Mahkamah tertinggi dunia pada hari Rabu memutuskan bahawa larangan Israel terhadap agensi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin serta sekatan bantuannya ke atas Gaza dan Tebing Barat yang dijajah adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Pendapat nasihat (advisory opinion) ini dikeluarkan enam bulan selepas perbicaraan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, di mana lebih daripada 40 buah negara dan pertubuhan antarabangsa mengemukakan bukti bahawa Israel telah melanggar kewajipan undang-undang antarabangsa untuk memudahkan kemasukan bantuan kepada penduduk Palestin di bawah pendudukannya.
Hanya Israel, Amerika Syarikat dan Hungary yang menolak pandangan majoriti itu, dengan alasan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa perlu ditafsir secara longgar atas dasar keperluan ketenteraan dan keselamatan Israel.
Namun pada hari Rabu, mahkamah menolak hujah Israel dan Amerika Syarikat dan sebulat suara memutuskan bahawa Israel sebagai kuasa penjajah wajib memenuhi tanggungjawabnya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memastikan rakyat Palestin menerima keperluan asas kehidupan seperti makanan, ubat-ubatan dan tempat tinggal.
Mahkamah juga memutuskan dengan undian 10 lawan 1 bahawa Israel mesti bersetuju dan memudahkan dengan segala cara yang ada padanya pelaksanaan skim bantuan untuk rakyat Gaza, serta tidak boleh menghalangnya, termasuk bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi PBB, khususnya UNRWA, agensi pelarian Palestin.
Mahkamah menegaskan bahawa tanggungjawab ini adalah tanpa syarat (unconditional) menurut tafsiran berautoriti Artikel 59 Konvensyen Geneva Keempat.
“Sebagai kuasa penjajah, kewajipan Israel di bawah perenggan pertama Artikel 59 untuk bersetuju dan memudahkan skim bantuan sekiranya penduduk tempatan tidak mendapat bekalan mencukupi adalah tanpa syarat,” kata kenyataan itu.
“Kuasa penjajah tidak boleh sama sekali menggunakan alasan keselamatan untuk menggantung semua aktiviti kemanusiaan secara umum di wilayah yang dijajah.”
Mahkamah turut memutuskan secara sebulat suara bahawa Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa yang melarang pengusiran paksa penduduk di bawah jajahannya, serta menghormati larangan menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.
Mahkamah juga menyatakan bahawa Israel mesti menghormati hak tahanan Palestin untuk dilawati oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), dan mengambil maklum bahawa Israel telah menolak akses ICRC sejak 7 Oktober 2023.
Dengan undian 10 lawan 1, mahkamah menegaskan bahawa Israel mesti bekerjasama secara jujur dengan PBB termasuk UNRWA, serta menghormati keistimewaan dan kekebalan yang diberikan kepada premis dan pegawai PBB berdasarkan Piagam PBB dan Konvensyen Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB.
Keputusan hari Rabu ini adalah pendapat nasihat ketiga sejak 2004 yang dikeluarkan ICJ berkaitan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.
Walaupun pendapat nasihat ICJ tidak bersifat mengikat seperti keputusan kehakiman, ia sangat berautoriti dan ditafsir sebagai penjelasan muktamad terhadap undang-undang antarabangsa.
Duta Palestin ke Belanda, Ammar Hijazi, menyambut baik keputusan ini dengan menyatakan:
“Kini tanggungjawab seluruh masyarakat antarabangsa ialah memastikan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan tidak terus melakukan jenayah genosid dan penjajahan terhadap Palestin yang dijajah.”
Beliau menegaskan lagi bahawa penafian bantuan yang penting untuk kelangsungan hidup rakyat Palestin juga merupakan penafian terhadap hak menentukan nasib sendiri (self-determination).
“Ini bukti tambahan bahawa tindakan Israel tidak boleh diterima dalam undang-undang antarabangsa.
“Kini hanya ada dua jalan: sama ada anda berpihak kepada undang-undang antarabangsa, atau berpihak kepada penjajahan, genosid, jenayah perang, dan jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.
UNRWA ‘Bersifat Berkecuali dan Tidak Bersalah’
Pendapat ICJ ini berpunca daripada tindakan Israel mengharamkan UNRWA pada Oktober 2024, tindakan yang mencetuskan kemarahan global serta seruan supaya Israel dikeluarkan daripada PBB kerana melanggar piagam asas pertubuhan itu dan kekebalan agensinya.
UNRWA ialah sumber utama bantuan kemanusiaan bagi kira-kira 5.9 juta pelarian Palestin di wilayah Palestin yang dijajah serta negara-negara jiran.
Agensi ini menyediakan pendidikan, makanan, rawatan perubatan dan bahan bakar dan penutupannya boleh menyebabkan runtuhnya nadi utama kehidupan rakyat Palestin.
Menurut laporan terkini UNRWA, sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 380 kakitangan UNRWA dan melancarkan lebih daripada 900 serangan terhadap premis dan tempat perlindungan UNRWA.
Parlimen Israel (Knesset) meluluskan dua undang-undang pada Oktober 2024 melarang UNRWA beroperasi di Israel dan wilayah Palestin yang dijajah.
Undang-undang itu juga menggugurkan kekebalan diplomatik PBB, bertentangan dengan Piagam PBB.
Larangan ini berkuat kuasa mulai Januari.
Undang-undang pertama menyatakan bahawa UNRWA tidak boleh menjalankan sebarang institusi, menyediakan perkhidmatan atau menjalankan apa-apa aktiviti secara langsung atau tidak langsung di Israel.
Undang-undang kedua melarang pegawai kerajaan Israel berhubung dengan UNRWA.
Kerajaan Israel sememangnya lama bersikap bermusuhan terhadap UNRWA kerana agensi itu mengekalkan status pelarian bagi rakyat Palestin yang dihalau dari tanah air mereka pada tahun 1948 (peristiwa Nakbah) serta keturunan mereka.
Pada Januari 2024, Israel menuduh 12 kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan Hamas 7 Oktober, kononnya membantu menculik orang awam dan mengedarkan peluru.
Namun siasatan PBB pada April 2024 tidak menemui sebarang bukti salah laku oleh kakitangan UNRWA dan menyatakan bahawa Israel tidak pernah memberikan sebarang nama atau bukti konkrit sejak tahun 2011.
Dalam pendapatnya, mahkamah mendapati bahawa Israel gagal membuktikan dakwaannya bahawa ramai kakitangan UNRWA berafiliasi dengan Hamas.
Mahkamah menegaskan bahawa UNRWA bersifat berkecuali dan sangat penting dalam menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin sebagaimana diamanahkan oleh Perhimpunan Agung PBB.
“Mahkamah mendapati tiada bukti bahawa UNRWA sebagai entiti telah melanggar prinsip berkecuali sebagaimana yang termaktub dalam Artikel 59,” katanya.
“Dengan kata lain, tiada bukti bahawa UNRWA mendiskriminasi berdasarkan bangsa, agama, kelas atau pandangan politik dalam pengagihan bantuan di wilayah Palestin yang dijajah.”
Mahkamah juga menyatakan bahawa tiada maklumat mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa UNRWA bukan organisasi neutral.
Ia turut menegaskan bahawa Israel telah mengepung sepenuhnya Gaza antara 2 Mac dan 18 Mei 2024 dan cuba menggantikan peranan PBB dengan sebuah badan ciptaan Israel sendiri yang dipanggil Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
Mahkamah mendapati bahawa GHF gagal memenuhi keperluan asas rakyat Gaza seperti yang dikehendaki undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Mahkamah mengambil maklum bahawa PBB melalui UNRWA adalah penyedia utama bantuan kemanusiaan yang tidak dapat digantikan,” katanya.
“Israel wajib bersetuju dan memudahkan pelaksanaan skim bantuan yang disediakan oleh PBB dan agensinya, termasuk UNRWA.”
Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini, menyambut baik keputusan ini sebagai pengesahan yang jelas dan tegas terhadap tanggungjawab undang-undang Israel.
“Dakwaan Israel bahawa UNRWA telah disusupi oleh Hamas tidak terbukti. Begitu juga dakwaan bahawa UNRWA tidak neutral,” katanya.
“Kini mesti ada akauntabiliti terhadap pembunuhan kakitangan UNRWA, layanan buruk terhadap petugas kemanusiaan yang ditahan, serta pemusnahan dan penyalahgunaan kemudahan UNRWA.”
