Tentera pengganas Israel dilaporkan melancarkan satu siri pembakaran besar-besaran dengan membakar rumah-rumah orang awam dan infrastruktur penting di Gaza, sejurus selepas perjanjian gencatan senjata dengan Hamas dimeterai.
Menurut laporan Drop Site News, tentera pengganas Zionis telah membakar bekalan makanan, rumah penduduk, serta loji kumbahan utama di Bandar Gaza pada malam 9 Oktober dan awal pagi 10 Oktober.
Laporan itu mengenal pasti beberapa anggota tentera Israel dari pelbagai briged yang telah memuat naik puluhan gambar dan video bangunan sedang terbakar, ketika mereka berundur dari Bandar Gaza ke kawasan yang dikenali sebagai garis kuning, sempadan yang masih terletak jauh di dalam wilayah Gaza.
Pada hari Ahad, seorang askar pengganas Israel dari Briged Kfir memuat naik gambar dirinya berdiri di hadapan timbunan kayu terbakar sambil menulis kapsyen:
“Pada hari Jumaat, sebelum berundur. Membakar makanan supaya ia tidak sampai kepada orang Gaza, semoga nama mereka dipadamkan.”
Beberapa pengganas lain turut berkongsi gambar rumah-rumah yang dibakar di lokasi berbeza, dengan kapsyen yang menunjukkan mereka berbangga dengan perbuatan tersebut.
Seorang daripadanya menyebut pembakaran itu sebagai sentuhan terakhir.
Rumah-rumah rakyat Palestin yang dijilat api turut dijadikan ruang untuk askar-askar ini meluahkan pandangan mereka tentang masa depan kehadiran pengganas Israel di Gaza.
Ada yang menulis kapsyen, “Selamat tinggal dan semoga tidak berjumpa lagi, ini ‘rumah’ saya baru-baru ini.”
Yang lain pula bersumpah akan kembali, dengan nada sinis seolah-olah menulis ulasan hotel:
“Singkat tetapi berkualiti tinggi [penginapan], kami akan kembali.”
Penduduk tempatan yang kembali ke kawasan tersebut kemudian mendokumentasikan kesan kebakaran besar-besaran itu.
Rumah-rumah yang dibakar itu antara satu-satunya yang masih berdiri sebelum ini kerana ia digunakan sebagai pos tentera sementara oleh askar Israel.
Sebelum berundur, tentera rejim turut membakar Loji Rawatan Kumbahan Sheikh Ajlin, kemudahan penting dalam rangkaian sanitasi Bandar Gaza.
Dalam beberapa hantaran media sosial, pengganas Israel dilihat bergambar di hadapan loji yang terbakar, dengan kapsyen:
“[Satu] kenangan terakhir.”
Monther Shoblaq, Ketua Pengarah Coastal Municipalities Water Utility (CMWU) di Gaza, menyatakan bahawa serangan itu boleh menyebabkan sistem kumbahan bandar jatuh ke tahap sifar.
Beliau memberi amaran bahawa kemusnahan loji tersebut akan melambatkan usaha pembinaan semula selama bertahun-tahun.
“Mereka telah menandatangani gencatan senjata,” katanya. “Mengapa perlu membakarnya?”
Kemusnahan terhadap struktur Palestin selepas pengunduran pengganas Israel, yang sebelum itu menggunakan bangunan-bangunan berkenaan sebagai pangkalan sementara bukan perkara baharu.
Namun, skala pembakaran kali ini dilaporkan paling besar berbanding mana-mana insiden sejak Oktober 2023.
Pada Julai lalu, wartawan Israel Yuval Abraham mengumpul testimoni daripada beberapa pengganas yang mendedahkan pelbagai kaedah pembakaran yang digunakan oleh tentera pengganas Israel.
Seorang pengganas menceritakan:
“Setiap rumah Arab yang kami masuki pasti ada minyak zaitun […] Kami tuangkan minyak itu ke atas sofa, ke atas apa sahaja yang boleh terbakar di dalam rumah, kemudian kami nyalakan api atau lemparkan bom asap. Ia amalan biasa.”
Perjanjian gencatan senjata itu berlaku selepas berbulan-bulan kempen sistematik oleh Israel untuk menjadikan Gaza tidak lagi layak didiami dengan memusnahkan rumah, bangunan tinggi dan infrastruktur awam.
Pada September lalu, Menteri rejim Israel Gila Gamliel berkata kepada Channel 7 News:
“Kami sudah memusnahkan sepenuhnya 75% daripada seluruh wilayah Gaza.”
Sejak serangan ganas Israel bermula dua tahun lalu, dianggarkan 80% struktur di Semenanjung Gaza telah rosak atau musnah akibat pengeboman dan pembakaran oleh rejim Zionis.
