerana terbukti, dengan wang royalti dalam penggal ke-14, Dr Sam berjaya merealisasikan keperluan rakyat secara tepat dan berhemah dengan pembangkang menerima peruntukan yang sama.

Sungguh berbeza dengan Umno dahulu.

Terengganu semakin terkenal kerana Dr. Sam dan idea kemajuannya serta kesaksamaan.

Sekarang apabila Terengganu mahu mencari sumber sendiri, mengurangkan kebergantungan dengan petroleum, Umno Terengganu mengejek, mendakwa PAS cuba menipu rakyat. Mereka bimbang ia menjadi nyata.

Kemanisan kuasa itu menjadikan mereka seperti orang sewel untuk merampasnya semula.

Menjanjikan segalanya kepada rakyat yang sudah dibuktikan mereka gagal ketika berkuasa puluhan tahun dahulu.

Duit simpanan royalti waktu mereka mentadbir juga entah di mana.

Berbanding Sarawak yang ada simpanan berbilion RM.

Lihat sahaja apabila mereka mendapat kuasa semula secara ihsan oleh PH yang diketuai DAP, perangai lama mereka timbul kembali.

Ketawa mereka dengan lelucon Nga berkaitan solat hajat. Ugut rakyat.

Dulu, menggunakan nama Allahpun Presiden mereka sanggup bersumpah dan menipu, kamu fikir penipuan kepada rakyat mereka tidak sanggup?

Mereka mahukan rakyat kembali menjadi bodoh seperti zaman mereka berkuasa dahulu, bagaikan abdi, menurut sahaja kehendak mereka.

Sedangkan Dr. Sam mahu membawa rakyat keluar dari kepompongan kedunguan dan sama-sama menyingsing lengan bekerja memajukan negeri.

Itu sahajalah ‘standard’ pemikiran Umno Terengganu.

Patutlah mereka juga dipandang tiada nilai dalam kalangan Umno Malaysia.

Mohd Nasir Abdullah

UMNO