Situasi politik semasa di Pahang semakin menunjukkan perbezaan dalam gabungan parti Kerajaan MADANI, khususnya antara UMNO dan DAP, dari segi dasar, pendekatan, dan keutamaan dalam pentadbiran negeri.
Keadaan ini sama dengan yang sedang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan.
Perbezaan ini menjejaskan hala tuju pentadbiran negeri secara menyeluruh, dan akibatnya ditanggung oleh rakyat Pahang.
Contoh paling ketara ialah isu pencerobohan tanah secara haram di Raub yang memperlihatkan pertembungan pendirian antara pemimpin UMNO dan DAP.
Meskipun kedua-dua parti tersebut merupakan komponen Kerajaan Negeri Pahang, mereka gagal mencapai kata sepakat dalam menangani isu yang memberi kesan besar terhadap kelestarian alam sekitar, hak milik tanah, dan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
Keadaan ini memberi gambaran jelas bahawa kegagalan mencapai kesepaduan dalam pentadbiran menyebabkan dasar terganggu dan pembangunan terbantut.
Hubungan yang tidak serasi antara komponen kerajaan telah mengalih tumpuan daripada keutamaan rakyat kepada konflik dalaman.
Kesan di lapangan dapat dirasai apabila pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti pembinaan dan pembaikan jalan raya, bekalan air serta sistem pengangkutan luar bandar masih membebani masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman.
Beberapa projek perumahan rakyat turut dilaporkan lewat daripada jadual, menimbulkan ketidakpuasan hati penduduk.
Masih terdapat ratusan projek infrastruktur yang belum memasuki fasa pembinaan, dan mengalami kelewatan pelaksanaan seperti dilaporkan oleh agensi berkaitan.
Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan kelemahan dalam pengurusan projek negeri seperti Taman Maritim Tanjung Agas di bawah PKNP, yang memperlihatkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan sehingga menyebabkan pembaziran dan kerugian pelaburan.
Rakyat pula terus ditekan dengan kos sara hidup yang meningkat, peluang pekerjaan yang terhad, serta jurang ekonomi yang semakin melebar.
PAS dan Perikatan Nasional (PN) Pahang kini bersedia tampil sebagai alternatif yang lebih tersusun, inklusif dan berprinsip.
Pasukan Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS–PN yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan pendidikan telah menunjukkan komitmen terhadap isu rakyat dengan membawa perbahasan berasaskan fakta, cadangan bernas dan solusi yang realistik.
Melalui inisiatif “Teraju Pahang”, PAS–PN komited membawa gelombang perubahan dalam politik negeri dengan tawaran kepimpinan yang berintegriti, bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan berkeupayaan melaksanakan pentadbiran yang efisien.
Gagasan ini dibina atas asas prinsip Islam, keutamaan rakyat dan kesediaan pentadbiran.
Rakyat Pahang berhak mendapat kerajaan yang benar-benar mendengar keluhan mereka, memahami realiti hidup mereka, dan bersedia bertindak dengan berani dan bijaksana.
PAS–PN percaya bahawa masa depan Pahang harus dipimpin oleh barisan yang ikhlas, telus dan fokus terhadap kesejahteraan rakyat — bukan oleh kerajaan yang terus bercelaru dengan percanggahan dalaman serta agenda peribadi.
Maka, inilah masanya untuk “Teraju Pahang” disambut oleh rakyat demi masa depan yang lebih sejahtera, stabil dan terjamin.
Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
