Bagaimana Houthi Muncul Sebagai Pemenang Selepas Perang Pelbagai Front Israel

Bagaimana Houthi Muncul Sebagai Pemenang Selepas Perang Pelbagai Front Israel

Ketika gencatan senjata rapuh mula berkuat kuasa di Gaza antara Israel dan Hamas, satu lagi pihak ketenteraan di rantau ini juga dilaporkan menghentikan serangan: kumpulan Houthi di Yaman.

Pemimpinnya, Abdul-Malik al-Houthi, dilaporkan mengarahkan para pejuang supaya menghentikan serangan terhadap Israel dan kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel, serangan yang telah mereka lakukan secara berselang-seli selama dua tahun.

Gencatan itu, menurut satu sumber kepada media Arab Saudi, hanya akan berterusan selagi Israel mematuhi gencatan senjata di Gaza.

Syarat ini menunjukkan kedudukan yang kukuh bagi pihak Houthi: mereka telah melancarkan serangan secara konsisten sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin tanpa perlu berunding secara langsung mahupun tidak langsung dengan Israel tentang sebarang perjanjian damai.

Dalam tempoh dua tahun peperangan Israel di rantau ini dan pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza, beberapa kumpulan telah bangkit menentang.

Antara mereka ialah Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza, Hezbollah di Lubnan, Houthi di Yaman, serta Iran.

Kesemua pihak ini, termasuk Israel sendiri menanggung penderitaan yang amat besar.

Peperangan itu memberi kesan dari segi ketenteraan, ekonomi, serta menyebabkan kerosakan dan korban awam yang dahsyat.

Namun, sementara perang ini menimbulkan persoalan besar tentang masa depan sesetengah kumpulan seperti Hamas dan Hezbollah, kerajaan de facto di Yaman, iaitu pihak Houthi, sebaliknya semakin meningkat pengaruhnya.

Keteguhan Houthi dalam melancarkan serangan terhadap Israel dan kapal antarabangsa, menurut penganalisis, telah menarik perhatian dunia dan memberikan kumpulan itu kemenangan dari sudut naratif, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Ketahanan Ketenteraan

“Dari segi ketenteraan, Houthi telah menunjukkan prestasi yang mengagumkan selama dua tahun, satu pencapaian luar biasa bagi sebuah entiti bukan negara,” kata Andreas Krieg, penolong profesor di Jabatan Pengajian Pertahanan, King’s College London.

Beliau merujuk kepada kempen selama satu setengah tahun Houthi menyerang kapal antarabangsa di Laut Merah, yang memaksa kapal besar dari Eropah ke Asia mengambil laluan panjang dan mahal mengelilingi Tanjung Harapan di hujung selatan Afrika.

Akibat serangan yang dijalankan sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di bawah kekejaman Israel itu, trafik maritim melalui Teluk Aden menurun sebanyak 70% dalam tempoh dua tahun.

Selain itu, Houthi juga melancarkan serangan jarak jauh secara berkala terhadap Israel, kata Krieg, “dan mereka berjaya menahan serangan balas Israel dengan hanya gangguan kecil terhadap operasi mereka.”

Salah satu serangan mereka pernah menghentikan operasi sementara Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel, manakala serangan terbaharu berjaya menembusi pertahanan udara Israel dan mengenai sebuah hotel di bandar peranginan Eilat.

Selain menyerang Israel dan kapal global, Houthi juga berdepan serangan bertubi-tubi daripada Amerika Syarikat (AS) selama beberapa bulan.

“Apabila Amerika menyertai serangan dan mengebom Yaman, [Houthi] membalas dan akhirnya Trump terpaksa mengundurkan diri,” kata Ali Rizk, penganalisis politik dan keselamatan dari Lubnan.

“Houthi berjaya memaksa Amerika untuk memisahkan diri daripada Israel dalam hal Yaman, satu pencapaian besar.”

Amerika dilaporkan membelanjakan lebih USD 1 bilion dalam kempen serangan ke atas Yaman, namun gagal menguasai ruang udara Houthi sepenuhnya.

Serangan udara AS dan Israel menyebabkan banyak kematian termasuk orang awam dan pegawai tentera serta memusnahkan beberapa infrastruktur ketenteraan, namun Houthi tetap tidak gentar.

“Enjin kepada ketahanan mereka ialah struktur organisasi mereka: rangkaian pelbagai lapisan, kabilah, ulama, keselamatan dan perniagaan yang saling berhubung dan saling menggantikan,” kata Krieg.

“Tumpaskan seorang pemimpin atau musnahkan satu depot, sistem mereka akan tempang seketika, tapi tidak akan lumpuh.”

Antara faktor yang membantu Houthi berdaya tahan berbanding kumpulan lain ialah kemunculan mereka yang lebih baru di pentas konflik antarabangsa.

“Israel tidak mempunyai banyak maklumat risikan untuk menjatuhkan Houthi,” kata Rizk.

Sebaliknya, Israel memiliki maklumat risikan mendalam tentang Hezbollah, yang membolehkan mereka membunuh pemimpinnya Hassan Nasrallah dan beberapa tokoh kanan lain, serta melancarkan serangan ke atas alat komunikasi (pager) yang membunuh dan mencederakan ribuan orang.

Di Iran juga, Israel mempunyai jaringan risikan yang membantunya ketika konflik 12 hari pada bulan Jun.

Terhadap Houthi, Israel hanya berjaya membunuh beberapa tokoh politik kanan termasuk Perdana Menteri Houthi tetapi gagal menjejaskan pimpinan ketenteraan tertinggi mereka secara signifikan.

Faktor lain ialah jarak geografi Yaman yang jauh dari Israel.

“Israel mudah melancarkan perang besar-besaran terhadap Lubnan, tetapi tidak terhadap Yaman yang jauh,” jelas Rizk.

“Houthi masih boleh menyerang Israel tanpa menanggung kerugian besar seperti Hezbollah atau Lubnan.”

Kemenangan Naratif

Peperangan ini juga memberi Houthi kemenangan dari segi naratif, baik di dalam mahupun luar negara.

“Campur tangan Houthi di Laut Merah meningkatkan legitimasi domestik mereka dan memberi mereka pengiktirafan antarabangsa,” kata Arwa Mokdad, penganalisis geopolitik dan pakar hal ehwal Yaman.

Serangan terhadap kapal antarabangsa itu, katanya, memperkuat imej Houthi sebagai pejuang menentang kezaliman, dan pada masa yang sama menjadikan negara-negara serantau serba salah untuk campur tangan, bimbang dilabel menyerang kumpulan yang membantu Gaza.

Oleh sebab itu, banyak negara Arab enggan secara terbuka menyertai pasukan laut antarabangsa yang diketuai AS untuk menentang serangan Houthi di Laut Merah.

“Dalam suasana kelemahan dunia Arab, Houthi muncul sebagai kuasa baharu yang menguasai imaginasi dan wacana Arab,” kata Mokdad.

Houthi yang dahulu sering digambarkan sebagai “umpulan pemberontak yang disokong Iran, kini beralih imej.

“Mereka telah berubah daripada pemberontakan di Yaman kepada pemain utama dalam Paksi Penentangan (Axis of Resistance), satu-satunya pihak Arab yang secara rutin melancarkan serangan terus ke wilayah Israel, memberi mereka pengaruh naratif yang jauh melebihi saiz sebenar mereka,” jelas Krieg.

Rizk menambah bahawa beberapa tahun kebelakangan ini telah berlaku peralihan persepsi serantau, di mana Israel kini dilihat sebagai musuh utama, menggantikan Iran.

“Abdul-Malik al-Houthi juga sering menegaskan bahawa Amerika dan Israel adalah dua wajah bagi satu syiling yang sama,” katanya.

“Apa yang berlaku di Qatar mengukuhkan hujah Houthi itu,” tambahnya, merujuk kepada serangan Israel terhadap pegawai Hamas di Doha bulan lalu.

Serangan itu berlaku walaupun Qatar ialah sekutu rapat AS yang menempatkan lebih 8,000 tentera Amerika.

“Ia menguatkan mesej dan naratif ideologi Houthi bahawa ancaman utama ialah Zionisme.”

Di dalam negara pula, peperangan itu menimbulkan gelombang perpaduan nasional.

Eleonora Ardemagni, penyelidik dan pakar kumpulan bersenjata Yaman, memberitahu bahawa perang tersebut memberi peluang kepada Houthi untuk memaksimumkan sokongan dan perekrutan.

Jumlah pejuang Houthi meningkat daripada 220,000 orang pada tahun 2022 kepada 350,000 orang pada tahun 2024, menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Di dalam negara, naratif ‘perjuangan Gaza’ menghasilkan kesan rally-round-the-flag, rakyat bersatu di sebalik satu panji perjuangan, walaupun pentadbiran Houthi masih lemah dan penindasan semakin keras,” kata Krieg.

Namun beliau memberi amaran: “Risikonya ialah kelebihan itu boleh bertukar menjadi kemarahan senyap jika masalah ekonomi, gaji tertunggak dan perkhidmatan awam terus merosot.”

Kerajaan Berpusat di Aden Kian Hilang Relevansi

Walaupun Houthi menguasai sebahagian besar wilayah Yaman termasuk ibu negara Sanaa, sebuah kerajaan saingan yang berpusat di Aden masih wujud namun semakin hilang pengaruh.

Kerajaan itu diketuai oleh Majlis Kepimpinan Presiden (Presidential Leadership Council – PLC), yang menggabungkan pelbagai kumpulan anti-Houthi.

Secara teknikal, ia merupakan badan eksekutif kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa, yang telah diusir dari Sanaa oleh Houthi pada tahun 2014.

“Houthi kini mengawal wilayah utara yang padat penduduk dan berurusan secara langsung dengan kuasa besar dunia dan pihak perantara utama dalam hal keselamatan dan akses,” kata Krieg.

“Sementara itu, PLC berdepan perpecahan dan gagal menyampaikan perkhidmatan asas di selatan.”

Ungkapan “diiktiraf antarabangsa”, katanya, kini tinggal sekadar di atas kertas.

Kerajaan Aden menghadapi krisis ekonomi besar, sebahagiannya berpunca daripada serangan Houthi terhadap pelabuhan di wilayah selatan pada tahun 2022.

“Sekatan eksport minyak telah mengurangkan hasil kerajaan, memberi kesan besar terhadap perkhidmatan awam dan pembayaran gaji. Ini menambah ketegangan politik dalaman,” jelas Ardemagni.

Keadaan ini termasuk perpecahan dalam kalangan kumpulan selatan, seperti Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kumpulan lain dalam PLC.

“Dengan perpecahan dalaman dan seruan pemisahan di selatan, pakatan anti-Houthi kini lebih sibuk bertelagah sesama sendiri berbanding melawan Houthi,” kata Mokdad.

Sementara itu, ketika kerajaan Aden semakin lemah dan terpinggir, Houthi kini berunding terus dengan Arab Saudi, bekas musuh yang sebelum ini melancarkan perang lapan tahun terhadap mereka, yang berakhir pada 2023.

“Dengan adanya gencatan senjata antara Israel dan Hamas, persoalan besar kini ialah adakah Houthi akan menilai semula strategi mereka,” kata Ardemagni.

“Dan bagaimana mereka akan memantapkan kedudukan serantau mereka ketika ketegangan Timur Tengah semakin reda.”

Yaman