Dua tahun selepas operasi ketenteraan mengejutkan oleh Hamas di selatan wilayah yang dijajah Israel, perbincangan global kembali memuncak mengenai asal-usul, kesan dan makna politik serangan tersebut.
Di satu pihak, ramai penganalisis berpendapat bahawa serangan yang dinamakan Operasi Taufan Al-Aqsa (Operation Al-Aqsa Storm) telah dijadikan alasan oleh Israel untuk melancarkan perang besar-besaran ke atas Gaza, satu kempen ketenteraan yang telah meragut lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.
Menurut pandangan ini, tanpa operasi tersebut, Israel tidak akan mampu “menghalalkan” tindakan menyekat makanan, air dan bantuan kemanusiaan yang kini telah menjerumuskan Gaza ke ambang kebuluran.
Namun di sisi lain, semakin ramai pemerhati serantau dan antarabangsa berhujah bahawa operasi oleh Hamas itu bukan sahaja tidak dapat dielakkan, malah bersifat transformasi sejarah.
Mereka berpendapat bahawa perjuangan Palestin yang sebelum ini semakin tenggelam daripada perhatian dunia telah dihidupkan semula oleh peristiwa 7 Oktober 2023, memaksa dunia menilai semula puluhan tahun penjajahan, sekatan dan penindasan sistematik terhadap rakyat Palestin.
Walaupun media Barat lebih banyak menonjolkan naratif pertama bagi menggambarkan tindakan Israel sebagai “pertahanan diri”, pandangan kedua ini juga perlu diberi perhatian kerana ia membantu memahami latar sebenar yang membawa kepada tercetusnya konflik tersebut.
Akar kepada Keperluan (The Roots of Inevitability)
Selama beberapa dekad, dasar Israel terhadap Palestin dibentuk melalui penjajahan, pengusiran dan penindasan ekonomi.
Sejak tahun 2007, Semenanjung Gaza telah berada di bawah sekatan darat, laut dan udara sepenuhnya, satu tindakan yang secara meluas dianggap sebagai bentuk hukuman kolektif.
Wilayah itu sering digambarkan sebagai penjara terbuka terbesar di dunia, menempatkan lebih dua juta penduduk yang dinafikan kebebasan bergerak serta hak asasi kehidupan.
Operasi pada Oktober 2023 perlu difahami dalam konteks ini.
Dua hari selepas serangan Hamas, Israel mengumumkan sekatan total ke atas Gaza, memutuskan bekalan makanan, air, bahan api dan elektrik.
Tindakan ini telah membawa kepada kebuluran besar-besaran serta krisis kemanusiaan yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Menjelang Ogos 2025, Integrated Food Security Phase Classification (IPC), badan dunia yang menilai tahap krisis makanan mengesahkan bahawa Bandar Gaza sedang dilanda kebuluran, sesuatu yang disifatkan oleh ramai pakar sebagai hasil daripada penggunaan kelaparan sebagai senjata perang.
Walaupun rakyat Palestin telah menderita selama 16 tahun di bawah sekatan, operasi ini mendedahkan kepada dunia penderitaan sebenar mereka.
Ia telah mencetuskan gelombang protes global dan kebangkitan gerakan rakyat yang menuntut agar Barat menghentikan penglibatan mereka dalam kepungan kejam Israel terhadap Gaza.
Pencetus Kesedaran Global
Sebelum Oktober 2023, isu Palestin semakin tenggelam daripada perhatian antarabangsa, tertimbus oleh pelbagai krisis lain.
Namun Operasi Taufan Al-Aqsa telah membalikkan arus tersebut.
Keganasan keterlaluan dalam tindak balas Israel yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia telah mencetuskan gelombang solidariti global, dari Washington ke Johannesburg, London ke Kuala Lumpur.
Sepanjang dua tahun lalu, jutaan manusia telah turun ke jalanan menyokong hak menentukan nasib sendiri bagi rakyat Palestin, sambil menuntut penghentian hubungan ketenteraan dan ekonomi dengan Israel.
Perubahan kesedaran global ini mula memberi kesan kepada dasar luar pelbagai negara.
Beberapa negara Barat yang selama ini berpihak kepada Israel termasuk Perancis, United Kingdom dan Kanada kini semakin condong ke arah mengiktiraf negara Palestin.
Penganalisis berpendapat, perkembangan sebegini mungkin tidak akan berlaku tanpa momentum dan kesedaran semula yang dicetuskan oleh peristiwa 7 Oktober 2023.
Membongkar Agenda Serantau Israel
Operasi tersebut turut mendedahkan cita-cita geopolitik Israel yang lebih luas, khususnya visi “Israel Raya (Greater Israel)” yang sering dibincangkan dalam ideologi Zionis.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu secara terbuka menyokong dasar-dasar berunsur peluasan wilayah, membayangkan sebuah Israel yang meliputi bahagian-bahagian negara jiran seperti Jordan, Lubnan, Mesir, Syria, Iraq, malah Arab Saudi.
Operasi Ribut Al-Aqsa telah menggegarkan naratif dominasi mutlak Israel ini, dengan menunjukkan bahawa rangkaian penentangan bersenjata dan politik Palestin masih memiliki kekuatan strategik untuk mencabar cita-cita peluasan tersebut.
Kesan Geopolitik yang Meluas
Konflik yang berlanjutan ini turut mengubah arah inisiatif diplomatik serantau dan antarabangsa.
Cadangan pelan gencatan senjata 20 perkara oleh Presiden AS, Donald Trump, menunjukkan bahawa keteguhan semangat perjuangan Palestin kini telah menyekat kemampuan Israel untuk menakluk sepenuhnya Gaza.
Sekiranya pelan itu dilaksanakan, ia akan memaksa Israel berundur dari kawasan utama di Gaza, sekali gus menggagalkan hasratnya selepas perang untuk menguasai sepenuhnya wilayah itu.
Tanpa peristiwa 7 Oktober, ada kemungkinan Israel akan terus memperketat kawalan terhadap Gaza atas alasan keselamatan.
Tetapi operasi tersebut membuktikan bahawa semangat penentangan Palestin masih hidup dan mampu mengubah keseimbangan kuasa serantau.
Detik Penentu Dalam Sejarah Palestin
Dua tahun selepasnya, Operasi Taufan Al-Aqsa kekal sebagai titik perubahan besar dalam perjuangan Palestin.
Walaupun kos nyawa amat tinggi, operasi itu telah mengubah kesedaran global terhadap penderitaan Gaza dan menghidupkan semula wacana antarabangsa tentang keadilan, kedaulatan dan penentangan terhadap penjajahan.
Sama ada dianggap sebagai pemangkin tragik atau kebangkitan yang tidak dapat dielakkan, operasi itu telah mengubah trajektori konflik Palestin-Israel.
Ia memaksa dunia untuk menghadapi realiti penjajahan dan sekatan yang telah lama diabaikan, memastikan isu Palestin tidak lagi boleh disenyapkan atau dilupakan.
