Dalam perbahasan ini, saya menumpukan perkara yang belum disampaikan oleh semua yang telah berucap.
Saya mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧
“Seorang Nabi mereka (kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu) mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu (memimpin negara).’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberikan kekayaan (harta) yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]
Ayat ini menceritakan Bani Isra’il yang menjadikan harta sebagai asas penting kehidupan manusia dan keperluan pentadbiran negara.
Kini, perkara ini menjadi prinsip semua ideologi ciptaan manusia yang semua fitrahnya adalah bersifat madani tanpa mengira bangsa dan agama.
Ibn Khaldun, bapa ilmu kemasyarakatan menulis dalam kitabnya, al-Muqaddimah:
الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبْعِ.
“Manusia itu bersifat madani secara tabii.” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun, jld. 1 (al-Muqaddimah), hlm. 54]
Inilah juga madani yang menjadi pilihan Malaysia kini.
Perlu difahami bahawa ciri madani adalah sifat semua manusia yang bermasyarakat daripada semua agama, ideologi, dan bangsa, bukan hanya di Malaysia.
Islam menetapkan bahawa maqasid al-syari‘ah (tujuan cara hidup berlandaskan syariat) manusia yang bermadani mempunyai maslahah yang mengikut tertibnya, iaitu:
1. Agama.
2. Nyawa.
3. Akal.
4. Zuriat keturunan.
5. Maruah (harga diri).
6. Harta.
Inilah ketetapan Allah yang berwawasan dunia sehingga akhirat yang bersifat menyeluruh daripada perkataan ‘al-din’, iaitu nama kepada Islam yang berbeza dengan perkataan ‘agama’ dan ‘ideologi’ dalam semua bahasa yang lain, kerana Islam meletakkan semua ciri kehidupan manusia tidak berpisah daripada agama, berbeza dengan agama lain dan ideologi yang diciptakan.
Kaum Bani Isra’il, iaitu Yahudi hari ini dikuasai oleh kumpulan Zionis yang mempengaruhi banyak negara, khususnya Amerika Syarikat yang mengepalai Blok Barat dan menguasai Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Maka, harta menjadi rukun pertama bagi negaranya.
Maka, semua ideologi ciptaan para pemikir Barat ialah berkonsepkan kebendaan.
Terpenting bagi mereka ialah mendapat kekuasaan yang berasaskan kekayaan harta sebanyak-banyaknya menjadi perkara pertama.
Maka, agama, nyawa, akal, dan maruah bukan lagi keutamaan.
Apa yang berlaku di Gaza kini, sebelumnya di Vietnam, Afghanistan, serta peristiwa ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua, dan sebelumnya lagi Perang Dunia Pertama, telah mengorbankan manusia tanpa batas kemanusiaan.
Hari ini, berlakunya perlumbaan senjata pemusnah dalam dunia kini, bermula dengan perlumbaan dan pertembungan ekonomi kebendaan.
Islam tetap mengharamkan senjata pemusnah, walaupun negara Zionis dan kumpulannya tidak percaya.
Saya pernah menyebut dalam ucapan saya di dewan ini dan dalam beberapa tulisan saya, bahawa seorang ulama’ dan pemikir termasyhur dari India, Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi RH mengulas berkenaan dasar negara yang diamalkan terbahagi kepada dua pendekatan:
1. Negara hidayah.
2. Negara jibayah.
Negara hidayah bermula dengan pembangunan insan, merangkumi aspek jasad, akal, roh, keluarga, dan masyarakat yang berintegriti, berprinsipkan aqidah yang diperjuangkan oleh para anbiya’, meletakkan keimanan (kepercayaan) kepada Allah dan janji-Nya, serta ada perhitungan dosa dan pahala dalam semua urusan manusia, termasuk urusan negara yang menjadi tanggungjawab yang paling besar.
Maka, beriman, berilmu, dan budiman adalah yang pertama dan paling utama dalam melahirkan integriti yang sebenar.
Adapun negara jibayah berprinsipkan kebendaan yang bergantung kepada hasil kewangan melalui apa-apa sahaja yang dapat disambar, sama ada hasil cukai ataupun bukan cukai.
Inilah yang dianut oleh Bani Isra’il pada zaman dahulu dan diikuti oleh semua ideologi, sama ada kanan ataupun kiri yang semuanya bersifat madani yang menjadi fitrah manusia sama ada Islam dan bukan Islam, walaupun pendekatannya berbeza.
Terpenting kepada mereka ialah peruntukan kewangan dan hasil kebendaan yang sebanyak-banyaknya tanpa mengira sama ada benar ataupun salah, halal ataupun haram, dan adil ataupun zalim.
Semua ideologi meletakkan aqidah kepercayaan kepada adanya pahala dan dosa sebagai urusan agama semata-mata, begitu juga urusan moral (akhlak) yang dipisahkan daripada politik, ekonomi, dan pengurusan cara hidup.
Terpulang kepada individu masing-masing yang diputuskan mata rantainya.
Ilmu dan akhlak juga bukan lagi menjadi keutamaan.
Terpenting ialah peruntukan kewangan yang banyak sehingga membebankan rakyat.
Kalau tidak mencukupi, rakyat dipaksa juga, walaupun secara zalim dan menerima akibat tekanan hidup disebabkan kenaikan cukai dan tekanan inflasi yang membebankan.
Lebih malang, negara dibebankan dengan hutang yang banyak, dan lebih malang lagi, dihinggap penyakit dosa riba yang diharamkan dan diperangi oleh Allah dan Rasul-Nya.
Riba tetap menjadi rukun Bank Dunia dan IMF yang dijadikan kiblat ekonomi oleh negara yang berteraskan kebendaan.
Kini, berlaku perbezaan apabila kiblat ekonomi dan politik ke arah Washington, Bank Dunia, dan IMF, walaupun kiblat solat, haji, dan umrahnya ke arah Kaabah (Rumah Allah) di Makkah.
Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya memohon perlindungan Allah SWT daripada perkara-perkara yang membawa akibat yang buruk:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ.
“Wahai Allah (Tuhanku Yang Maha Esa), sesungguhnya aku memohon perlindungan-Mu daripada dukacita dan sedih, daripada lemah dan malas, daripada penakut dan bakhil, serta daripada dibebani hutang dan dipaksa oleh mereka yang kuat dan zalim.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Salah, no. 1555, daripada Abu Sa‘id al-Khudri]
Antara sifat buruknya ialah terlalu menyembah kebendaan sehingga menjadi bakhil terhadap rakyat, khususnya apabila bertindak membatalkan subsidi yang wajib.
Pembangkang yang menasihati pula disekat sehingga diisytiharkan larangan 3R.
Berhutang ke sini dan ke sana bukan bijaksana, tetapi ‘bijaksini’ untuk diri dan puaknya sahaja, sehingga berhutang dan terus berada di bawah penjajahan baharu yang diciptakan atas nama sistem tarif.
Rasul pilihan Allah membawa hidayah (petunjuk) bahawa beriman kepada Allah dan balasan-Nya, berilmu, dan berakhlak adalah keutamaan.
Harta boleh dihasilkan dengan ilmu dan kebijaksanaan.
Hasil sedikit boleh diurus dan ditambah dengan ilmu kebijaksanaan serta terkawal tidak bocor, disebabkan kepercayaan akan adanya konsep dosa dan pahala serta akhlak yang mulia, seterusnya menghalang salah laku, penyelewengan, dan rasuah.
Sehinggakan, sistem zakat dan cukai dalam Islam diwajibkan kepada yang mampu sahaja dan dibebaskan kepada kalangan yang tidak mampu.
Hasilnya, sistem ini berjaya mengatasi masalah kemiskinan dan pengangguran.
Kewangan yang banyak tanpa ilmu, tidak berakhlak, dan membodohkan rakyat, ataupun berilmu, tetapi tidak berakhlak sehingga menipu dan berbohong, lebih parah kalau berlagak mempunyai ilmu dan kepakaran dalam semua perkara, lalu menutup kelemahan dengan melakukan penindasan atau apa-apa sahaja, maka akan membocorkan harta negara ke arah yang salah.
Ia juga gagal mengatasi masalah kemiskinan dan pengangguran, termasuk kepada yang berpelajaran tinggi dan berilmu, namun ilmunya tidak diambil manfaat dan tenaga manusia tidak dilaksanakan dengan betul.
Rakyat Malaysia di luar negara yang berkualiti tidak pulang ke tanah air, lalu negara bergantung pada kepakaran dan pekerja asing.
Inilah punca kegagalan semua ideologi Barat dan Timur yang membawa krisis ekonomi dunia yang tidak selesai sehingga hari ini.
Apabila kita berada dalam pakaian yang sama, maka akan sama-sama tersungkur, walaupun ucapannya berdegar-degar dengan bahasa yang indah-indah yang disebut oleh firman Allah SWT:
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ ١١٢
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan (daripada jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jika Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa-apa yang mereka ada-adakan.” [Surah al-An‘am: 112]
Malaysia akan menerima akibat yang sama kerana memakai baju yang sama, iaitu sama madaninya, tetapi meninggalkan prinsip madani petunjuk Allah, selain mengamalkan madani dalam pakaian yang tidak cukup menjaga badan dan maruah.
Rasa berpakaian, tetapi banyak yang koyak sehingga menampakkan segala-galanya dan tidak boleh ditutup.
Allah SWT menjanjikan dengan firman-Nya:
وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩
“Sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka. (96)
Maka, adakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada datangnya seksaan Kami kepada mereka pada malam hari pada waktu mereka sedang tidur? (97)
Atau adakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman daripada datangnya seksaan Kami kepada mereka pada waktu matahari sepenggalah naik ketika mereka sedang bermain? (98)
Maka, adakah mereka merasa aman daripada azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman daripada azab Allah kecuali orang-orang yang merugi. (99)” [Surah al-A‘raf: 96–99]
Bukan sahaja bencana alam, malah termasuk juga bencana salah laku kerajaan yang membebankan kehidupan rakyat seperti masalah inflasi, kos sara hidup, keruntuhan moral, jenayah, rasuah, dan lain-lain.
Perkataan ‘berkat’ pula tidak dipercayai dalam cara hidup yang meletakkan agama, ilmu, dan akhlak hanya sebagai sampingan, dengan hanya berslogankan perkataan rahmah, adil, bijaksana, tatakelola, ketimbang, dan sebagainya.
Kejayaan bukan pada slogan yang berdegar-degar, tetapi mestilah dengan keimanan dan kepercayaan kepada janji Allah Yang Maha Benar, bukan janji pemimpin yang menipu, berbohong, dan berlagak.
Rakyat wajib menukar kerajaan yang berpakaian tidak lengkap ini kerana kehilangan maruahnya dan hilang harga diri manusia yang dimuliakan Allah, di samping khianat terhadap amanah supaya mentadbir dunia dengan petunjuk Allah.
Sekian, terima kasih.
YB TAN SRI DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

