Ketika pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang akan diteruskan dan diletakkan secara rasmi di bawah agenda pembangunan negara.
Namun, di sebalik sorakan pembangunan untuk wilayah utara itu, satu projek penting di Pantai Timur, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) langsung tidak disebut.
Perkara ini menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat, khususnya di Terengganu dan Kelantan.
Di media sosial, suara sinis kedengaran, merendahkan harapan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam), yang berulang kali menggesa kerajaan Persekutuan memberi komitmen penuh terhadap pelaksanaan projek LPT3.
Antara sindiran yang kedengaran, “Mudoh jadi MB dih… bleh mitok ngn pusat… xyg pening2 cari pitih utk negeri.”
Namun persoalannya: Sejak bila pembinaan lebuh raya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri?
Janji Lama yang Masih Tergantung
Untuk rekod, hasrat pembinaan LPT3 bukanlah perkara baharu.
Ia telah diumumkan seawal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada tahun 2006, dengan kos asal sekitar RM2.867 bilion.
Namun selepas beberapa kali penangguhan, kos kini dianggarkan meningkat kepada RM9.8 bilion, hampir tiga kali ganda.
Penangguhan demi penangguhan bukan sahaja menjejaskan kelancaran perancangan infrastruktur di Pantai Timur, tetapi turut memperlihatkan ketiadaan garis masa yang jelas (milestone) oleh kerajaan Persekutuan.
Dalam bahasa mudah: projek ini masih kabur, tiada tarikh, tiada hala tuju.
Kemajuan di Barat, Penantian di Timur
Tiada siapa menafikan bahawa LRT Pulau Pinang merupakan satu inisiatif yang baik.
Ia bakal menjadikan negeri itu lebih maju dan berdaya saing dari segi ekonomi serta pelancongan.
Namun, di saat satu wilayah menikmati kemudahan moden, wilayah lain terus menunggu keperluan asas yang belum tertunai.
Pada awal tahun 2024, kerajaan Persekutuan mengumumkan pengambilalihan penuh projek tersebut, kini dikenali sebagai LRT Laluan Mutiara dengan jajaran yang dipanjangkan dari Macallum ke Penang Sentral.
Menjelang Disember 2024, kerajaan meluluskan siling bajet RM16.8 bilion, berbanding anggaran asal RM10 bilion pada tahun 2016.
Bandingkan dengan LPT3, yang telah disebut sejak hampir dua dekad lalu, tetapi masih belum bermula walau sebatang jalan dibuka.
Kerjasama Antara Negeri dan Persekutuan
Dr Ahmad Samsuri berkali-kali menegaskan bahawa kerjasama antara negeri dan kerajaan Persekutuan perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama, bukan pertentangan politik.
Kerjasama ini harus bersifat melintasi partai dan melintasi sempadan.
Rakyat di Pantai Timur juga rakyat Malaysia.
Mereka bukan mengemis.
Mereka menuntut hak yang sewajarnya.
Jika projek LRT di Pulau Pinang dilaksanakan atas dasar kemudahan, maka projek LPT3 adalah soal keperluan.
Ketidakseimbangan Wilayah: Luka Lama yang Belum Sembuh
Dalam perbahasan Belanjawan baru-baru ini, Dr Sam menegaskan dengan tegas:
“Tiada negara yang mampu mencapai kemajuan sebenar tanpa penyertaan wilayah secara saksama.
Bagaimana Malaysia ingin mencapai status negara maju menjelang 2030 jika ketidakseimbangan wilayah masih wujud?”
Kata-kata itu bukan sekadar retorik. Ia mencerminkan realiti.
Bagaimana mungkin Malaysia mahu bergerak sebagai satu negara maju, jika pembangunan hanya berpusat di sebelah barat Semenanjung sementara Pantai Timur terus menunggu giliran yang entah bila tiba?
Antara Kemajuan dan Keadilan Sosial
Kita tidak menolak pembangunan Pulau Pinang. Ia wajar.
Namun, dalam merancang pembangunan negara, perlu ada penyusunan keutamaan (priority setting).
Pantai Timur, yang selama puluhan tahun menyumbang hasil minyak negara, sewajarnya mendapat perhatian yang adil.
Seperti diingatkan oleh rakyat Terengganu,
“Tanpa Terengganu, tiadalah menara berkembar KLCC.”
Puluhan tahun hasil minyak disedut dari bumi negeri ini.
Namun rakyatnya tetap bersabar, tidak mendesak hingga mahu berpisah daripada Malaysia.
Apa yang diminta hanyalah keadilan sosial dan pembangunan yang saksama.
Rakyat Sedang Menilai
Zaman sudah berubah.
Rakyat kini bukan lagi kelompok yang buta maklumat.
Segala fakta, bajet dan pengumuman kerajaan boleh dicapai di hujung jari.
Setiap tindakan, termasuk keutamaan pembangunan diperhatikan dan dinilai.
LPT3 bukan sekadar projek. Ia simbol keadilan wilayah.
Ia bukan kemudahan tambahan, tetapi keperluan asas untuk lebih 3.14 juta penduduk Pantai Timur.
Kerajaan perlu bertindak bijak, bukan sekadar menampung tekanan politik, tetapi menyeimbangkan pembangunan secara strategik dan adil.
Kerana akhirnya, rakyat menilai dan sejarah akan mencatat siapa yang benar-benar memahami makna pembangunan untuk semua.
