Rasulullah SAW membuktikan mukjizat ilmu daripada al-Quran dan Hikmah (kebijaksanaan) dalam mentafsirkannya. Firman Allah SWT:
رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيهِمۡۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ١٢٩
“Wahai Tuhan Kami! Utuskanlah kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka akan ayat-ayat Engkau (firman-Mu) dan mengajarkan kepada mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta al-Hikmah (Sunnah) dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Baqarah: 129]
Nabi Ibrahim AS dan Nabi Isma‘il AS berdoa supaya lahir daripada zuriat mereka seorang Rasul yang bijak, iaitu Nabi Muhammad SAW yang lahir dalam kalangan bangsa Arab yang berpandukan wahyu Allah.
Allah SWT berfirman kepada bangsa Arab:
لَقَدۡ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذۡ بَعَثَ فِيهِمۡ رَسُولٗا مِّنۡ أَنفُسِهِمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٍ ١٦٤
“Sungguh, Allah telah memberi kurniaan kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus antara mereka seorang Rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah. Dan sesungguhnya, sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” [Surah Ali ‘Imran: 164]
Sepatutnya mereka bersyukur atas ni‘mat Islam dan kemenangan yang diperoleh melalui Islam bersama Rasulullah SAW yang dipilih daripada bangsa mereka sendiri.
Malangnya, mereka menjadi leka bersama hasil yang diperoleh daripada harta kemenangan, kuasa, hinggalah takhta.
Sehinggakan, mereka meninggalkan ilmu Islam dan ilmu dunia yang sepatutnya berpandukan Islam yang telah berjaya menjadikan Islam kuasa besar yang bertamadun.
Akibatnya, mereka menjadi jahil dalam aspek agama.
Walaupun kaya raya dan bertakhta, mereka lemah dan hina sehingga menjadi hamba dan khadam kepada musuh. Khalifah ‘Umar RA pernah menegaskan:
نَحنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِالإِسْلَامِ، فَمَهمَا ابتَغَينَا العِزَّةَ بِغَيرِ مَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ.
“Kita ialah kaum yang diberikan kemuliaan dan keperkasaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam (dengan meninggalkan Islam), nescaya kita akan dihina oleh Allah.” [Al-Hakim al-Naysaburi, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, jld. 1, hlm. 61]
Namun begitu, Allah tetap meninggikan Islam dengan menjadikan kaum lain yang menganut Islam mengambil alih tugas berjuang mempertahankan Islam sehingga beberapa abad lamanya. Firman Allah SWT:
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang kikir; dan siapa yang kikir, sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua Tuhan yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]
Malah, bangsa Arab juga yang menjatuhkan kerajaan Islam apabila kalangan yang jahil di padang pasir mengambil alih kekuasaan untuk menjadi pemimpin Arab, sepertimana yang disebut oleh firman Allah SWT:
ٱلۡأَعۡرَابُ أَشَدُّ كُفۡرٗا وَنِفَاقٗا وَأَجۡدَرُ أَلَّا يَعۡلَمُواْ حُدُودَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ ٩٧ وَمِنَ ٱلۡأَعۡرَابِ مَن يَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ مَغۡرَمٗا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ ٱلدَّوَآئِرَۚ عَلَيۡهِمۡ دَآئِرَةُ ٱلسَّوۡءِۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٞ ٩٨ وَمِنَ ٱلۡأَعۡرَابِ مَن يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَيَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ قُرُبَٰتٍ عِندَ ٱللَّهِ وَصَلَوَٰتِ ٱلرَّسُولِۚ أَلَآ إِنَّهَا قُرۡبَةٞ لَّهُمۡۚ سَيُدۡخِلُهُمُ ٱللَّهُ فِي رَحۡمَتِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٩٩
“Orang-orang Arab Badwi itu, lebih sangat kekafiran dan kemunafiqannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada rasul-Nya. Dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. (97)
“Antara orang-orang Arab Badwi itu, ada yang memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah), sebagai suatu kerugian, dan dia menanti-nanti marabahaya menimpamu, merekalah yang akan ditimpa marabahaya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (98)
“Antara orang-orang Arab Badwi itu ada yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan memandang apa yang dinafkahkannya (di jalan Allah) itu, sebagai jalan untuk mendekatkannya kepada Allah dan sebagai jalan untuk memperoleh doa rasul. Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri (kepada Allah). Kelak Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat (syurga)-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (99)” [Surah al-Tawbah: 97-99]
Akhirnya, kumpulan Badwi yang jahil dan papa mengambil kuasa menjadi pemimpin.
Merekalah yang disifatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:
… وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ…
“(Antara tanda akhir zaman itu) kamu akan melihat mereka yang terdiri daripada penggembala kambing dan unta yang miskin tidak berpakaian lengkap, tiba-tiba menjadi kaya raya dan berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 8, daripada ‘Umar bin al-Khattab]
Malah, mereka juga terlibat dalam pembunuhan para khalifah yang adil, para sahabat dan ulama’ tabiin yang menjadi pewaris para anbiya’.
Pada zaman mutakhir, mereka boleh dipergunakan oleh musuh Islam bagi menjatuhkan kerajaan Islam dengan diberikan kuasa, takhta dan harta oleh musuh yang menjajah itu.
Melalui pelaksanaan Perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916, pemimpin-pemimpin Arab yang menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah telah menerima pembahagian wilayah ‘Uthmaniyyah oleh musuh-musuh Islam.
Mereka juga menjadikan hari kejatuhan ‘Uthmaniyyah sebagai hari kebangsaan negara masing-masing.
Negara-negara yang dipecahkan itu dijadikan laksana lembu susuan yang diperah hasilnya dan dijaga oleh pangkalan-pangkalan tentera penjajah yang diadakan di setiap negeri itu.
Adapun Palestin diserahkan kepada Yahudi Zionis bagi menubuhkan negara haram Israel, termasuk di dalamnya Masjid al-Aqsa yang merupakan salah satu daripada tanah suci umat Islam.
Hilangnya kuasa besar Islam yang dijatuhkan oleh mereka sendiri, sehingga mengakibatkan Palestin dan Masjid al-Aqsa berjaya ditakluki.
Rasulullah SAW menjanjikan kelahiran kumpulan Islam yang berjuang melalui sabdanya:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.
“Masih ada dalam kalangan umatku satu kumpulan yang zahir terbuka menegakkan Islam yang tidak boleh dihapuskan oleh kalangan yang mengecewakan mereka, melainkan mereka menghadapi kesusahan namun akhirnya datang pertolongan Allah (memberi kemenangan kepada kumpulan Islam).”
قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?”
قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.
Baginda menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan di sekeliling Bait al-Maqdis.” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]
Sejak penubuhan negara haram Israel, kumpulan ini diwujudkan.
Mereka telah dikecewakan oleh kumpulan yang menerima habuan untuk menjatuhkan Kerajaan ‘Uthmaniyyah.
Sehinggakan para ulama’ dan pemimpin Islam yang berjuang, mereka dihapuskan dengan dibunuh, dipenjarakan, dan dibuang ke negara asing.
Malah, ada yang diambil alih oleh kumpulan Arab sekular yang menerima penubuhan dua negara (two-state solution) bagi Palestin, dan mengadakan normalisasi dengan Israel melalui perjanjian damai yang ditaja oleh Barat dan diterima oleh negara-negara Arab dan Islam di bawah pengaruhnya.
Sedangkan pendekatan itu ditolak oleh Zionis kerana bercanggah dengan perjuangan mereka.
Cadangan itu laksana gula-gula untuk menipu supaya dapat memberi keamanan kepada Israel.
Namun, strategi menipu ini gagal dan kumpulan Islam bernama Hamas dan Tanzim Jihad terus hidup dan bertambah kuat.
Mereka bergerak di bumi Palestin disertai oleh kumpulan Islam di sekelilingnya dengan pelbagai jenama.
Demikian juga kemunculan negara Republik Islam Iran yang menjatuhkan Kerajaan Shah yang berpihak kepada Israel.
Namun demikian, musuh-musuh Islam mengambil pendekatan menggunakan jenama demokrasi bagi membeli rakyat Palestin melalui pilihan raya.
Hamas menyertai pilihan raya lalu memperoleh kemenangan mendapat majoriti bagi menubuhkan kerajaan, namun Hamas tidak dibenarkan dan dihalang daripada menyertai Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur selepasnya.
Apabila Hamas menubuhkan kerajaannya di Gaza, kerajaannya tidak diiktiraf, sebaliknya dilakukan kepungan politik, ekonomi, media, dan diakhiri dengan ketenteraan.
Apabila Hamas dengan sokongan semua kumpulan berjaya memecahkan kepungan dengan Operasi Taufan al-Aqsa yang menembusi kekebalan tentera Israel yang gagal dilakukan oleh mana-mana negara Arab.
Tiba-tiba, seluruh bala tentera bersekutu daripada Amerika Syarikat dan Eropah ikut serta membantu Israel sehingga melampaui undang-undang antarabangsa dan tidak bersifat kemanusiaan.
Gaza dikepung dengan pelbagai senjata dan diancam dengan kelaparan, sehingga menarik simpati dari seluruh pelosok dunia, namun masing-masing ada yang mengecewakan dan yang paling menyedihkan apabila dalam kalangan jiran dan saudara mereka yang terdekat tidak membantu.
Merekalah yang disifatkan oleh Allah paling kufur ni‘mat dan aqidah kerana dikurniakan kekayaan tetapi masih berwala’ kepada musuh Allah.
Malah, mereka dapat bernegara kerana mendapat bahagian atas jasa mereka menjatuhkan kuasa besar Islam dan negara Islam yang sewaktu dengannya.
Benarnya sabda Rasulullah SAW yang bijak mentafsirkan ayat Allah.
Namun begitu, bersamanya umat Islam daripada seluruh dunia yang dijanjikan kemenangan pada akhirnya.
Maka, benarlah firman Allah SWT:
إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٞ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٞ مِّثۡلُهُۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُهَدَآءَۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٤٠ وَلِيُمَحِّصَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَمۡحَقَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ١٤١ أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَعۡلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ مِنكُمۡ وَيَعۡلَمَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ١٤٢
“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itu pun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami gilirkan antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. (140)
“Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (daripada dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. (141)
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar. (142)” [Surah Ali ‘Imran: 140-142]
Mereka yang mengecewakan akan dibinasakan di dunia dan di akhirat kelak.
Termasuklah kalangan mereka yang tidak percaya kepada janji Allah seperti kalangan munafiq dalam peristiwa Ahzab pada zaman Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا ٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ ١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا ١١ وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا ١٢ وَإِذۡ قَالَت طَّآئِفَةٞ مِّنۡهُمۡ يَـٰٓأَهْلَ يَثۡرِبَ لَا مُقَامَ لَكُمۡ فَٱرۡجِعُواْۚ وَيَسۡتَٔۡذِنُ فَرِيقٞ مِّنۡهُمُ ٱلنَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوۡرَةٞ وَمَا هِيَ بِعَوۡرَةٍۖ إِن يُرِيدُونَ إِلَّا فِرَارٗا ١٣
“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah adalah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9)
“(Iaitu) ketika mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik menyesak sampai di tenggorokan, serta kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam prasangka. (10)
“Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hati mereka) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11)
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’ (12)
“Dan (ingatlah) ketika segolongan antara mereka berkata, ‘Wahai penduduk Yathrib (Madinah), tidak ada tempat bagimu, maka kembalilah kamu.’ Dan sebahagian daripada mereka meminta izin kepada Nabi (untuk kembali pulang) dengan berkata, ‘Sesungguhnya, rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga).’ Dan rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka, mereka tidak lain hanya hendak lari. (13)” [Surah al-Ahzab: 9-13]
Demikianlah menunjukkan bahawa al-Quran adalah mukjizat yang berkekalan, maka kisah dan ceritanya pasti akan berulang.
Allah SWT telah membahagikan manusia kepada mereka yang beriman, yang lemah imannya, munafiq dan nyata kafirnya.
Firman Allah SWT:
أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُمۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٞ ٢١٤
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” [Surah al-Baqarah: 214]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS