Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah melakar sejarah dalam bidang perubatan negeri ini apabila berjaya melaksanakan prosedur pembedahan otak kompleks secara sedar atau awake craniotomy buat pertama kalinya di Terengganu, menjadikannya satu pencapaian penting dalam arena neurosurgeri tempatan.
Pembedahan yang dijalankan pada 29 Jun lalu itu melibatkan seorang wanita berusia 33 tahun yang mengalami sawan fokal, kelemahan otot muka dan gangguan pertuturan.
Hasil imbasan MRI menunjukkan terdapat ketumbuhan (tumor) di lobus frontal kiri otak pesakit, berhampiran kawasan yang mengawal fungsi pertuturan — menjadikan prosedur ini amat berisiko jika tidak dilakukan dengan pendekatan tepat.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, kaedah pembedahan secara sedar dipilih bagi mengelakkan sebarang kerosakan neurologi yang boleh berlaku sekiranya kawasan otak kritikal terjejas.
“Dengan membenarkan pesakit berada dalam keadaan sedar semasa pembedahan, pasukan perubatan dapat memantau secara langsung keupayaan pertuturan dan pergerakan pesakit, sekaligus meningkatkan keselamatan dan kejayaan prosedur,” jelas beliau dalam kenyataan rasmi pada Rabu.
Pembedahan berprofil tinggi ini adalah hasil usaha kolaboratif pelbagai jabatan di HSNZ termasuk Jabatan Bedah Saraf, Anestesiologi, Neurologi, Psikiatri dan Radiologi, serta mendapat sokongan teknikal dan kepakaran dari Hospital Sungai Buloh.
Dr Kasemani turut memaklumkan bahawa sesi latihan dan persediaan praoperasi yang teliti telah diadakan bersama pesakit bagi mengurangkan tekanan emosi dan memastikan pesakit bersedia secara mental untuk terlibat aktif sepanjang pembedahan.
“Pesakit diberikan bius setempat dan ubat penenang sebelum dibawa ke fasa sedar, membolehkan penilaian langsung terhadap pertuturan dan pergerakan semasa proses pembuangan tumor.
“Pakar bedah saraf kemudiannya menggunakan teknologi mikroskopik dan sistem panduan imej (IGS) untuk membuang ketumbuhan dengan tepat dan selamat,” tambah beliau.
Prosedur tersebut berjaya dilaksanakan tanpa sebarang komplikasi dan pesakit telah dibenarkan pulang dua hari kemudian dalam keadaan stabil, bebas daripada sawan serta tidak mengalami sebarang kecacatan neurologi.
“Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan HSNZ dalam menjalankan prosedur pembedahan otak kompleks, bahkan menjadi penanda aras baharu kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam mengukuhkan kepercayaan terhadap kepakaran tenaga pakar tempatan,” ujar Dr Kasemani.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang terlibat atas komitmen tinggi, kepakaran dan semangat kerja berpasukan yang menyumbang kepada kejayaan luar biasa ini.
Dengan pencapaian ini, HSNZ kini berada di landasan yang lebih kukuh untuk terus memperluaskan keupayaan neurosurgeri dan menyumbang kepada perkembangan perkhidmatan kesihatan canggih di peringkat negeri dan nasional.