Ribuan Penceroboh Haram Zionis Serbu Masjid al-Aqsa

Ribuan Penceroboh Haram Zionis Serbu Masjid al-Aqsa

Ribuan Penceroboh haram Israel, yang diketuai oleh Menteri Keselamatan Rejim Zionis, Itamar Ben-Gvir, telah menceroboh kawasan perkarangan Masjid al-Aqsa di al-Quds yang dijajah.

Pencerobohan ini dilakukan bersempena dengan apa yang mereka sebut sebagai “ulang tahun pemusnahan Kuil” dan disertai dengan upacara Talmudik, laungan ritual dan tarian provokatif, satu tindakan yang dikecam hebat oleh rakyat Palestin sebagai tindakan eskalasi berbahaya untuk mengubah status quo kawasan suci tersebut.

Ben-Gvir mengetuai kumpulan besar peneroka Zionis memasuki perkarangan al-Aqsa.

Lebih 3,000 peneroka dilaporkan menyertai pencerobohan itu secara bergilir-gilir di bawah kawalan ketat tentera dan polis rejim penjajah Israel.

Dalam satu video yang dimuat naik semasa lawatan haramnya, Ben-Gvir berkata:

“Dari tempat ini, mesti dihantar satu mesej: bahawa kita mesti menawan seluruh Gaza, mengisytiharkan kedaulatan ke atas Gaza sepenuhnya, menghapuskan semua anggota Hamas, dan menggalakkan penghijrahan secara sukarela rakyat Palestin dari Gaza.”

Ramai peneroka Zionis melakukan ritual keagamaan secara berkumpulan, melaungkan slogan dan menari dengan kuat di sekitar perkarangan Masjid al-Aqsa, iaitu tempat suci ketiga umat Islam.

Antara yang menyertai pencerobohan itu ialah anggota Knesset Amit Halevi, yang dikenali sebagai penyokong keras pembahagian kawasan Masjid al-Aqsa, sesuatu yang dilihat oleh rakyat Palestin sebagai ancaman langsung terhadap hak agama dan politik mereka.

Pada masa sama, tentera rejim Zionis menghalang rakyat Palestin daripada memasuki masjid, malah menutup pintu masuk ke Kota Lama, termasuk pintu-pintu sekitar al-Aqsa, bagi menghalang umat Islam beribadat.

Beberapa jam sebelum pencerobohan besar-besaran itu, Ben-Gvir turut mengetuai satu perarakan provokatif peneroka Zionis melalui Kota Lama al-Quds. Dalam ucapan ketika perarakan, beliau menyatakan dengan angkuh:

“Kita tidak sekadar berkabung. Kita sedang memikirkan pembinaan Kuil, perluasan kedaulatan, dan penguatkuasaan pemerintahan. Kita telah melakukannya di tempat lain, dan kita akan lakukannya di Gaza juga.”

Pencerobohan ini adalah sebahagian daripada kempen besar-besaran yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan pelampau Yahudi yang dikenali sebagai “Kumpulan Bukit Bait Suci”.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kumpulan-kumpulan ini telah menyeru supaya 3 Ogos dijadikan sebagai hari pencerobohan terbesar ke atas al-Aqsa, dengan sokongan penuh kerajaan ekstremis Israel yang kini memerintah.

Pentadbiran Wilayah al-Quds memberi amaran bahawa pencerobohan tahun ini adalah:

“Ancaman paling bahaya terhadap Masjid al-Aqsa dalam beberapa tahun.”

Pihak berkuasa menekankan bahawa skala dan nada pencerobohan tahun ini adalah percubaan sengaja untuk melanggar batas-batas agama dan undang-undang yang telah lama diamalkan di kawasan suci itu, dengan sokongan rasmi kerajaan Zionis.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Ben-Gvir telah mengeluarkan arahan langsung kepada polis rejim agar mengizinkan peneroka Yahudi menyanyi dan menari dalam kawasan Masjid al-Aqsa, satu perubahan drastik daripada larangan sebelum ini.

Cadangan bahawa kerajaan Israel akan mengubah peraturan sedia ada di perkarangan al-Aqsa telah menimbulkan kemarahan besar dunia Islam, malah pernah mencetuskan gelombang keganasan berdarah sebelum ini.

Dalam kenyataan rasmi, Hamas menyatakan bahawa apa yang berlaku merupakan:

“Sambungan kepada pencerobohan yang berterusan terhadap rakyat Palestin, tanah mereka, dan tempat-tempat suci mereka, serta provokasi terang-terangan terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia melalui pencemaran Qiblat pertama dan Masjid ketiga tersuci dalam Islam.”

Hamas juga menambah:

“Kelakuan kerajaan Zionis ekstremis dan anggotanya yang melakukan jenayah perang — dari pembunuhan beramai-ramai, peperangan penghapusan, kebuluran ke atas rakyat Palestin di Gaza, kepada pembunuhan dan keganasan di Tebing Barat oleh tentera penjajah dan gerombolan peneroka, serta pelanggaran sistematik di al-Quds dan al-Aqsa — semuanya adalah bahan bakar yang menyemarakkan api konflik di rantau ini.”

Palestin