Perang di Gaza telah berakhir atau begitulah yang disangka orang.
Pesawat berhenti berlegar di langit, dentuman meriam pun senyap.
Namun kota itu tidak tidur.
Dari bawah runtuhan, manusia muncul, seolah-olah kehidupan yang disangka telah mati, bangkit semula.
Mereka kembali, bukan sekadar membawa barang mereka, tetapi membawa tanah air mereka di dalam hati.
Dunia menyaksikan pemandangan yang tidak dijangka: lelaki menyapu debu di depan rumah yang hancur, wanita membasuh batu-bata dengan air laut Gaza, dan anak-anak berlari di celah runtuhan mencari bola yang hilang, atau sebuah buku yang belum sempat terbakar.
Dalam beberapa jam sahaja, kehancuran berubah menjadi gerak, kematian berubah menjadi usaha dan runtuhan berubah menjadi semangat juang.
Ia satu keajaiban kemanusiaan seolah-olah Gaza sendiri bangkit dari kubur lalu berkata: “Inilah aku, masih hidup!”
Lebih daripada 60,000 orang telah syahid, lebih 140,000 cedera, dan ribuan rumah musnah.
Namun yang terselamat tidak menunggu bantuan, tidak mengharap belas kasihan atau alasan dari mereka yang mengkhianati dan meninggalkan mereka.
Mereka kembali ke sisa rumah mereka, membina semula dengan tangan kosong, seolah-olah batu-batu itu berkata kepada mereka: “Kamulah batu sebenar kerana keteguhanmu, bukan kerana aku.”
Mereka menanam benih harapan di tengah puing-puing.
Dunia terpegun menyaksikan sebagaimana dunia pernah terkejut dengan ketabahan mereka di tengah kehancuran total.
Apa yang dunia panggil kembali, bagi rakyat Gaza itulah kemenangan, itulah mereka merampas kembali hak yang telah dirampas.
Dalam bahasa Arab yang begitu halus dalam perbezaan makna “fawz” (kemenangan) dan “nasr” (kejayaan atau penaklukan) bukanlah sama.
Fawz bermaksud penyelamatan, keluar dari api dengan jiwa yang masih hidup, walau jasad terbakar; menjaga maruah walau rumah sudah tiada.
Nasr pula bermaksud menundukkan musuh dan menegakkan kehendak sendiri.
Fawz menyelamatkan diri; nasr menewaskan lawan.
Dan Gaza menurut timbangan bahasa dan keadilan menang kerana ia bertahan hidup, dan berjaya kerana ia tetap teguh.
Mereka tiada kapal terbang, tiada kereta kebal, tiada bekalan, tiada sekutu, hanya keyakinan bahawa tanah tidak akan mati selagi ada jantung yang berdegup di atasnya.
Dari tanah itu mereka dicipta; mereka ialah bumi itu sendiri, batu-bata dan runtuhan itu sendiri.
Namun mereka kembali, seperti ombak yang tidak berhenti berlari mengejar esok yang lebih baik.
Gaza tidak mengangkat senjata yang lebih hebat daripada sabar, dan tidak mengibarkan panji yang lebih tinggi daripada harapan.
Allah Ta‘ala berfirman:
كَم مِّن فِئَةٍۢ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةًۭ كَثِيرَةًۢ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ
“Berapa banyak golongan kecil yang mengalahkan golongan besar dengan izin Allah.” (Surah al-Baqarah, 2:249)
Kemenangannya datang daripada Allah semata-mata, bukan dari senjata manusia.
Musuh kehilangan lebih banyak daripada apa yang disangkanya diperoleh, ia kehilangan wajahnya di hadapan dunia.
Sedangkan bendera Palestin dan semangat Gaza kini berkibar di seluruh dunia, dari timur hingga barat.
Setiap jiwa yang bebas di dunia ini kini berkata, “Aku juga dari Gaza.”
Tidak kira warna kulit, agama, mazhab atau bahasa.
Gaza kini memiliki pasport kemuliaan, yang tidak dikeluarkan oleh mana-mana kerajaan.
Namanya ialah Kemenangan.
Dan ia dibawa oleh setiap insan merdeka, tanpa perlu visa, tanpa izin sesiapa.
Nama Gaza kini bergetar di jalan-jalan kota besar dunia, di stadium, di parlimen dan di media paling berpengaruh.
Musuh kehilangan penguasaan naratif, terkejut melihat perubahan peranan dan runtuhnya keseimbangan yang dibinanya berdekad-dekad lamanya.
Arah dunia tidak lagi di tangannya, kapal kini dikemudi oleh jiwa-jiwa merdeka.
Itulah pertolongan Allah, apabila Dia menghendaki.
Kerana kepada-Nya milik tentera langit dan bumi.
Dan bagi Gaza ia menang kerana ia kembali.
Dan kembalinya itulah kemenangan.
Ia menang kerana ketabahannya membuat dunia tunduk, kerana rakyatnya memilih membina semula daripada meratap, memilih tindakan daripada putus asa dan memilih harapan daripada keputusasaan.
Demi Allah, inilah pemandangan kemenangan yang nyata.
Jadi, siapakah yang menang, dan siapa yang benar-benar menang?
Demi Allah, merekalah yang menang kerana mereka tidak menyerah.
Mereka berjaya kerana mereka tidak tunduk, meskipun dunia mengkhianati mereka.
Mereka dihalang dari air, namun tidak lari.
Mereka mahu dihalau, namun tetap di situ.
Rumah mereka dibakar, namun mereka tidak patah.
Perjuangan mereka dikepung, namun tidak berundur.
Mereka cuba dibisukan, namun tidak terdiam.
Mereka tidak tunduk… tidak menyerah… dan tidak akan pernah, hingga ke akhir zaman, dalam keteguhan dan maruah.
Masihkah kamu ingin bertanya: siapa yang menang, dan siapa yang benar-benar menang?

