Di dalam khazanah kisah hikmah Islam, terdapat sebuah kisah yang sering dijadikan teladan tentang erti keikhlasan dan bahaya tamak terhadap habuan duniawi.
Dikisahkan seorang alim bertekad menebang sebatang pokok besar yang sering menjadi tempat gangguan jin dan menyebabkan mudarat kepada manusia.
Niatnya suci dan ikhlas kerana Allah semata-mata, ingin menghapuskan kemudaratan kepada orang ramai.
Namun, ketika beliau hampir menebang pokok tersebut, penunggu pokok (jin) muncul dan menawarkan:
“Jika engkau berhenti daripada menebang pokok ini, setiap hari akan ada duit di bawah tikar sembahyangmu.”
Pada mulanya si alim menolak tawaran itu. Namun setelah digoda berulang kali, beliau akhirnya menerima.
Dan benarlah, selama dua hari duit itu muncul di bawah tikarnya.
Tetapi pada hari ketiga, wang itu tidak muncul lagi.
Merasa ditipu, si alim kembali ke pokok dengan niat untuk menebangnya semula.
Kali ini, jin itu muncul lagi dan berjaya mengalahkannya dalam pergelutan. Jin itu berkata:
“Dulu engkau datang kerana Allah, aku tidak mampu melawanmu. Tetapi sekarang engkau datang kerana marah dan kerana harta yang hilang, maka aku lebih kuat daripadamu.”
Ibrah daripada Kisah
Kisah ini memberi satu mesej yang amat jelas dan dalam bahawa amal yang dilakukan kerana Allah semata-mata akan membawa kekuatan dan pertolongan Ilahi.
Sebaliknya, amal yang sudah bercampur dengan habuan dunia akan melemahkan jiwa, menjatuhkan maruah, dan membuka ruang penguasaan syaitan.
Firman Allah SWT:
وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
“Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama hanya untuk-Nya…” (Surah al-Bayyinah: 5)
Sabda Nabi Muhammad ﷺ pula mengingatkan:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
“Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
RXZ Member: Hilang Hormat kerana Habuan
Apa yang berlaku dalam penganjuran program RXZ Member di Terengganu menyaksikan satu persamaan ibrah dengan kisah penunggu pokok.
Seperti yang diketahui, kerajaan pusat telah menyalurkan dana besar untuk menjayakan program ini.
Namun akibatnya, penganjur kelihatan lebih mengangkat dan memuliakan kerajaan pusat, sehingga mengabaikan adab terhadap kerajaan negeri yang menjadi tuan rumah.
Keadaan ini seolah-olah mencerminkan watak si alim tadi:
Niat awal penganjuran seharusnya demi persaudaraan, silaturahim dan kesejahteraan rakyat.
Namun habuan dunia yang datang dalam bentuk sokongan dana menyebabkan niat berubah.
Pihak yang memberi habuan dijulang dan diangkat, manakala negeri yang menanggung beban pengurusan diketepikan.
Insiden Memalukan di Hari Perasmian
Lebih menyedihkan, semasa majlis perasmian RXZ Member, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Samsul Iskandar, mendedahkan sendiri semasa beliau diboo oleh para peserta.
Beliau berterima kasih kepada penganjur, Saudara Lukman, kerana mengingatkannya bahawa ‘pasukan sorak’ Menteri Besar Terengganu telah menguasai barisan hadapan pentas semasa insiden berlaku.
Ternyata beliau cuba memburukkan para peserta yang datang ratusan kilometer untuk propgram tersebut.
Insiden ini membongkar suasana ketegangan dan kecelaruan hormat-menghormati dalam sebuah program yang sepatutnya menjadi medan penyatuan anak muda.
Apa yang lebih menghairankan, penganjur kemudiannya menyatakan bahawa mereka sedia berjumpa dengan MB Terengganu kerana kononnya wujud “kekhilafan” dalam tidak menjemput MB ke majlis perasmian program.
Namun, fakta sejarah menunjukkan bahawa MB Terengganu telah dijemput sejak RXZ 2.0 pada tahun 2018 lagi, malah beliau dilantik sebagai penaung program pada tahun tersebut.
Maka timbul persoalan: Bagaimana boleh berlaku kekhilafan kali ini?
Atau adakah habuan dunia telah menyebabkan adab dilupakan dan keikhlasan diketepikan?
Firman Allah sebagai Peringatan
تُرِيدُونَ عَرَضَ ٱلدُّنْيَا وَٱللَّهُ يُرِيدُ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۗ
“Kamu menginginkan habuan dunia, sedangkan Allah menginginkan (untuk kamu) akhirat.” (Surah al-Anfāl: 67)
Pengajaran untuk Kita Semua
Jaga keikhlasan
Amal dan program sebesar mana pun, jika niatnya bukan kerana Allah dan rakyat, maka ia akan kehilangan roh, keberkatan dan kesan jangka panjang.
Hormati tuan rumah
Dalam adab Islam, menghormati tuan rumah adalah prinsip penting. Mengabaikan kerajaan negeri dalam program besar adalah tindakan yang angkuh dan tidak matang.
Habuan tidak kekal
Wang dan bantuan dunia hanya sementara. Yang kekal ialah maruah, adab, dan penghormatan yang lahir dari keikhlasan.
Penutup
Kisah penunggu pokok adalah cermin untuk kita semua.
Ia mengajar bahawa apabila keikhlasan hilang, kekuatan juga akan lenyap.
Apabila adab diketepikan kerana harta, maka barakah akan tercabut dan rakyat akan menyaksikan kerosakan.
Program RXZ Member boleh menjadi satu simbol kekuatan belia dan silaturahim nasional, jika asasnya dibina atas keikhlasan dan adab.
Tetapi jika ia dijadikan medan menunjuk kuasa dan meraih pujian demi habuan dunia, maka ia akan meninggalkan kesan buruk yang panjang.
Islam mengajar bahawa kejayaan sebenar bukan pada pentas perasmian, bukan pada jumlah peserta, dan bukan pada nilai tajaan, tetapi pada keberkatan yang lahir daripada niat yang benar dan adab yang dijaga.
Maka marilah kita muhasabah, agar tidak menjadi seperti si alim yang tewas di tangan jin, kerana hatinya telah terpaut kepada dunia.
