Al-Quran adalah kitab mukjizat yang diwahyukan ke atas Rasullah SAW untuk disampaikan kepada seluruh manusia.
Kisah yang diceritakan di dalamnya (Al-Quran) akan berulang di sepanjang zaman sehingga berlakunya hari kiamat.
Wataknya adalah sama namun pelakunya berbeza mengikut zaman dan tempat.
Dalam surah al-Buruj, Allah SWT menceritakan kisah penduduk di sebuah negeri yang beriman lalu mereka dihukum mati dengan dibakar dalam parit dengan api yang menjulang.
Apa yang berlaku terhadap penduduk Semenanjung Gaza hari ini adalah umpama apa yang dilalui oleh Ashab al-Ukhdud di atas.
Mereka diseksa dan dibunuh oleh orang kafir laknatullah Zionis Yahudi kerana keimanan mereka kepada Allah SWT.
Kesalahan penduduk Semenanjung Gaza hanyalah kerana pegangan mereka kepada Islam dan perjuangan mereka untuk membebaskan tanah air yang dijajah oleh regim penjajah Zionis Israel.
Sejak Oktober 2023 sehingga ke hari ini, dianggarkan seramai 63,330 orang warga Palestin di Semenanjung Gaza telah terkorban dengan lebih kurang 152, 359 orang lagi dilaporkan cedera akibat serangan ganas tentera penjajah Zionis Israel.
Daripada jumlah angka korban tersebut, dianggarkan lebih kurang 19,000 orang daripadanya adalah kanak-kanak dan lebih kurang 28,000 orang lagi adalah remaja dan wanita dewasa.
Sehingga hari ini, 92 peratus rumah kediaman di Semenanjung Gaza telah musnah dengan lebih kurang 70 peratus keseluruhan infrastruktur telah musnah dan rosak teruk akibat dibom tentera penjajah regim Zionis Israel.
Hingga ke saat ini, hampir 97 peratus bangunan sekolah (547 daripada 564 buah bangunan sekolah) yang dijadikan penempatan sementara penduduk Gaza telah dibom dan dimusnahkan tentera penjajah regim Zionis Israel.
17 daripada 36 buah hospital di Semenanjung Gaza masih lagi beroperasi namun dalam keadaan yang amat kritikal dan mengalami kerosakan yang mampu menghentikan operasinya.
Sejak Oktober 2023, lebih 79 peratus buah masjid dan lebih daripada 3 buah gereja telah dibom dan dimusnahkan serta mengalami kerosakan teruk akibat serangan tentera penjajah regim Zionis Israel.
Sehinga hari ini, tentera penjajah regim Zionis Israel dilaporkan telah menguasai hampir 80 peratus daripada keseluruhan Semenanjung Gaza dan pada bila-bila masa sahaja akan melancarkan serangan besar-besaran untuk menjajah keseluruhan Semenanjung Gaza.
Akibat daripada kezaliman dan kekejaman regim penjajah Zionis Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, penduduk Gaza kini berhadapan dengan bencana kemanusiaan yang kritikal khususnya kebuluruan yang kini telah meragut nyawa lebih 200 orang kanak-kanak.
Menurut laporan United Nation World Food Programme, setiap seorang daripada tiga warga Semenanjung Gaza tidak menjamah sebarang makanan selama beberapa hari dengan kes kekurangan zat makanan semakim meningkat yang mengancam lebih 90,000 orang wanita dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan segera.
Walaupun apa yang dialami oleh penduduk Semenanjung Gaza sangat perit dan menyedihkan namun akhirnya kemenangan akan berpihak kepada mereka dan regim penjajah Zionis Israel akan berkecai dengan izin Allah SWT.
YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat