— Suara seorang ayah dari Qom, Iran.
Perang terbaru antara Iran dan Israel yang disokong Amerika Syarikat kini menjadi titik perubahan besar dalam geopolitik Asia Barat.
Apa yang dijangkakan Washington dan Tel Aviv sebagai jalan mudah untuk melumpuhkan Republik Islam Iran kini berubah menjadi bencana strategik yang menyatukan rakyat Iran lebih kuat dari sebelumnya.
Ketika Amerika dan Israel menyasarkan tokoh-tokoh utama ketenteraan dan saintis nuklear Iran dalam jam-jam awal perang, mereka menyangka serangan itu akan mencetuskan kekacauan politik dan kebangkitan rakyat menentang pemerintah.
Malah, mereka berharap usaha ini akan menghancurkan institusi negara dan membuka jalan kepada perubahan rejim.
Namun, telahan mereka silap besar.
Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, bertindak pantas dan tegas.
Dalam masa hanya beberapa jam selepas serangan bermula, beliau mengarahkan pelantikan komander baru dan menyusun semula struktur pertahanan negara.
Arahan dikeluarkan secara langsung dari bilik peperangan dan tindakan balas segera pun dilaksanakan — siri serangan balas pertama menghujani wilayah Palestin yang dijajah seawal hari pertama perang.
Dalam tempoh hanya 12 hari, lebih 22 gelombang peluru berpandu dan dron Iran menghentam sasaran tentera di Israel.
Bandar seperti Tel Aviv dan Haifa yang selama ini kebal, akhirnya merasai beban perang yang selama ini hanya ditimpakan ke atas rakyat Palestin, Syria dan Lubnan.
Lebih mengejutkan, pemimpin-pemimpin kanan Iran seperti Presiden, Speaker Parlimen dan Ketua Kehakiman yang telah disasarkan dalam satu cubaan pembunuhan oleh Israel, tetap muncul di hadapan rakyat, menyampaikan ucapan dan memimpin negara dalam suasana darurat.
Sementara itu, cubaan Benjamin Netanyahu untuk memecah-belahkan rakyat Iran ternyata memakan diri.
Dalam mesej kepada rakyat Iran, beliau merayu agar rakyat bangkit menentang pemerintah mereka.
Tetapi bagi rakyat Iran yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai terhadap 60,000 rakyat Palestin sepanjang dua tahun kebelakangan ini, rayuan itu hanyalah satu bentuk penghinaan.
Di Qom, seorang ayah kepada remaja 16 tahun yang terkorban akibat serangan udara Israel memberikan mesej yang menyentuh jiwa seluruh negara.
Dalam siaran langsung televisyen nasional, beliau menyatakan:
“Saya telah merancang untuk menjual tanah demi masa depan anak saya. Kini, anak saya telah syahid.
“Saya mahu nilai tanah itu disumbangkan kepada kerajaan. Saya tidak tahu berapa peluru berpandu boleh dihasilkan daripada wang itu, tapi walau satu pun cukup — gunakan ia untuk menghentam jantung Israel.”
Ayah ini bukan bersendirian.
Suasana di Iran menyaksikan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat memberikan sokongan terbuka kepada kerajaan mereka dalam menghadapi agresi Zionis.
Sentimen anti-Israel meningkat ke tahap luar biasa, bukan kerana propaganda pemerintah, tetapi kerana realiti kekejaman yang mereka alami sendiri.
Peluru berpandu kini menjadi simbol maruah dan kedaulatan
Bagi Iran, peluru berpandu bukan lagi sekadar senjata, tetapi manifestasi prinsip kedaulatan yang tidak boleh diganggu gugat.
Dalam suasana dunia yang penuh dengan pengkhianatan diplomatik dan pencerobohan unilateral, kebolehan untuk bertindak balas — walau dengan kos tinggi — kini menjadi bahasa politik yang difahami oleh musuh dan sekutu.
Dan kini, di tengah abu-abu kehancuran dan kehilangan, suara seorang ayah dari Qom bergema menjadi simbol semangat satu negara:
“Anak saya telah pergi, tapi semangatnya akan hidup dalam setiap peluru berpandu yang membela maruah umat.”