Cadangan baharu dikemukakan Donald Trump bagi menyelamatkan negara haram Israel setelah cadangan terdahulu gagal, dengan memujuk negara Arab dan Islam supaya mengiktiraf negara Israel atau melakukan normalisasi.
Langkah ini diambil bagi menghadapi tentangan yang paling membahayakannya melalui kebangkitan rakyat Palestin dan umat Islam serta kini telah mempengaruhi masyarakat antarabangsa bukan Islam.
Cadangan melalui Perjanjian Camp David (1978), Perjanjian Madrid (1991), dan Perjanjian Oslo (1993) terdahulu menghasilkan ‘penyelesaian dua negara’ (two-state solution); satu untuk Yahudi Zionis yang lebih besar dan satu untuk Palestin yang kecil, diikuti oleh tawaran menghalau rakyat Palestin dengan tawaran kewangan yang paling mahal dalam sejarah.
Walaupun cadangan itu diterima oleh kalangan masyarakat antarabangsa Blok Barat serta kalangan negara Arab dan Islam yang bernaung bawah mereka, majoriti besar rakyat Palestin dan umat Islam tidak menerimanya, termasuk Yahudi Zionis yang menolak dengan cara permainan politik menipu kerana terus membatalkan cita-cita penubuhan negara agung Israel yang ingin menakluk dunia.
Agama Abraham dijadikan tawaran baharu untuk memujuk, khususnya negara Arab dan Islam berasaskan tiga orang nabi besar, iaitu Nabi Muhammad SAW, Nabi Musa AS, dan Nabi ‘Isa AS daripada zuriat Nabi Ibrahim AS.
Al-Quran menegaskan dalam banyak ayat bahawa konsep agama Abraham adalah sesat dan bodoh. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ لِمَ تُحَآجُّونَ فِيٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَمَآ أُنزِلَتِ ٱلتَّوۡرَىٰةُ وَٱلۡإِنجِيلُ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِهِۦٓۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ٦٥ هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ حَٰجَجۡتُمۡ فِيمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمٞ فَلِمَ تُحَآجُّونَ فِيمَا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٞۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ٦٦
“Wahai Ahli Kitab, mengapa kamu bantah-membantah tentang hal Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan sesudah Ibrahim? Adakah kamu tidak berfikir? (65)
“Beginilah kamu, kamu ini (sewajarnya) bantah-membantah tentang hal yang kamu ketahui, maka kenapa kamu bantah-membantah tentang hal yang tidak kamu ketahui? Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui. (66)” [Surah Ali ‘Imran: 65–66]
Al-Quran menyifatkan Ahli Kitab sebagai jahil dan tidak berakal.
Malah, al-Quran turut menegaskan kesesatan mereka untuk menyesatkan umat Islam. Firman Allah SWT:
وَدَّت طَّآئِفَةٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يُضِلُّونَكُمۡ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ ٦٩
“Segolongan Ahli Kitab ingin menyesatkan kamu, padahal mereka (sebenarnya) tidak menyesatkan melainkan diri mereka sendiri, dan mereka tidak menyedarinya.” [Surah Ali ‘Imran: 69]
Nabi Ibrahim AS dan semua nabi ialah penganut Islam, maka menjadi kebodohan bagi mereka yang tidak mengikuti Islam bersama Baginda AS. Firman Allah SWT:
وَمَن يَرۡغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبۡرَٰهِـۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفۡسَهُۥۚ وَلَقَدِ ٱصۡطَفَيۡنَٰهُ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَإِنَّهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٣٠ إِذۡ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسۡلِمۡۖ قَالَ أَسۡلَمۡتُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٣١ وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبۡرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعۡقُوبُ يَٰبَنِيَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٣٢ أَمۡ كُنتُمۡ شُهَدَآءَ إِذۡ حَضَرَ يَعۡقُوبَ ٱلۡمَوۡتُ إِذۡ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعۡبُدُونَ مِنۢ بَعۡدِيۖ قَالُواْ نَعۡبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ ءَابَآئِكَ إِبۡرَٰهِـۧمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗا وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ١٣٣
“Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sesungguhnya Kami telah memilihnya di dunia, dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. (130)
“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘Tunduk patuhlah (anutlah Islam)!’ Ibrahim menjawab, ‘Aku tunduk patuh (Islam) kepada Tuhan semesta alam.’ (131)
“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya‘qub. (Ibrahim berkata), ‘Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam!’ (132)
“Adakah kamu hadir ketika Ya‘qub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, ‘Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?’ Mereka menjawab, ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Isma‘il, dan Ishaq, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh (Islam) kepada-Nya.’ (133)” [Surah al-Baqarah: 130–133]
Ayat ini menunjukkan bahawa semua anbiya’ Bani Isra’il menganut Islam, termasuk Musa AS dan ‘Isa AS.
Maka mengheret mereka kepada jenama baharu Abraham adalah satu pembohongan yang nyata dan kesesatan, di samping menunjukkan betapa mereka itu buta akan sejarah dan menipu serta menunjukkan kejahilan dan kebodohan, kerana Nabi Ibrahim AS ada sebelum kelahiran bangsa Yahudi daripada zuriat Nabi Ya‘qub AS.
Teori agama Abraham disertakan pula dengan cadangan gencatan senjata maha zalim, apabila pihak Palestin dan kumpulan yang bersamanya dipaksa melucutkan senjata.
Adapun Israel kekal bersenjata atas nama keselamatan dan keamanannya yang dibantu oleh Amerika Syarikat dan sekutunya bertali arus tanpa batas jenis pemusnahnya, khususnya yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa. Pendekatan zalim ini memusuhi perjuangan semua anbiya’.
Pihak Palestin membatalkan serangan serta mengambil sikap tunggu dan lihat tindakan pihak Yahudi Zionis mengundurkan tentera mereka.
Namun, mereka terus menyerang rakyat awam Palestin, bukan sekadar para mujahidin.
Mereka juga mencadangkan supaya Gaza ditinggalkan oleh pejuang Palestin dan ditadbir oleh tentera negara yang diterima oleh Yahudi Zionis.
Pada masa yang sama, Masjid al-Aqsa terus diceroboh dan diancam bagi mendirikan Haikal Sulaiman (kuil besar agama Yahudi).
Kempen supaya menerima Perdamaian Abraham diteruskan melalui politik, ekonomi dan kebudayaan melalui tekanan negara besar, Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), universiti tersohor seperti Universiti Harvard, dan lain-lain.
Antaranya ialah mendesak supaya melakukan normalisasi politik dan ekonomi dengan negara Zionis, khususnya oleh negara Arab dan Islam.
Di samping itu juga, tidak mengiktiraf kemenangan Hamas yang mendapat majoriti dalam pilihan raya melalui konsep demokrasi yang dibanggakan oleh Blok Barat, sebaliknya mereka membenarkan kumpulan minoriti menubuhkan kerajaan boneka Israel, sehingga Hamas dinafikan daripada mewakili Palestin dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada masa yang sama, pendatang Yahudi Zionis dari seluruh pelosok dunia dibenarkan masuk ke Tebing Barat dengan perlindungan tentera dan polis serta dibenarkan bersenjata untuk menyerang rakyat Palestin, merampas atau merobohkan rumah, merompak harta, dan merosakkan kebun.
Kempen normalisasi politik dan ekonomi terus berjalan. Adakah jemputan Presiden Donald Trump ke Sidang Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang Malaysia menjadi tuan rumahnya termasuk dalam agenda kempen agama Abraham, sehingga mendapat bantahan keras terhadap Malaysia oleh negara penting dalam kalangan anggota ASEAN?
Maka, bantahan oleh pelbagai pihak dalam negara terhadap hubungan ekonomi yang tersurat ada asasnya dan mungkin banyak perkara yang tersirat tidak dinyatakan.
Oleh itu, sangatlah malang bagi negara Arab dan Islam yang terperangkap dalam penipuan agenda Abraham yang sesat dan banyak kebodohannya.
Allah memberikan amaran yang berulang kali dalam al-Quran betapa Yahudi Zionis ialah makhluk paling perosak dalam kejadian alam. Firman Allah SWT:
وَتَرَىٰ كَثِيرٗا مِّنۡهُمۡ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ٦٢ لَوۡلَا يَنۡهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلۡأَحۡبَارُ عَن قَوۡلِهِمُ ٱلۡإِثۡمَ وَأَكۡلِهِمُ ٱلسُّحۡتَۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ ٦٣ وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ بَلۡ يَدَاهُ مَبۡسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيۡفَ يَشَآءُۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرٗا مِّنۡهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ طُغۡيَٰنٗا وَكُفۡرٗاۚ وَأَلۡقَيۡنَا بَيۡنَهُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ إِلَىٰ يَوۡمِ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارٗا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادٗاۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٦٤
“Dan kamu akan melihat kebanyakan mereka (orang-orang Yahudi) bersegera membuat dosa, permusuhan, dan memakan yang haram (riba dan rasuah). Sesungguhnya amat buruk apa-apa yang telah mereka kerjakan itu. (62)
“Mengapa orang-orang alim dan pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sesungguhnya amat buruk apa-apa yang telah mereka kerjakan itu. (63)
“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Tangan Allah terbelenggu.’ Sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa-apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya, dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi, dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan. (64)” [Surah al-Ma’idah: 62–64]
Mereka tidak layak mewarisi agama Islam yang dianut oleh Nabi Ibrahim dan para anbiya’ AS yang soleh dan adil kepada seluruh alam, apabila semua negara yang menentang kezaliman Zionis Israel akan diganggu politik, ekonomi, dan keamanan mereka, bukan sahaja negara Arab dan Islam, malah termasuk negara bukan Islam di seluruh dunia timur dan barat.
Namun, mereka tidak boleh bertahan apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan keputusan persidangan antarabangsa menghukum salah terhadap mereka, walaupun dikacau dengan kuasa veto yang melaksanakan undang-undang rimba yang menentukan kebenaran dan keadilan oleh siapa yang paling kuat dan paling ganas.
Allah tidak mengizinkan kezaliman itu berkekalan dan semua tipu daya mereka kelak pasti akan hancur berkecai. Firman Allah SWT:
وَأَنذِرِ ٱلنَّاسَ يَوۡمَ يَأۡتِيهِمُ ٱلۡعَذَابُ فَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ رَبَّنَآ أَخِّرۡنَآ إِلَىٰٓ أَجَلٖ قَرِيبٖ نُّجِبۡ دَعۡوَتَكَ وَنَتَّبِعِ ٱلرُّسُلَۗ أَوَ لَمۡ تَكُونُوٓاْ أَقۡسَمۡتُم مِّن قَبۡلُ مَا لَكُم مِّن زَوَالٖ ٤٤ وَسَكَنتُمۡ فِي مَسَٰكِنِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ وَتَبَيَّنَ لَكُمۡ كَيۡفَ فَعَلۡنَا بِهِمۡ وَضَرَبۡنَا لَكُمُ ٱلۡأَمۡثَالَ ٤٥ وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ ٤٧
“Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim, ‘Wahai Tuhan kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul.’ (Kepada mereka dikatakan), ‘Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa? (44)
“Dan kamu telah berdiam di tempat-tempat kediaman orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri, dan telah nyata bagimu bagaimana Kami telah berbuat terhadap mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan.’ (45)
“Dan sesungguhnya mereka telah membuat perancangan tipu daya yang besar, padahal di sisi Allahlah (balasan) terhadap perancangan mereka itu. Dan sesungguhnya perancangan mereka (amat besar) sehingga gunung-ganang dapat lenyap kerananya. (46)
“Oleh sebab itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada para rasul-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa lagi mempunyai pembalasan. (47)” [Surah Ibrahim: 44–47]
Mereka pasti akan menerima kemusnahan sepertimana kuasa-kuasa besar pada zaman dahulu.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
