Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) hari ini mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan pembedahan Total Laparoscopic Hysterectomy with Bilateral Salpingo-Oophorectomy pertama di hospital tersebut.
Prosedur yang rumit ini dilakukan ke atas seorang pesakit yang disahkan menghidap choriocarcinoma, sejenis kanser jarang berlaku yang berasal daripada tisu plasenta.
Pembedahan berteknologi tinggi itu diketuai oleh Pakar Gynae-Onkologi, Dr. Alik Riasadesa Zakaria, bersama Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Dr. Ramli Ibrahim, dengan sokongan padu barisan pegawai perubatan yang berdedikasi.
Turut memainkan peranan penting ialah Jabatan Anaestesiologi dan Rawatan Intensif yang diketuai oleh Dr. Mohd Ramzi Abdul Alam, memastikan keselamatan pesakit terjamin sepanjang prosedur.
Menurut pihak hospital, kejayaan ini bukan sekadar satu pencapaian klinikal tetapi menandakan permulaan era baharu dalam perkhidmatan onkologi ginekologi di HoSZA.
Dengan penggunaan teknik pembedahan invasif minimum, pesakit berpeluang menikmati tempoh pemulihan yang lebih singkat, risiko komplikasi yang lebih rendah, dan peningkatan kualiti hidup, walaupun bagi kes kanser yang kompleks.
“Ini adalah penanda aras baharu bagi HoSZA.
“Kami berbangga dapat menawarkan rawatan yang setaraf dengan pusat perubatan terkemuka, demi memberi harapan dan peluang kehidupan yang lebih baik kepada pesakit,” ujar seorang jurucakap hospital.
Kejayaan ini diharap menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak inovasi rawatan berteknologi tinggi di Terengganu, sekali gus mengukuhkan kedudukan HoSZA sebagai pusat rujukan utama dalam bidang perubatan pakar di Pantai Timur.

