Ibn Khaldun dianggap bapa ilmu kemasyarakatan oleh para ilmuwan Islam dan bukan Islam.
Dalam karangannya yang terkenal, al-Muqaddimah beliau menegaskan:
الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبْعِ.
“Manusia itu bersifat madani mengikut fitrah (tabii atau nalurinya).” [Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun (al-Muqaddimah), ms. 54]
Hal ini berpandukan ketetapan Allah SWT yang berfirman:
فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ ٣٠
“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah (Islam); (tetaplah berada atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus (Islam sebagai al-din); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [Surah al-Rum: 30]
Ayat ini ditafsirkan oleh ayat al-Quran yang lain, firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali! Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Ayat ini menjelaskan bahawa makhluk manusia itu wajib hidup berkeluarga, bermasyarakat dan berhubungan sesama mereka, dari segi menghasilkan keperluan hidup yang menjadi maqasid al-syari‘ah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, zuriat, maruah dan harta yang menjadi rukun kehidupannya.
Apabila diletakkan slogan Madani kepada Malaysia perlu difahami bukan hanya manusia di Malaysia sahaja satu-satunya yang bersifat madani.
Maka, semua manusia dan negara berbagai-bagai bangsa yang bercirikan fitrah (tabii), semuanya bercirikan madani.
Oleh itu, janganlah tertipu dengan slogannya sahaja.
Apabila diletakkan kepada manusia, maka berlaku sifat perubahan yang tidak tetap kerana firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai kerajaan (pemerintahan); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1)
“Dialah Tuhan yang telah menjadikan mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2).” [Surah al-Mulk: 1-2]
Ditegaskan dalam ayat ini bahawa manusia, individu, keluarga, masyarakat yang besar dan kerajaan yang didirikan oleh manusia tetap berubah kerana itu merupakan sifat kejadian alam.
Ia menjadi ujian kepada kalangan manusia kerana mereka yang berakal, bernafsu, berjasad dan bernyawa boleh membuat pilihan menurut nafsu keinginan dalam seluruh kehidupannya.
Firman Allah SWT:
لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١
“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya secara bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Surah al-Ra‘d: 11]
Maka, ciri madani yang terletak pada manusia ikut bersama perubahan yang menjadi sifat alam semesta ciptaan Allah.
Perubahannya secara positif mengikut fitrah ketetapan Allah atau secara negatif mahupun luar tabii apabila melawan fitrah ketetapan-Nya.
Ibn Khaldun juga meletakkan pembahagian hidup seseorang manusia mengikut peringkat umur manusia serta perkembangan kematangannya bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan nyanyuk sebelum tiba ajalnya.
Maka, ciri-ciri bangsa, masyarakat dan sifat madani bagi sesebuah negara mengikut pembahagian yang sama.
Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ ٣٤ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ إِمَّا يَأۡتِيَنَّكُمۡ رُسُلٞ مِّنكُمۡ يَقُصُّونَ عَلَيۡكُمۡ ءَايَٰتِي فَمَنِ ٱتَّقَىٰ وَأَصۡلَحَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ ٣٥ وَٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَٱسۡتَكۡبَرُواْ عَنۡهَآ أُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٣٦ فَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوۡ كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِهِۦٓ ۚ أُوْلَـٰٓئِكَ يَنَالُهُمۡ نَصِيبُهُم مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَتۡهُمۡ رُسُلُنَا يَتَوَفَّوۡنَهُمۡ قَالُوٓاْ أَيۡنَ مَا كُنتُمۡ تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِۖ قَالُواْ ضَلُّواْ عَنَّا وَشَهِدُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ أَنَّهُمۡ كَانُواْ كَٰفِرِينَ ٣٧
“Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya. (34)
“Wahai anak-anak Adam, jika datang kepadamu rasul-rasul daripada kalangan kamu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan melakukan pembaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (35)
“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itu penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (36)
“Maka, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah atau mendustakan ayat-ayat-Nya? Orang-orang itu akan memperoleh bahagian yang telah ditentukan untuknya dalam Kitab (Lauh Mahfuz); hingga bila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) untuk mengambil nyawanya, (di waktu itu) utusan Kami bertanya, ‘Di mana (berhala-berhala) yang biasa kamu sembah selain Allah?’ Orang-orang musyrik itu menjawab, ‘Berhala-berhala itu semuanya telah lenyap dari kami,’ dan mereka mengakui terhadap diri mereka bahawa mereka adalah orang-orang yang kafir. (37)” [Surah al-A‘raf: 34-37]
Tuhan yang bersifat Maha Kekal hanyalah Allah Pencipta alam, maka semua kejadian alam berubah sehingga penamat ajalnya. Firman Allah SWT:
كُلُّ مَنۡ عَلَيۡهَا فَانٖ ٢٦ وَيَبۡقَىٰ وَجۡهُ رَبِّكَ ذُو ٱلۡجَلَٰلِ وَٱلۡإِكۡرَامِ ٢٧
“Semua yang ada di bumi itu akan binasa. (26)
Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. (27)” [Surah al-Rahman: 26-27]
Manusia bermula daripada Adam AS.
Mereka menjadi khalifah yang mentadbir keluarga kecil sehingga membesar hidup bermasyarakat madani dengan mentaati ketetapan Allah.
Selepas 1,000 tahun kewafatan Adam AS, setelah itu mereka berubah kepada golongan yang melawan Allah apabila mencipta ketetapan di luar fitrah dengan berpandukan akal mereka sendiri yang berada di luar kemampuannya.
Sehinggakan, berlaku kesesatan aqidah dan akhlak yang mencipta cara hidup sendiri di luar kemampuan akal mereka, khususnya dalam perkara yang menjadi sempadan ketetapan Allah mengikut fitrah manusia.
Maka, Allah melantik Nabi Nuh AS menjadi rasul untuk membetulkan kehidupan manusia yang rosak itu.
Setelah ditamatkan ajal mereka yang derhaka dengan taufan besar, kemudian Nuh AS menjadi bapa kedua kepada manusia yang melahirkan berbagai-bagai bangsa selepasnya mengikut pecahan anak-anaknya iaitu Sam, Ham dan Yafith yang tersebar luas di seluruh pelosok dunia pada hari ini.
Apabila Nuh AS diwafatkan, seterusnya lahir berbagai-bagai bangsa yang bersifat madani (bermasyarakat dan bertamadun), sehingga lahir kuasa besar dunia yang berlawanan sesama mereka kerana berlaku pertembungan antara kalangan yang benar dengan kalangan yang salah yang telah merosakkan kehidupan manusia.
Maka, kalangan yang salah walaupun mereka itu kaya raya dan bertamadun dari segi kebendaannya sahaja, akhirnya membawa kerosakan yang menamatkan ajalnya. Firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤
“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6)
“(Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7)
“Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain. [8]
“Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9)
“Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10)
“Yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri. (11)
“Lalu mereka berbuat banyak kerosakan di dalam negeri itu. (12)
“Kerana itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13)
“Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6-14]
Ayat ini menunjukkan bahawa madani dari sudut kekayaan dan kekuatan kebendaan sahaja tidak memberi apa-apa faedah kepada mereka semua.
Allah melantik para anbiya’ dan rasul kepada setiap umat dan zaman bagi melahirkan generasi baharu dengan firman-Nya:
وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَ ۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ ٣٦
“Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), ‘Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut (pelampau yang menentang agama Allah) itu.’ Maka, antara umat itu ada orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah dan ada pula antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka, berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” [Surah al-Nahl: 36]
Taghut ialah manusia dan kumpulannya yang melampaui batas fitrah Allah dan sempadan halal dan haram yang merosakkan kehidupan manusia.
Ia bermula dengan melantik makhluk menjadi tuhan selain Allah, termasuk nafsu sendiri atau makhluk yang lain sama ada daripada kalangan manusia atau binatang, para malaikat termasuk kayu, batu dan lain-lain.
Kerosakan berlaku apabila nafsu yang melonjak mengatasi akal dan menentang petunjuk Allah Pencipta alam.
Padahal kepercayaan kepada Allah itu menjadi fitrah manusia. Firman Allah SWT:
وَلَئِن سَأَلۡتَهُم مَّنۡ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُۚ قُلۡ أَفَرَءَيۡتُم مَّا تَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ إِنۡ أَرَادَنِيَ ٱللَّهُ بِضُرٍّ هَلۡ هُنَّ كَٰشِفَٰتُ ضُرِّهِۦٓ أَوۡ أَرَادَنِي بِرَحۡمَةٍ هَلۡ هُنَّ مُمۡسِكَٰتُ رَحۡمَتِهِۦۚ قُلۡ حَسۡبِيَ ٱللَّهُۖ عَلَيۡهِ يَتَوَكَّلُ ٱلۡمُتَوَكِّلُونَ ٣٨
“Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka, ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Nescaya mereka menjawab, ‘Allah.’ Katakanlah, ‘Maka terangkanlah kepadaku tentang apa-apa yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudaratan kepadaku, adakah berhala-berhalamu itu dapat menghilangkan kemudaratan itu, atau jika Allah hendak memberikan rahmat kepadaku, adakah mereka dapat menahan rahmat-Nya?’ Katakanlah, ‘Cukuplah Allah bagiku.’ Kepada-Nyalah bertawakal orang-orang yang berserah diri.” [Surah al-Zumar: 38]
Termasuk kalangan yang mendakwa tidak percaya kepada Allah apabila berada dalam keadaan terdesak. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِي يُسَيِّرُكُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِۖ حَتَّىٰٓ إِذَا كُنتُمۡ فِي ٱلۡفُلۡكِ وَجَرَيۡنَ بِهِم بِرِيحٖ طَيِّبَةٖ وَفَرِحُواْ بِهَا جَآءَتۡهَا رِيحٌ عَاصِفٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡمَوۡجُ مِن كُلِّ مَكَانٖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُمۡ أُحِيطَ بِهِمۡ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ لَئِنۡ أَنجَيۡتَنَا مِنۡ هَٰذِهِۦ لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ ٢٢ فَلَمَّآ أَنجَىٰهُمۡ إِذَا هُمۡ يَبۡغُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّمَا بَغۡيُكُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۖ مَّتَٰعَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا مَرۡجِعُكُمۡ فَنُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ٢٣
“Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan dan (belayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, serta mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpa mereka, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (Mereka berkata), ‘Sesungguhnya, jika Engkau menyelamatkan kami daripada bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur.’ (22)
“Maka, tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa (alasan) yang benar. Wahai manusia, sesungguhnya (bencana) kezalimanmu akan menimpa dirimu sendiri! (Hasil kezalimanmu) itu hanyalah keni‘matan hidup duniawi, kemudian kepada Kamilah kamu kembali, lalu Kami khabarkan kepadamu apa-apa yang telah kamu kerjakan. (23)” [Surah Yunus: 22-23]
Padahal Allah melarang dengan keras mereka yang melantik tuhan selain daripada Allah, sehingga tidak diampunkan dosanya. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا ٤٨
“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampunkan segala dosa yang selain (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.” [Surah al-Nisa’: 48]
Perbuatan syirik itu sama ada dengan menyekutukan Allah pada Zat-Nya, Sifat-Nya, penciptaan alam, ataupun undang-undang dalam perkara yang tidak diizinkan oleh-Nya kerana di luar kemampuan akal dan ilmu manusia.
Lalu mereka melanggar undang-undang fitrah dalam perkara individu, keluarga dan masyarakat termasuk urusan kehidupan seperti politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain yang melanggar sempadan halal dan haram.
Selain itu, mengadakan hubungan kekeluargaan tanpa perkahwinan yang sah dengan melakukan zina, liwat dan perkahwinan sejenis, merosakkan akal dengan mabuk, merosakkan politik dengan berlaku zalim, rasuah dan salah laku dalam pentadbiran seperti menipu dan sebagainya.
Dalam ekonomi pula melakukan kerosakan seperti mengamalkan riba, menindas dan menipu.
Manakala kerosakan dalam pendidikan pula, apabila pendidikan itu tidak memenuhi keperluan akal, roh dan jasad serta hubungan bermasyarakat.
Semuanya bersifat madani tetapi madani yang melanggar fitrah, walaupun maju dari segi kebendaan, kekayaan dan pembangunan yang bersifat kebendaan sahaja.
Inilah konsep madani yang menamatkan kerajaan, walaupun yang bertaraf kuasa besar dunia. Makin besar kuasanya, maka makin parah akibatnya.
Ibn Khaldun mentafsirkan kata-kata, “Kemewahan yang bernafsu menandakan nyanyuknya sesuatu umat.”
Bahkan, Ibn Khaldun juga menegaskan bahawa Allah menamatkan ajal umat yang nyanyuk dan digantikan pula generasi baharu yang berjuang melahirkan masyarakat dan negara baharu mengikut proses kehidupan manusia.
Pada zaman dahulu, perubahan Islam dilakukan oleh para rasul dan anbiya’.
Adapun pada zaman mutakhir selepas nabi akhir zaman, Allah mewajibkan adanya kumpulan yang dinyatakan ciri-cirinya melalui firman-Nya:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]
Istilah ‘ummah’ dengan makna kumpulan yang bercirikan Islam yang sempurna dan berkuasa memerintah kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran.
Adapun konsep Malaysia Madani disebutkan secara mutlak seperti air mutlak (air kosong) yang boleh berubah sifat pada bila-bila masa, bersih atau kotor, manis atau tidak, keruh atau jernih.
Muhasabah boleh dilakukan dengan nyata, apabila kita sedang menyaksikan keruntuhan moral yang sedang parah berlaku dalam kalangan rakyat; sama ada dalam rumah dan keluarga, di kawasan sekolah dan di lapangan yang luas sehingga gagal dikawal.
Kegagalan pihak kerajaan menangani rasuah dan salah laku, berlaku kezaliman dalam pentadbiran sehingga menafikan hak pembangkang atau sesiapa sahaja yang berani menongkah arus perubahan yang sangat negatif.
Pemimpin yang menipu, boleh berlagak menjadi warak beragama dan melakonkan apa-apa sahaja mengikut lakonannya sama ada bersifat ibadat, berzikir dan bersolat atau leka dan lalai menari dan berhibur dengan sesiapa sahaja mengikut gendang yang dipalu.
Sehinggakan madaninya dimajukan ke peringkat antarabangsa dan tersungkur menghilangkan maruah serta kedaulatan negara, hal ini menandakan alamat nyanyuk yang sedang menunggu ajal.
Inilah wajah Malaysia Madani yang dapat disaksikan oleh semua.
Maka, ajalnya tiba sekiranya ia gagal kembali ke pangkal jalan dengan melakukan islah. Firman Allah SWT:
قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَءَيۡتُمۡ إِن كُنتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٖ مِّن رَّبِّي وَرَزَقَنِي مِنۡهُ رِزۡقًا حَسَنٗاۚ وَمَآ أُرِيدُ أَنۡ أُخَالِفَكُمۡ إِلَىٰ مَآ أَنۡهَىٰكُمۡ عَنۡهُۚ إِنۡ أُرِيدُ إِلَّا ٱلۡإِصۡلَٰحَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُۚ وَمَا تَوۡفِيقِيٓ إِلَّا بِٱللَّهِۚ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُ وَإِلَيۡهِ أُنِيبُ ٨٨
“Shu‘aib berkata, ‘Wahai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata daripada Tuhanku dan Dia menganugerahi aku daripada-Nya rezeki yang baik, (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa-apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepada-Nyalah aku kembali.’” [Surah Hud: 88]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
