Abang Mat Sabu Yang Lejen

Abang Mat Sabu Yang Lejen

Aku tidak pasti mana dahulu antara dua kenyataan ini yang dikeluarkan.

Tetapi formula mudah dalam politik negara, kalau nak naik cepat atau kipas boss dalam mana-mana organisasi yang menjadi seteru PAS, perkara yang wajib dilakukan ialah mereka mesti mengutuk PAS.

Untuk rekod, slogan Membangun Bersama Islam adalah slogan yang dimulakan oleh allahyarham Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu.

Dan ketika itu Abang Mat menjadi pimpinan PAS, beliau cukup marah dengan RTM yang selalu menghina Kelantan seperti dalam isu air yang penuh keladak.

Beliau juga pernah menjadi salah seorang Ahli Parlimen Kelantan waktu itu.

Abang Mat sudah mangli dijemput dalam program ceramah ‘Dua Jam Bersama Mat Sabu’ dan Abang Mat cukup steady berdiri dengan lidah yang fasih dan lancar, hanya terhenti untuk menenguk minuman sahaja, akan membelasah RTM secukup rasa yang pada ketika itu diketuai oleh allahyarham Zainuddin Maidin atau Zam sebagai Menteri Penerangan.

Itu ketika zaman allahyarham TGNA masih ada memerintah Kelantan dan amarah Abang Mat cukup jelas kerana tahu Kerajaan Pusat pimpinan Umnolah yang telah menyekat banyak peruntukan kepada Kelantan sehingga menghadapi banyak masalah mentadbir negeri.

Tetapi sebelum allahyarham TGNA meninggal, Abang Mat dan rakan-rakan perlahan-lahan telah menunjukkan perubahan hati bagaikan lebih sayangkan PKR dan DAP (boleh rujuk Langkah Kajang – permulaan kepada runtuhnya PR) dan kemudian rakan-rakannya pula menuduh Presiden PAS ingin membawa mereka dilacurkan kepada Umno yang mana kini menjadi teman lacuran mereka.

Dan sekarang ini, setelah menjadi menteri, Abang Mat pula dilihat menggantikan tugasan allahyarham Zam, walaupun beliau bukan Menteri Penerangan, akan tetapi hasil melacurkan diri kepada Umno, termakan budi Umno.

Maka beliau secara sukarela mengambil tugasan menghina Kelantan dan negeri-negeri PAS, kendatipun tahu peruntukan kepada negeri-negeri PAS, masih banyak disekat sama seperti Umno dahulu buat.

Begitulah…

Teringat aku kepada kumpulan orang dalam PAS yang selalu mengkafirkan Umno suatu masa dahulu, majoriti mereka akhirnya masuk Umno.

Ada yang mati dalam Umno, ada yang berjaya masuk PAS semula.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis