Pergerakan Jihad Islam Palestin menegaskan bahawa kumpulan-kumpulan pejuang di Gaza tidak akan menyerahkan senjata mereka, walaupun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengugut untuk merampasnya dengan kekerasan.
Kenyataan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Agung Jihad Islam, Mohammad al-Hindi, dalam wawancara bersama saluran televisyen Al Jazeera pada hari Selasa.
“Faksi-faksi perjuangan tidak pernah bersetuju untuk melucutkan senjata, dan kami tidak akan menerima sebarang ancaman untuk melucutkan senjata secara paksa,” tegas beliau.
Namun pada hari yang sama, Trump ketika berucap di Rumah Putih berkata bahawa para pejuang Gaza akan dilucutkan senjata.
“Dan jika mereka enggan menyerah, kami akan melucutkan mereka, ia akan berlaku dengan cepat dan mungkin secara ganas, tetapi mereka PASTI akan dilucutkan senjata,” katanya dengan nada ugutan.
Al-Hindi menjelaskan bahawa tiada sebarang klausa rahsia dalam perjanjian yang dimeterai pada 9 Oktober lalu, hasil rundingan tidak langsung dengan rejim Israel berdasarkan cadangan Trump.
Beliau menolak dakwaan yang disebarkan oleh media Israel sebagai sekadar khabar angin tanpa asas.
Menurut perjanjian yang diselesaikan di Mesir, Hamas hanya bersetuju untuk membebaskan tawanan Israel yang masih hidup di Gaza serta menyerahkan pentadbiran wilayah itu kepada satu badan Palestin.
Trump mendakwa bahawa rancangan 20 perkara yang dirancangnya itu bertujuan menamatkan perang pembunuhan besar-besaran Israel di Gaza yang telah berlarutan selama lebih dua tahun.
Setakat ini, Hamas telah menyerahkan 20 tawanan Israel yang masih hidup, dan turut memulangkan empat jenazah kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Namun begitu, rejim Zionis terus melanggar perjanjian tersebut, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh atau cedera pada hari Selasa sahaja.
Menurut al-Hindi, usaha Israel untuk menggagalkan pelaksanaan perjanjian itu sudah dijangka, tetapi beliau menegaskan bahawa faksi-faksi perjuangan sedang memantau dengan teliti bagi memastikan hak rakyat Palestin terus dipertahankan.
Rejim Zionis melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada Oktober 2023, selepas serangan balas bersejarah oleh pejuang Palestin yang menyebabkan ratusan tentera dan penduduk Zionis ditawan.
Sejak itu, serangan kejam Israel telah meragut sekurang-kurangnya 67,913 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

