Hamas dan beberapa faksi perjuangan Palestin lain telah mengumumkan persetujuan mereka terhadap cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh para perantara.
Pegawai kanan Palestin memaklumkan kepada media serantau bahawa cadangan tersebut mengandungi beberapa ketetapan utama.
Antaranya, pengunduran tentera pendudukan Israel sejauh 1,000 meter di bahagian utara dan timur Semenanjung Gaza, kecuali kawasan Shujaiya dan Beit Lahia di utara Gaza.
Sebagai pertukaran untuk pembebasan sepuluh tawanan Israel yang masih hidup, seramai 140 tahanan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 60 lagi yang dijatuhkan hukuman lebih 15 tahun akan dibebaskan.
Selain itu, 1,500 tahanan Palestin dari Semenanjung Gaza juga akan dilepaskan.
Cadangan itu turut memperincikan pelarasan terhadap peta penempatan semula di bahagian utara dan timur.
Bantuan kemanusiaan akan mula disalurkan ke Gaza sebaik sahaja perjanjian itu berkuat kuasa.
Bantuan yang dihantar dalam jumlah besar dan terkoordinasi itu akan diberikan di bawah kerangka perjanjian bertarikh 19 Januari 2025.
Pakej bantuan kemanusiaan ini meliputi bekalan bahan api, air, elektrik, pemulihan hospital dan kedai roti, serta peralatan bagi kerja-kerja pembersihan runtuhan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensinya, Bulan Sabit Merah, dan badan antarabangsa lain yang beroperasi di Gaza akan bertanggungjawab menerima serta mengagihkan bantuan tersebut.
Lintasan Rafah di selatan Gaza juga akan dibuka dua hala, selaras dengan perjanjian sebelum ini.
Sumber turut mendedahkan bahawa bagi setiap tawanan Israel yang telah meninggal dunia dikembalikan, jenazah sepuluh rakyat Palestin akan dibebaskan.
Cadangan tersebut turut menekankan pembebasan semua wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel.
Secara berasingan, Reuters memetik seorang pegawai Mesir yang tidak dinamakan berkata bahawa cadangan terbaru gencatan senjata itu merangkumi jeda operasi ketenteraan selama 60 hari, selain pertukaran tahanan yang menyaksikan pembebasan tahanan Palestin sebagai balasan kepada separuh daripada tawanan Israel.
Saluran Ibrani 13 melaporkan bahawa Israel secara rasmi telah menerima maklum balas Hamas melalui para perantara.
Akhbar Yedioth Ahronoth pula melaporkan:
“Pada akhirnya, Netanyahu perlu menjelaskan kepada menterinya dan juga kepada rakyat mengapa beliau meneruskan perjanjian separa yang tidak banyak berbeza daripada apa yang telah berada di meja rundingan kurang sebulan lalu.”
Laporan itu turut menunjukkan bahawa Netanyahu sedang berusaha mencapai perjanjian gencatan senjata, walaupun dalam masa yang sama beliau bercadang untuk menduduki Bandar Gaza di bahagian utara.
“Tidak perlu berilusi. Bukanlah ancaman Israel untuk menawan Gaza yang mengubah pendirian Hamas.
“Apa sebenarnya yang kita ugutkan? Merobohkan bangunan?
“Mengusir penduduk secara besar-besaran yang enggan berpindah secara sukarela?
“Mengheret orang tua, kanak-kanak, atau wanita hamil? Atau sekadar menambah angka kematian?” lapor Yedioth Ahronoth.
Tekanan dalaman terhadap kerajaan Netanyahu semakin meningkat berikutan protes jalanan besar-besaran, jumlah korban tentera Israel yang kian bertambah akibat gerakan penentangan, dan kegagalan berterusan untuk membawa pulang tawanan dari Gaza meskipun perang pembunuhan beramai-ramai telah berlarutan.
Di peringkat antarabangsa, rejim Israel semakin terasing, bahkan dalam kalangan sekutu tradisinya, apabila imej-imej ngeri kebuluran beramai-ramai dari Gaza terus tersebar.
Yedioth Ahronoth mengajukan persoalan:
“Sekarang bagaimana?
Jika Israel berkata ‘tidak’ terhadap perjanjian ini, ia akan terjerumus ke dalam perangkap yang Hamas pasang.
“Jika sekadar bercakap mengenai penguasaan Bandar Gaza sudah mencetuskan seruan semakin lantang untuk mengenakan sekatan, maka kemasukan tentera secara sebenar ke Gaza akan menyebabkan keruntuhan yang jauh lebih parah.”
Akhbar itu menambah:
“Harus sentiasa diingat: sentiasa ada ruang untuk jatuh lebih rendah.
“Jika kemasukan ke Gaza, dengan segala adegan kekejaman, kemusnahan, kehancuran, dan kematian, dijangka menyeret Israel ke arah keruntuhan, maka memasuki Gaza selepas Hamas mengatakan ‘ya’ kepada pelan Witkoff dan Israel mengatakan ‘tidak’ akan membawa kepada kejatuhan yang lebih dahsyat.
“Sekali lagi terbukti bahawa strategi Hamas jauh lebih cerdik berbanding Israel.”
Para perantara yang membentangkan cadangan tersebut kepada Hamas ialah Mesir dan Qatar, sementara rangka kerja gencatan senjata itu dibangunkan dengan kerjasama Amerika Syarikat.
