Tempoh 40 hari yang dipersetujui bersama antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Pengurusan Felda untuk menyelesaikan isu tanah kerajaan negeri yang dibangunkan sebagai ladang komersial tanpa hak milik sah berakhir hari ini.
Namun sehingga tarikh dan waktu kenyataan ini dikeluarkan, Felda masih gagal memberikan sebarang respon terhadap tuntutan rasmi kerajaan negeri.
Menurut maklumat yang diperoleh, surat peringatan terakhir telah dihantar oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu kepada Pengarah Besar Felda pada 20 November 2025, namun tidak menerima maklum balas walaupun tempoh penyelesaian semakin menghampiri tarikh akhir.
Isu berkenaan, yang telah berlarutan hampir empat dekad, terus menghimpit kepentingan negeri walaupun pelbagai ruang perbincangan, mesyuarat teknikal dan rundingan telah diberikan oleh kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.
Kegagalan pihak Felda memberi maklum balas dalam tempoh yang dipersetujui dianggap sebagai satu bentuk tindak balas negatif dan sikap berdolak-dalih yang amat mengecewakan.
Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa sebagai sebuah negeri berdaulat yang dilindungi oleh undang-undang, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain memulakan tindakan tegas berdasarkan peruntukan Kanun Tanah Negara bagi melindungi hak negeri dan mengembalikan ketertiban dalam pengurusan tanah yang telah digarap tanpa penyelesaian sah.
Dalam pada itu, menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Desa Terengganu, YB Dato’ Dr Azman Ibrahim, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa dalam pelaksanaan fasa tindakan perundangan yang bakal bermula, aspek kebajikan pekerja akan diberikan perhatian utama.
Beliau menegaskan bahawa pekerja di ladang-ladang terlibat tidak harus menjadi mangsa akibat kecuaian atau kegagalan mana-mana pihak dalam menyelesaikan isu ini.
Kerajaan negeri beriltizam memastikan kebajikan mereka terpelihara sepanjang proses undang-undang dijalankan.
Isu tanah Felda yang telah tertangguh selama 40 tahun ini dijangka memasuki fasa paling kritikal apabila tindakan undang-undang mula diaktifkan.
Perkembangan ini akan menjadi penanda aras penting hubungan antara kerajaan negeri dan Felda dalam mengurus aset berkaitan tanah di masa hadapan.
