Dalam pertemuan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Hulu Terengganu malam ini, Exco Kerajaan Negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkongsi pengalaman peribadi yang menjadi asas kepada pendekatan pentadbiran berteraskan keadilan dan penyatuan masyarakat sejak 2018.
Beliau mengimbas kembali detik 10 Mei 2018, sehari selepas Pilihan Raya Umum ke-14, apabila kerajaan baharu negeri Terengganu mula dibentuk.
Ketika itu, katanya, pintu penyatuan ummah dibuka dengan langkah berani dan matang, menghapuskan budaya dendam politik dan membuka ruang kerjasama kepada seluruh masyarakat tanpa mengira parti.
Menurut Dr. Azman, pengumuman awal kepada masyarakat Jabi ketika itu jelas: “Semua orang Jabi adalah rakyat kita.”
Pengerusi masjid, imam, bilal dan siak diminta meneruskan tugasan seperti biasa, tanpa sebarang tindakan pecat-memecat meskipun berlaku pertukaran kerajaan.
Semua kemudahan masyarakat seperti dewan orang ramai, padang bola dan gelanggang sukan dibuka kepada semua, menandakan dasar pentadbiran inklusif yang ingin dibina.
Beliau turut menegaskan bahawa bantuan kebajikan tidak pernah ditamatkan hanya kerana perbezaan warna politik.
Segala urusan sakit demam, kelahiran, kematian dan bencana tetap disantuni, menzahirkan bahawa kebajikan rakyat mengatasi pertimbangan politik sempit.
Dalam kalangan JPKK sendiri, Dr. Azman menegaskan bahawa antara tanda kegagalan seorang pemimpin adalah apabila bertanya kepada rakyat, “Demo ngundi gapo baru ni?” setiap kali rakyat datang berurusan.
Pengalaman Pahit Masa Lalu Jadi Guru dan Peringatan
Dalam ucapan tersebut, Dr. Azman turut berkongsi pengalaman pedih keluarganya sebagai pengajaran moral tentang pentingnya berlaku adil ketika diberi kuasa.
Beliau menceritakan bagaimana ayahnya pernah beberapa kali dihalau oleh penghulu mukim, seorang tokoh kuat parti pemerintah ketika itu hanya kerana keluarga mereka tidak sehaluan politik.
Permohonan tanah tidak pernah diluluskan dan keluarganya terpaksa menumpang sebidang tanah kerajaan untuk mendirikan sebuah rumah buruk sebagai tempat berteduh.
Walaupun ayahnya mengalami keperitan politik dan kemiskinan yang panjang, nasihat yang diberikan amat berbeza daripada tekanan emosi masa lalu.
Ayah beliau, kata Dr. Azman, “tidak pernah mengajar anaknya menjadi pendendam.”
Meskipun mereka 13 beradik tidak pernah menerima apa-apa bantuan sekolah, bahkan butang baju sekolah sekalipun, ayahnya tetap berpegang pada prinsip keadilan dan kesabaran.
Pengalaman-pengalaman itu, jelas beliau, menjadi peringatan agar tidak mengambil mudah sejarah silam apabila berada dalam kedudukan berkuasa.
“Seorang tua pernah pesan, jangan ambil mudah dengan apa yang telah lepas walau kita melangkah ke depan,” katanya.
Memaafkan Ketika Berkuasa, Nilai Budi yang Tinggi
Dr. Azman menekankan bahawa memaafkan bukan hanya wajar ketika berada dalam keadaan lemah, tetapi lebih mulia apabila seseorang memaafkan musuh lama setelah memiliki kuasa.
Tindakan itu, jelasnya, adalah tanda ketinggian akhlak dan kebijaksanaan politik.
Beliau mengingatkan bahawa setiap insan, termasuk pimpinan hari ini, juga tidak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan.
Maka, budaya saling memaafkan antara manusia wajar disuburkan agar mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan keampunan kepada umat-Nya.
Mengakhiri sesi bersama JPKK tersebut, Dr. Azman menyeru agar sejarah pahit dijadikan teladan, namun tidak menjadi belenggu kepada masa depan.
Dengan jiwa besar, katanya, masyarakat mampu membina semula hubungan dan bergerak maju dengan lebih matang.

