Selepas menjadi tuan rumah kepada Persidangan East Coast Energy pada Jun lalu, Terengganu kini melangkah setapak lagi dengan pelancaran tiga dokumen strategik di bawah inisiatif Terengganu New Economy Transformation (T-NEXT).
Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu berlangsung dua hari lalu, menandakan komitmen negeri untuk melonjak ke fasa pembangunan ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Tiga dokumen penting yang dilancarkan ialah:
1. Dasar Pembangunan Pelaburan, Perindustrian Negeri Terengganu — garis panduan dan strategi untuk menarik pelaburan berkualiti serta mengembangkan sektor perindustrian.
2. Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) — pelan menyeluruh yang memacu pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan kelestarian alam sekitar.
3. Rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu — panduan bagi mempercepat transformasi digital dalam sektor awam dan swasta.
Nama T-NEXT sendiri membawa maksud aspirasi Terengganu untuk memasuki next level dalam pembangunan ekonomi, seiring dengan potensi besar negeri ini dalam sektor tenaga baharu, teknologi hijau dan inovasi digital.
Jun lalu, Persidangan East Coast Energy telah menghimpunkan pelbagai pihak, termasuk wakil kerajaan, pakar bidang, pemain industri dan akademia dari dalam dan luar negara, bagi membincangkan peluang dan cabaran tenaga baharu.
Perbincangan itu mendedahkan potensi besar Terengganu sebagai hab tenaga lestari di rantau ini.
Dengan pelancaran T-NEXT, fokus negeri jelas terarah kepada tiga teras utama: pelaburan strategik, pembangunan teknologi hijau dan pemerkasaan ekonomi digital, selaras dengan trend global dan keperluan masa depan.

