Apabila ada usaha untuk menyatukan kuasa politik Melayu khasnya melalui kerjasama PAS dan Umno (dua parti Melayu terbesar dalam negara) satu ketika dahulu, DAP khususnya bangkit mengkrtitik dengan mendakwa ianya satu ancaman buat kestabilan negara.
Orang Melayu yang bangkit bersama memperjuangkan nasib dan masa depan mereka dituduh membawa politik rasis dan puak “ultra” yang mampu mencetuskan ketegangan hubungan antara kaum. (Ada pemimpin DAP dakwa nanti Malaysia jadi Negara Taliban)
Tetapi bila DAP berkuasa, hari ini menjadi parti paling berpengaruh dalam Kerajaan dengan 40 kerusi Parlimen, bagaimana pula?
Timbalan Pengerusi DAP yang juga Menteri Pusat, Nga Kor Ming semasa hadir dalam satu majlis makan malam penghargaan anjuran Sekolah Menengah Persendirian Cina Hua Lian, di Taiping dilaporkan berkata:
“Populasi masyarakat Cina kini hanya 22% dan dijangka menurun kepada 14.8% menjelang tahun 2050.
“Dalam keadaan tanpa dominasi politik, masyarakat Cina mesti lebih bersatu.
“Jika masyarakat Cina terus berpecah, semua tahu siapa yang akhirnya akan mendapat keuntungan.”
Beliau dengan penuh kesungguhan mengingatkan masyarakat Cina bahawa hanya dengan saling mempercayai DAP dan berjalan seiring, barulah mereka dapat bersama-sama mempertahankan masa depan Taiping (merujuk pada kerusi Parlimen Taiping yang dikuasai DAP) dan pendidikan Cina.
Bila orang Melayu mahu bersatu memperteguhkan kekuatan politik mereka dalam negara yang majoriti penduduk Melayu, DAP dakwa tuntutan seumpama ini dibawa oleh mereka yang juarai politik perkauman yang ekstrim.
Tetapi apabila DAP menyeru masyarakat Cina bersama mempertahankan DAP, jangan berpecah kerana nanti pihak lain (pihak mana tu?) dapat keuntungan, ini politik apa pula?
Dalam majlis yang sama Nga mendakwa sejak DAP menguasai Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 3 tahun , terdapat “tiga peningkatan besar” dalam peruntukan berkaitan masyarakat Cina:
- peruntukan untuk kampung baru meningkat,
- peruntukan untuk tokong dan gereja meningkat, dan
- peruntukan untuk sekolah menengah persendirian Cina mencapai rekod baru.
Nga mendakwa Kerajaan terdahulu yang memerintah 60 tahun (lama memerintah kerjaaan BN) tidak pernah menyalurkan peruntukan kepada sekolah menengah persendirian Cina.
Tetapi atas komitmen dan perjuangan DAP Kerajaan kini telah luluskan.
Kata beliau:
“Dengan pakej peruntukan kerajaan negeri dan pusat, setiap sekolah (persendirian Cina) menerima RM520,000.
“Ditambah pula 9 sekolah di Perak yang memperoleh RM300,000 melalui program ‘guna tanah untuk sokong sekolah’, jumlah peruntukan tahunan bagi setiap sekolah persendirian Cina di Perak mencecah RM820,000.”
Inilah perjuangan DAP, di depan hadirin dalam premis sekolah Cina hilang terus perjuangan berbilang kaum mereka dan dengan berani mereka menonjolkan identiti perjuangan sebenar mereka iaitu parti rasis yang berjuang untuk masyarakat Cina semata-mata.
Bayangkan sekiranya setiap sekolah persendirian (sekolah agama persendirian, maahad tahfiz) mendapat RM820,000 setahun sebagaimana sekolah persendirian Cina.
Kita tidak mempertikaikan perjuangan DAP untuk masyarakat Cina itu walaupun beliau sendiri akui populasinya hanya 22%.
Yang penting di sini bila peroleh kuasa, DAP gunakan sepenuhnya kuasa itu untuk kepentingan kelompok mereka.
Dulu sekolah persendirian Cina yang sudah pun mewah dengan sokongan dan dukungan usahawan dan korporat Cina tidak menerima peruntukkan Kerajaan, tetapi bila DAP berkuasa yang sudah mewah menjadi semakin mewah.
Asrama maahad tahfiz persendirian, bocor bumbung, senget perabot dan katilnya, daif infrastruktur, tiada padang tiada kemudahan tetapi sekolah menegah persendirian Cina kebanyakkan dibina kukuh, dengan dewan besar, gelanggang bola keranjang dan hampir semua bilik darjah berhawa dingin.
Orang Melayu bertelagah dan berbalah sesama sendiri, bila berpoltik sehingga tergamak menafikan peruntukkan kepada wakil-wakil pembangkang yang rata-rata Melayu Muslim belaka.
Dan lebih parah sanggup pula berpayung dan bernaung dengan memberi kekuatan pada DAP untuk terus berkuasa kerana banyak terhutang budi.
Perbaikilah keutamaan berpolitik kita, jangan berpolitik sehingga tidak sedar maruah agama dan bangsa lenyap tergadai.
Sokonglah lagi DAP.
Roslan SMS & LL Leong
