Kerajaan setiap hari mengumumkan kejayaan membawa pulang pelaburan berbilion ringgit dari luar negara.
Perdana Menteri berterbangan ke seluruh dunia, mengadakan pertemuan dengan gergasi teknologi dan pelabur antarabangsa sambil menawarkan pelbagai insentif: pengecualian cukai, status perintis, zon khas dan layanan karpet merah.
Secara prinsipnya, usaha menarik pelaburan asing adalah sesuatu yang baik jika benar memberi pulangan kepada negara.
Namun persoalan besar yang timbul ialah mengapa pelabur asing dilayan seperti raja, sedangkan perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan, yang menjadi tulang belakang ekonomi negara seolah-olah dipaksa memikul beban tanpa ihsan.
Hakikatnya, sumbangan SME kepada negara jauh melebihi apa yang kerajaan peroleh daripada cukai baharu atau pengurangan subsidi.
Pada tahun 2024 sahaja, SME menyumbang RM652.4 bilion kepada KDNK, bersamaan 39.5% keseluruhan ekonomi.
Pertumbuhan SME sebanyak 5.8%, mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi nasional, membuktikan bahawa usahawan tempatan adalah pemacu sebenar ekonomi negara.
Berbanding itu, kerajaan hanya mengutip sekitar RM5 bilion setahun daripada SST dan cukai baharu, maksimum RM10 bilion daripada pengurangan subsidi dan RM20 bilion daripada dividen PETRONAS.
Sumbangan SME adalah lebih 30 kali ganda, tetapi layanan yang diterima jauh daripada memadai.
Sebaliknya, SME tempatan terus dibebankan dengan dasar yang berubah-ubah dan peraturan yang semakin menjerut.
Cukai perkhidmatan (SST) 8% ke atas sewa komersial perlu dibayar setiap bulan, walaupun ketika perniagaan rugi.
Sewa RM20,000 sebulan membawa tambahan RM1,600 hanya untuk SST.
Dasar e-invois pula berubah empat kali dalam tempoh 18 bulan, menyebabkan ribuan SME terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk perisian dan latihan, hanya untuk diberitahu kemudian bahawa perniagaan di bawah RM1 juta dikecualikan sementara.
Wang telah habis, tiada pampasan, tiada permohonan maaf.
Pada masa yang sama, proses mendapatkan bayaran balik cukai sangat menguji kesabaran.
SME yang lewat sehari membuat pembayaran dikenakan penalti 10% + 5%, tetapi apabila LHDN lewat memulangkan lebihan cukai selama bertahun-tahun, tiada faedah atau pampasan diberikan.
Dalam keadaan ekonomi mencabar, dana yang tersangkut dalam sistem cukai itu boleh digunakan untuk membayar gaji, membeli stok atau menyelamatkan pekerjaan, namun ia kekal terkunci dalam birokrasi.
SME juga terpaksa menanggung kenaikan tarif elektrik sebanyak 15–20%, kenaikan harga gas komersial, kadar penilaian yang meningkat, caruman SOCSO yang bertambah serta pelbagai caj, levi dan cukai baharu seperti cukai perkhidmatan digital, cukai gula, cukai minuman manis dan yuran kelestarian pelancongan.
Di samping itu, dasar pekerja asing yang sentiasa berubah, termasuk kenaikan levi, syarat laporan mandatori, EPF wajib, stamping dan kompaun sehingga ribuan ringgit jika lewat sehari melaporkan perubahan pekerja, menambah tekanan operasi yang sudah pun sedia berat.
Natijahnya, sebuah SME kecil dengan hanya lima pekerja terpaksa menanggung kos tambahan antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan, sebelum mengambil kira peraturan baharu yang mungkin diumumkan pada minggu berikutnya.
Dalam keadaan ini, pemilik perniagaan bukan lagi fokus kepada pembangunan produk atau mengembangkan pasaran.
Sebaliknya, mereka bertukar menjadi akauntan separuh masa, pegawai pematuhan undang-undang, pegawai HR dan pemohon ihsan di kaunter agensi kerajaan hanya untuk memastikan pintu perniagaan tidak ditutup.
Kontras layanan terhadap pelabur asing semakin ketara.
Pelabur luar disambut dengan karpet merah, insentif melimpah dan pengecualian cukai bertahun-tahun.
Tetapi apabila SME tempatan ingin bernafas, mereka diberitahu untuk bayar SST dulu.
Ketika kerajaan bercita-cita mahu menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, ramai usahawan kecil mengeluh bahawa apa yang terjadi sebenarnya ialah rakyat menjadi negara bertekanan darah tinggi sementara keuntungan besar hanya dinikmati syarikat multinasional dan entiti luar.
Realitinya, SME adalah nadi ekonomi yang menggerakkan negara sepanjang tahun menyediakan pekerjaan, merancakkan permintaan tempatan dan memastikan aliran wang kekal dalam negara.
Namun mereka kini beroperasi dalam tekanan yang hampir mematahkan semangat keusahawanan.
Jika keadaan ini tidak diperbaiki, Malaysia bukan sahaja kehilangan daya saing, malah kehilangan barisan usahawan tempatan yang menjadi asas kekuatan ekonomi negara.
