Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata, Israel sama sekali tidak berniat untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam perjanjian tersebut.
Sebaliknya, rejim itu sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamatnya selepas 7 Oktober, iaitu melakukan pembersihan etnik terhadap Gaza dan membentuk semula Timur Tengah melalui kekerasan dan kekuatan ketenteraan.
Israel terus melakukan pelanggaran harian terhadap perjanjian gencatan senjata di Gaza dan kini sedang merancang satu strategi baharu bagi mencapai pelbagai tujuannya melalui cara yang berbeza.
Hakikatnya, apa yang sedang dilaksanakan bukanlah penghentian perang, malah bukan juga gencatan senjata sebenar; sebaliknya ia merupakan agenda tersusun yang semakin hari semakin berkembang menjadi sesuatu yang lebih berbahaya dan jahat.
Sementara itu, ramai penganalisis telah terperangkap dalam kepercayaan bahawa Pelan 20 Perkara yang dikemukakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat di bawah Donald Trump serta penguatkuasaan gencatan senjata selepasnya, benar-benar bertujuan untuk menamatkan konflik di Gaza.
Namun kini, kepercayaan itu sedang runtuh sedikit demi sedikit, apabila kebenaran mula terserlah bahawa pelan tersebut hanyalah satu helah politik untuk menutup agenda sebenar, meneruskan penjajahan dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Memahami Cara Fikiran Israel
Isu utama dalam wacana arus perdana mengenai Gaza dan juga dalam bingkai naratif media alternatif ialah salah faham yang mendasar tentang hakikat sebenar apa yang sedang berlaku di Gaza.
Bagi sesetengah pihak, perkara ini mungkin kelihatan remeh dan asas, namun jika asas kefahaman seseorang terhadap isu ini sudah pun cacat, maka kesimpulan yang dibuat daripadanya juga pasti akan tersasar.
Kini telah diterima secara meluas bahawa apa yang dilakukan oleh Israel terhadap Gaza ialah pembunuhan beramai-ramai (genosid).
Namun, adalah penting untuk memahami implikasi sebenar daripada pengakuan ini.
Dalam konteks Gaza, genosid bermaksud pemusnahan sesuatu bangsa secara keseluruhan atau sebahagian dan ini dengan sendirinya menolak dakwaan bahawa Israel hanya sedang memerangi Hamas.
Walaupun konsep ini mudah difahami, namun analisis yang mendalam terhadap apa yang sedang berlaku sebenarnya masih kurang diberikan perhatian.
Jika Israel benar-benar sedang melakukan genosid dan hakikatnya memang demikian, maka persoalan besar yang timbul ialah: Mengapa?
Ada yang berpendapat bahawa Israel telah melakukan genosid di Semenanjung Gaza sebagai satu bentuk balas dendam, didorong oleh kehausan darah akibat tindakan kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober 2023.
Namun, hujah ini sebenarnya tidak masuk akal.
Ia bukan sahaja tidak masuk akal dari perspektif selepas 7 Oktober, tetapi juga dari sudut sejarah yang lebih luas.
Jika semata-mata dendam merupakan faktor utama, maka ini sama sekali mengabaikan sejarah panjang penindasan, penyiksaan dan keganasan sewenang-wenangnya yang telah dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin selama beberapa dekad.
Ia juga menafikan matlamat utama Zionisme, iaitu untuk menakluk seluruh wilayah yang mereka dakwa sebagai Eretz Israel (Tanah Israel Besar).
Dalam tahun-tahun sebelum 7 Oktober 2023, jumlah kematian di Tebing Barat meningkat mendadak sehingga mencapai tahap yang tidak pernah dilihat sejak Intifadah Kedua pada awal 2000-an.
Para pendatang haram Yahudi yang fanatik semakin berani menceroboh dan mencemarkan kawasan Masjid Al-Aqsa, sementara tempat-tempat ibadah Kristian turut menjadi sasaran kekerasan dan sekatan yang disokong oleh negara.
Komuniti Palestin di seluruh Tebing Barat hidup di bawah ancaman berterusan penghapusan etnik, berdepan serangan dan pembunuhan berjadual (pogrom) yang dilakukan di bawah pengawasan pihak berkuasa Israel sendiri.
Sementara itu, lapisan politik Zionis berusaha untuk mengisytiharkan pengilhakan rasmi (de jure annexation) terhadap sekurang-kurangnya Kawasan C, yang merangkumi kira-kira 60% wilayah tersebut.
Dalam masa yang sama, penduduk Gaza, yang tinggal di kawasan yang telah diisytiharkan oleh pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tidak lagi sesuai untuk didiami menjelang tahun 2020, dibiarkan terperangkap dan mati perlahan-lahan di dalam sebuah kem tahanan terbuka (open-air concentration camp), di bawah sekatan dan kepungan kejam Israel.
Israel telah mencatat pelbagai babak kematian dan kemusnahan ke atas Semenanjung Gaza, sama ada melalui sekatan tidak berperikemanusiaan selama hampir dua dekad yang lalu, atau melalui siri pengeboman yang membunuh ratusan, malah dalam beberapa kes ribuan orang awam.
Kisah penderitaan ini bermula sejak tahun 1948, apabila Semenanjung Gaza terbentuk hasil daripada populasi pelarian yang diusir secara etnik dari tanah air mereka, tanah yang kini dinamakan Israel oleh Zionis, di mana sejak itu mereka menanggung segala bentuk kesengsaraan di bawah penindasan rejim Israel.
Pada tahun 2014, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah melancarkan perang selama 51 hari untuk mencari penyelesaian kepada apa yang Israel gelar sebagai Soalan Gaza (Gaza Question), namun gagal menemui sebarang penyelesaian ketenteraan.
Sebagai contoh, apabila tentera Israel cuba menyerang infrastruktur terowong Hamas dan bertempur secara langsung dengan pasukan penentangan Palestin, mereka mengalami kerugian besar dan empat orang askar Israel telah ditawan sebagai tahanan perang.
Menjelang tahun 2017, Hamas berada di bawah tekanan hebat, namun pada masa yang sama melahirkan beberapa inisiatif yang berusaha mencapai matlamat politik melalui kompromi dan tanpa keganasan.
Pada tahun tersebut, Hamas mengeluarkan Piagam baharu yang menerima kemungkinan gencatan senjata jangka panjang bagi mencapai penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution), di samping turut mengecam antisemitisme serta menegaskan pendirian politik yang lebih sederhana.
Pada tahun yang sama juga, Hamas memulakan proses menandatangani perjanjian perpaduan dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA), di mana pihak berkuasa yang berpangkalan di Ramallah sepatutnya mengambil alih pentadbiran Gaza.
Sehubungan dengan itu, pasukan keselamatan PA mula dikerahkan ke sempadan Rafah, disambut dengan perayaan di seluruh Semenanjung Gaza.
Namun, tekanan daripada Amerika Syarikat dan Israel menyebabkan perjanjian tersebut runtuh sebelum sempat dilaksanakan sepenuhnya.
Kemudian pada tahun yang sama, Pihak Berkuasa Palestin mula mengurangkan dan memotong gaji para pegawai mereka di Gaza, yang menambahkan lagi beban terhadap Hamas.
Akhirnya, Israel memperkenalkan sistem bantuan kewangan Qatar yang kontroversi, digunakan untuk mengelakkan keadaan di Gaza daripada meletus menjadi konflik berskala besar yang boleh menimbulkan ketegangan, khususnya terhadap penempatan Israel di sekitarnya.
Pada tahun 2018, Hamas turut memberi sokongan penuh terhadap pergerakan Perarakan Pulang Besar (Great March of Return).
Ramai yang tidak mengetahui bahawa walaupun Hamas sebelum ini sering bertindak balas terhadap serangan udara Israel, namun sehingga 11 November tahun tersebut, apabila Israel cuba (dan gagal) menculik seorang komander kanan Hamas di Gaza, Hamas sebenarnya tidak pun melancarkan roket sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel.
Akhirnya, pendekatan tanpa kekerasan yang diambil telah membawa kepada pembunuhan ratusan orang awam serta krisis sistem kesihatan, di mana puluhan ribu orang cedera.
Media arus perdana Barat pula berbohong bagi pihak Israel, dengan mendakwa bahawa tunjuk perasaan tersebut adalah rusuhan dan bahawa Israel sedang mempertahankan sempadannya, sedangkan kedua-dua dakwaan itu sama sekali tidak benar.
Berkali-kali Hamas telah cuba mencari jalan penyelesaian terhadap keadaan hidup yang tidak tertanggung di Gaza, namun pihak Israel bertekad untuk membiarkan wilayah itu terus menjadi masalah yang tidak boleh diselesaikan.
Bagi mereka, keadaan Gaza boleh dikawal melalui pembunuhan beramai-ramai secara berkala serta pembunuhan pemimpin-pemimpin Palestin, sesuatu yang telah berlaku selama berdekad-dekad, bukan sekadar dalam peperangan besar tahun 2008–2009, 2012, 2014, dan 2021.
Sebaliknya, Israel menumpukan usaha ke arah pengembangan Perjanjian Abraham (Abraham Accords) untuk melibatkan Arab Saudi dan negara-negara lain, sekali gus membunuh inisiatif yang dikenali sebagai Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative), satu pelan yang dicadangkan oleh Riyadh yang mensyaratkan penubuhan sebuah Negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 sebagai prasyarat untuk normalisasi hubungan dengan Israel.
Menjelang 7 Oktober 2023, Israel sedang giat melaksanakan rancangan perampasan Tebing Barat (West Bank annexation), memperluas dasar pembersihan etnik di Baitulmaqdis Timur dan pada masa sama meminggirkan Gaza sepenuhnya.
Namun apabila Hamas melancarkan Operasi Taufan al-Aqsa (Operation Al-Aqsa Flood), ia telah memusnahkan sistem pertahanan selatan Israel, memberikan tamparan ketenteraan paling hebat dalam sejarah rejim itu dan menggoncang seluruh rantau sekitarnya.
Bagi pihak Israel, dua perkara besar telah berlaku, membuka dua jalan yang bertentangan: sama ada menuju kepada kelahiran semula Israel atau kehancurannya.
Apa yang diisytiharkan oleh kepimpinan tertinggi Israel mengenai niat mereka terhadap Gaza adalah tepat seperti yang sedang mereka laksanakan dan masih berterusan selepas dua tahun berlalu.
Dalam pandangan mereka, permainan telah berubah sepenuhnya.
Sudah tiba masanya untuk mempercepatkan rancangan jangka panjang mereka, rancangan yang pada asalnya dirancang untuk diselesaikan dalam tempoh sedekad bagi menyelesaikan persoalan Gaza dan membentuk semula Timur Tengah melalui kekerasan dan kekuatan ketenteraan.
Inilah sebabnya mengapa Israel begitu bersungguh-sungguh memusnahkan Gaza sebagai sebahagian daripada tindakan genosidnya.
Sehingga hari ini, tenteranya, bersama kontraktor awam Israel yang dibayar elaun bahaya, sedang merobohkan baki infrastruktur awam Palestin yang masih wujud di kawasan yang Israel gelar sebagai Garis Kuning (Yellow Line), iaitu meliputi kira-kira 54–58 peratus kawasan Gaza.
Secara logiknya, jika Israel baru sahaja melakukan genosid dan masih terus membunuh orang awam setiap hari serta menghancurkan bangunan-bangunan yang masih tinggal di Semenanjung Gaza, adakah munasabah untuk mempercayai bahawa Israel telah menerima pengakhiran konflik?
Kesimpulan sebegitu hanyalah khayalan yang tidak berpijak pada realiti.
Apa yang dilakukan Israel ialah berpegang teguh kepada matlamat perang yang ingin dicapainya sejak 7 Oktober 2023.
Walaupun ada pihak yang mampu melihat perkara ini dengan jelas, mereka melakukan satu lagi kesilapan penting dalam kefahaman terhadap situasi semasa, iaitu menganggap rancangan itu terhad kepada Palestin atau sekurang-kurangnya hanya kepada Gaza.
Kesilapan yang sama pernah dilakukan oleh ramai pihak serantau, termasuk dalam kalangan anggota paksi mujahiddin yang dipimpin Iran.
Hanya setelah pembunuhan pemimpin Hezbollah, Seyyed Hassan Nasrallah, elemen rancangan menyeluruh Israel ini benar-benar difahami, kerana ramai telah tertipu untuk mempercayai bahawa Gaza sahaja merupakan sasaran sebenar.
Di mata Israel, selagi penduduk Gaza masih berada di situ, lama-kelamaan para pejuang akan kembali muncul, dan isu tersebut akan bermula semula.
Dari segi logik, ini wajar difahami: tindakan yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Gaza hanya akan membesarkan lagi keinginan untuk membalas dan menentang, walaupun semua kumpulan bersenjata dilucutkan senjata dan gelombang pejuangan berikutnya mengambil masa beberapa dekad untuk muncul semula.
Sementara itu, ancaman yang lebih besar mengintai di utara, di mana Hezbollah masih wujud dengan kekuatan yang signifikan.
Walaupun penyebar propaganda mendakwa kumpulan itu sudah lumpuh, kepimpinan Israel sendiri menyedari bahawa perkara itu tidak benar.
Bagi mereka yang berhujah bahawa Hezbollah sudah berakhir, pertimbangkan hal berikut: pada 7 Oktober 2023, Hamas bukanlah satu kuasa ketenteraan yang setara dengan Hezbollah, malah jauh lebih kecil, namun ia berjaya menggoncang komando selatan Israel dan pejuangnya melancarkan operasi merentasi halangan pemisah selama sekurang-kurangnya dua hari selepas serangan awal.
Jika Hezbollah memilih untuk bertindak, ia pasti mampu melancarkan serangan hebat terhadap Israel.
Malah, sekiranya pejuang Hezbollah mampu menembusi sempadan dan memasuki Galilea, bencana ketenteraan sedemikian bagi Israel akan menggagalkan objektif yang cuba dicapai melalui genosid di Gaza.
Genosid di Gaza merupakan satu strategi untuk memusnahkan sepenuhnya wilayah itu dan menghukum serta melemahkan perjuangan kebangsaan Palestin melalui pembunuhan beramai-ramai, bertujuan mematahkan semangat mereka dan menjadikan kehidupan di Gaza tidak lagi mungkin diteruskan.
Ia juga menghantar mesej kepada paksi mujahiddin serantau dan dunia Arab bahawa sesiapa yang mencabar Israel secara ketenteraan akan menderita nasib yang serupa.
Orang-orang Israel tidak akan duduk diam menunggu kekuatan mujahiddin baru muncul di Syria, atau menunggu gerakan mujahiddin Lubnan (Hezbollah) menjadi cukup kuat untuk menjadi kuasa penangkal (deterrence), atau membenarkan Iran kembali memainkan peranan sebagai imbangan kuasa serantau seperti sebelum 7 Oktober 2023.
Benjamin Netanyahu sentiasa menegaskan bahawa matlamatnya ialah kemenangan mutlak (total victory), dan walaupun gencatan senjata telah dikenakan di Gaza, beliau secara terbuka menyatakan bahawa perang masih belum berakhir.
Pelan Damai yang Mustahil
Selama bertahun-tahun, bukan sahaja dalam kalangan parti-parti politik utama Israel tetapi juga majoriti penduduk Yahudinya, mereka menolak sama sekali idea untuk berunding mengenai pembentukan sebuah Negara Palestin, walaupun hanya di atas 22 peratus daripada tanah Palestin bersejarah.
Satu-satunya halangan besar bagi Israel untuk mencapai impian Zionisnya ialah masih wujudnya penduduk Palestin di tanah itu serta kewujudan pakatan ketenteraan serantau yang menyokong perjuangan mereka dan menggalakkan perjuangan bersenjata.
Pada Januari 2020, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mendedahkan apa yang dinamakan sebagai pelan ‘Deal of the Century’ (Perjanjian Abad Ini).
Jika dilihat secara terperinci, pelan ini bukan sahaja selari dengan cadangan-cadangan terdahulu yang pernah dikemukakan oleh Parti Likud Israel, yang ketika itu tidak diambil serius oleh Amerika tetapi juga bertepatan dengan Pelan Damai yang sedang dicadangkan pada hari ini.
Isi utama pelan tersebut ialah untuk menubuhkan satu siri wilayah terpisah, seperti kanton kecil atau kem tahanan mini yang akan diletakkan di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Mengikut rancangan ini:
- Lembah Jordan dan sebahagian besar Kawasan C (Area C) di Tebing Barat akan dianeksasi oleh Israel,
- Baitulmaqdis yang diduduki akan dikuasai sepenuhnya oleh Israel, dan
- kawasan Abu Dis (terletak di timur Baitulmaqdis, di belakang tembok pemisah Israel) akan dijadikan ibu kota de facto bagi Palestin.
Cadangan terkini pentadbiran Trump pula mengambil ‘Deal of the Century’ ini dan menyusutkannya lebih jauh lagi, menjadikan ia lebih berat sebelah kepada Israel.
Sementara itu, negara-negara Eropah dan Arab mencadangkan pembentukan sebuah Negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, melalui satu rangka kerja yang mereka sebut sebagai ‘Deklarasi New York’.
Namun, pentadbiran Trump menerima rancangan itu dengan dua syarat utama:
1. Tiada Negara Palestin sebenar, dan
2. Tiada ibu kota di Baitulmaqdis Timur yang dijajah.
Inisiatif Deklarasi New York, yang dirangka oleh Arab Saudi dan Perancis, turut menetapkan bahawa semua aktor bukan negara (non-State actors) akan diketepikan dan diharamkan daripada proses politik.
Dengan kata lain, hanya calon-calon pilihan mereka dari sayap arus perdana Fatah akan diiktiraf sebagai sah untuk menyertai pilihan raya, satu ketetapan yang secara jelas menghapuskan demokrasi sebenar.
Pandangan Saudi-Perancis juga menetapkan bahawa Palestin mesti dinyahpersenjatai sepenuhnya (demilitarized), menjadikannya satu-satunya negara di dunia yang diharamkan mempunyai angkatan tentera sendiri.
Sudah tentu, tiada sebarang hukuman akan dikenakan terhadap Israel atas jenayah genosidnya; malah, mereka akan diberi ganjaran di bawah pelan ini.
Palestin yang bakal diwujudkan itu juga akan menjadi sebuah negara di mana pimpinan Palestin tidak mempunyai kuasa terhadap sistem pendidikan mereka sendiri, sebaliknya dipaksa menerima program pendidikan semula yang digubal oleh pihak asing – Israel.
Seperti yang diterangkan dalam ucapan Presiden Perancis Emmanuel Macron di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), inisiatif ini turut menuntut pelucutan senjata Hamas dan penghantaran pasukan antarabangsa ke Gaza, yang hanya boleh dilakukan di bawah syarat dan penyelarasan ketat oleh pihak Israel.
Secara ringkasnya, kedua-dua cadangan sama ada daripada Amerika Syarikat mahupun sekutunya adalah hampir serupa, kecuali bahawa satu daripadanya bertujuan memuaskan hati pegawai-pegawai korup dalam Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang kini sebahagiannya mengurus hal ehwal pentadbiran di Tebing Barat.
Menariknya, Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Presidennya yang tidak pernah dipilih secara sah, Mahmoud Abbas, hanya masih relevan hari ini kerana wujudnya Hamas, walaupun mereka sering menyalahkan Hamas atas segala peristiwa sejak 7 Oktober 2023.
Jika bukan kerana Hamas, Palestin tidak akan diiktiraf pun sebagai sebuah entiti politik.
Tiada perhatian Arab, tiada dana dari Amerika Syarikat atau Eropah, dan tiada periuk emas yang mengalir ke kelompok elit korup yang berpusat di Ramallah.
Sementara PA telah menguburkan perjuangan Palestin, merampas kepimpinannya dan menjadikannya bahan ejekan di mata dunia kerana ketamakan dan kebergantungan kepada bantuan asing, gerakan-gerakan bersenjata yang mereka lawan habis-habisan itulah sebenarnya yang sedang mengangkat semula perjuangan Palestin ke pentas dunia.
Ramai mungkin bertanya:
Mengapa gerakan kebangsaan Palestin gagal mengambil peluang pada saat dunia kini bersatu menyokong perjuangan mereka?
Jawapannya sangat mudah, kerana korupsi dalam Pihak Berkuasa Palestin.
Dan korupsi yang dimaksudkan bukanlah sekadar nepotisme kecil atau penyelewengan kewangan oleh individu tertentu, tetapi pengkhianatan total terhadap perjuangan bangsa itu sendiri.
Memang benar bahawa semua kerajaan atau pergerakan sementara pasti mempunyai bentuk kelemahan manusiawi seperti ini, namun dalam kes Palestin, ia telah menjadi satu bentuk penjualan maruah perjuangan, demi kuasa dan kepentingan peribadi.
Kritikan ini berbeza secara ketara daripada kritikan yang selalu dilontarkan terhadap Parti Fatah pada dahulu, terhadap ahli-ahli lain dalam PLO dan juga beberapa kumpulan yang beroperasi di luarinya.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) hari ini tidak setanding dengan PLO zaman silam.
Ia bukan sekadar sebuah pentadbiran yang menghadapi masalah, seperti neo-patrimonialisme, salah pengiraan politik atau menandatangani perjanjian yang merugikan rakyat Palestin, tetapi telah menjadi sebuah rejim korup yang berfungsi sebagai kontraktor sang penjajah.
Ia bertindak ibarat hamba di rumah tuan.
Kembali kepada agenda Israel.
Peluang mereka untuk benar-benar mematuhi pelan itu tipis, melainkan jika Amerika Syarikat secara luar biasa mengambil tindakan tegas dan memaksa mereka, sesuatu yang amat mustahil memandangkan Washington kerap memberi lampu hijau kepada setiap pelanggaran Israel dan tidak berani mencabarnya.
Jika Israel benar-benar serius mengenai pembinaan semula Gaza, mengapa mereka mewujudkan dan terus menggajikan warga awam dari sektor swasta untuk merobohkan infrastruktur Palestin di Gaza setiap hari?
Jika mereka benar-benar mahu sebuah pasukan pentadbiran Palestin yang teknokratik di Gaza, mengapa mereka terus menyokong tiga kumpulan proksi yang dikaitkan dengan ISIS di belakang Garis Kuning?
Menurut Axios News, AS dilaporkan memberi lampu hijau kepada strategi Israel di mana wang pembinaan semula akan mula digunakan untuk membina struktur di kawasan Gaza yang mereka kawal.
Rancangan ini kemudian akan menempatkan orang awam di situ di bawah penjajahan Israel dan kumpulan proksi jenayah mereka.
Sementara itu, Israel terus menghalang kemasukan keperluan asas ke dalam Semenanjung Gaza.
Perjanjian gencatan senjata sepatutnya membenarkan 400 lori bantuan masuk setiap hari untuk lima hari pertama, kemudian 600 atau lebih selepas itu.
Israel dikatakan bersetuju dengan angka 600 lori sehari.
Sehingga kini, purata yang dibenarkan hanyalah kira-kira 90 lori sehari, sementara Gaza terus menderita kekurangan makanan yang teruk di seluruh wilayah yang diblok tersebut.
Jika Israel sendiri tidak mampu menahan diri daripada membunuh lebih 100 orang awam setakat ini dan terus menyekat bantuan, apakah harapan bahawa mereka akan membenarkan sebuah entiti politik yang sah berfungsi, apatah lagi membenarkan pembinaan semula?
Mereka bahkan tidak membenarkan jentera berat masuk ke Gaza yang diperlukan untuk mengeluarkan dengan cepat dan selamat mayat para tawanan mereka yang mati, yang tersimpan di bawah runtuhan hasil bom sendiri.
Jika kita kembali ke 2014, Israel juga ketika itu sepatutnya membenarkan pembinaan semula Gaza, namun mereka turut melarang kemasukan peralatan dan bahan yang amat diperlukan.
Hanya kebijaksanaan dan kepintaran rakyat tempatan berjaya mengatasi halangan itu pada masa tersebut.
Perjanjian gencatan senjata ini tidak pernah diwujudkan untuk menamatkan genosid atau membuka jalan kepada keamanan.
Ahli teori perang Prusia, Carl von Clausewitz, sering dikutip menyatakan bahawa perang ialah kesinambungan politik dengan cara yang lain, kenyataan yang relevan di sini.
Israel mempunyai matlamat jelas untuk menakluk apa yang mereka anggap sebagai Israel Raya (Greater Israel).
Pada masa ini, mereka sedang meneruskan rancangan untuk melemahkan mujahiddin melalui cara politik dan akan meneruskan perang apabila mereka menganggap perlu.
Israel mesti ditundukkan oleh mujahiddin serantau, jika tidak ia akan terus maju sehingga mencapai apa yang mereka namakan ‘kemenangan total’.
