Program RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Kuala Terengganu pada tahun 2025 sepatutnya menjadi medan pertemuan bikers, semangat persaudaraan dan lambang gaya hidup anak muda yang penuh warna.
Namun, acara yang dinanti-nantikan saban tahun ini tidak terlepas daripada bayangan politik sempit.
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam satu kenyataan, menyambut baik kedatangan para peserta ke negeri ini dan mendoakan agar program berjalan lancar.
Namun, beliau turut menzahirkan rasa kesal kerana tidak dapat turut serta bersama-sama rakyat dalam acara kali ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri seakan “diketepikan” apabila penganjur menyalurkan ruang dan pengiktirafan kepada pihak lain, sedangkan pimpinan negeri adalah tuan rumah yang sewajarnya diraikan.
Difahamkan bahawa kerajaan pusat telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 yang disalurkan kepada program ini.
Mungkin kerana inilah punca mengapa kepimpinan negeri tidak dijemput secara rasmi.
Seolah-olah wujud tangan-tangan politik yang cuba mengawal, bahkan membayangi, sebuah acara rakyat dengan kepentingan sempit pihak tertentu.
Dr. Ahmad Samsuri menyifatkan hal ini sebagai contoh “politik low class” atau dalam istilah orang Terengganu disebut “politik komang spanar”.
Politik seperti ini bukan sahaja mengasingkan pimpinan negeri daripada rakyatnya sendiri, bahkan merosakkan semangat kebersamaan yang menjadi tunjang program RXZ.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa hati dan doa kepimpinan negeri tetap bersama para peserta.
Pesan beliau ringkas tetapi sarat makna: “Tunggangan mesti berhati-hati, jaga keselamatan dan jangan lupa solat.”
Persoalannya, wajarkah sebuah acara anak muda yang penuh nilai kebersamaan ini dipolitikkan?
Tidakkah lebih baik jika semua pihak, tanpa mengira perbezaan politik, berganding bahu menjayakan acara yang menjadi kebanggaan negeri?
RXZ 7.0 akhirnya bukan sekadar program motorsikal, tetapi cerminan bagaimana politik sempit mampu merosakkan keharmonian rakyat.
Dalam hal ini, jelas bahawa penganjur perlu lebih matang, membezakan antara ruang santai rakyat dengan permainan politik murahan.
