Rombakan Kabinet Kerajaan Madani yang diumumkan baru-baru ini dilihat sebagai satu usaha strategik Perdana Menteri untuk memulihkan keyakinan rakyat yang semakin terhakis.
Namun, sejauh mana rombakan ini benar-benar mampu menjawab keresahan rakyat, terus menjadi persoalan besar dalam kalangan pemerhati politik.
Secara perlembagaan, Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik barisan Kabinetnya.
Persoalannya kini bukan lagi soal kuasa, tetapi sama ada kuasa itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi kepentingan negara dan rakyat, atau sekadar memenuhi tuntutan politik dalaman gabungan kerajaan.
Sambutan Dingin, Isyarat Awal Penolakan
Jika dibandingkan dengan pengumuman Kabinet pada tahun 2022, reaksi rakyat kali ini jauh lebih hambar.
Ketika itu, walaupun barisan Kabinet dianggap cacat oleh sebahagian rakyat, keadaan politik pasca-PRU15 memaksa pembentukan kerajaan tanpa mandat jelas.
Kerajaan perpaduan yang lahir digambarkan oleh banyak pihak sebagai ‘marriage of convenience‘, rapuh dan penuh kompromi.
Namun, selepas hampir dua tahun memerintah, alasan ketiadaan mandat penuh semakin sukar diterima.
Prestasi kerajaan kini menjadi ukuran utama dan di sinilah kekecewaan rakyat semakin ketara.
Prestasi Kerajaan Jadi Punca Kemarahan Rakyat
Dalam tempoh pentadbiran Kerajaan Madani, terlalu banyak janji reformasi yang dilaungkan gagal diterjemahkan kepada tindakan.
Konsep ketuanan rakyat dan agenda reformasi yang menjadi modal politik selama lebih dua dekad kini dilihat sekadar slogan, malah oleh penyokong sendiri.
Kekalahan teruk PKR, DAP dan UMNO dalam pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini menjadi titik tolak utama kepada rombakan Kabinet ini.
Ia jelas mencerminkan kemarahan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan barisan menterinya.
Tekanan DAP dan Isu UEC
Dalam keadaan sokongan masyarakat Cina yang semakin terhakis, DAP dilihat kembali memainkan isu lama, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Tekanan terhadap Perdana Menteri meningkat dan langkah-langkah tertentu dilihat sebagai usaha meredakan kegelisahan penyokong DAP.
Namun, pemerhati politik berpendapat isu ini bersifat sementara dan akan kembali sejuk setelah objektif politik jangka pendek tercapai, seperti yang sering berlaku sebelum ini.
UMNO: Bising Sekadar Sementara
Pelantikan seorang Ahli Parlimen DAP sebagai Menteri Wilayah Persekutuan turut mencetuskan reaksi keras daripada beberapa pemimpin UMNO.
Namun, bantahan ini dijangka tidak bertahan lama.
Realitinya, UMNO kini berada dalam kedudukan yang sangat bergantung kepada sokongan rakan gabungan, termasuk DAP sendiri.
Lebih pahit, UMNO juga dilihat gagal menawarkan calon yang benar-benar berkualiti untuk jawatan tersebut.
Kehilangan jawatan-jawatan strategik yang dahulunya didominasi orang Melayu kini dilihat sebagai kesan langsung kelemahan kepimpinan UMNO sendiri.
Pengkhianatan Terhadap Amanah Melayu?
Kritikan paling keras ditujukan kepada kepimpinan UMNO hari ini yang dituduh mengkhianati amanah orang Melayu.
Demi kelangsungan kuasa, mereka sanggup bekerjasama dengan DAP, parti yang sekian lama dianggap seteru utama UMNO.
Lebih memilukan, pengorbanan ini turut menjejaskan ahli dan pemimpin akar umbi UMNO yang masih setia dan ikhlas, apabila prinsip perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air (AaBaTa) dilihat semakin terhakis.
Rombakan Tanpa Kesan Besar
Dari sudut keupayaan, rombakan Kabinet ini juga dipersoalkan.
Sebahagian besar menteri dan timbalan menteri dari PKR dan DAP dilihat tidak mempunyai pengalaman pentadbiran yang kukuh.
Manakala dari blok UMNO pula, walaupun ada pengalaman, sebahagiannya mempunyai rekod prestasi yang dipersoalkan.
Hakikatnya, banyak pelantikan dilihat lebih berasaskan hierarki parti berbanding merit dan keupayaan sebenar.
Justeru, rombakan ini dijangka tidak membawa perubahan signifikan kepada kehidupan rakyat.
Rakyat Masih Memerhati
Kekecewaan rakyat tidak hanya berpunca daripada kegagalan menunaikan janji, tetapi juga akibat pelanggaran garis sensitif, ketidakadilan terhadap negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat, serta kerosakan dasar yang dirasai di pelbagai peringkat.
Dalam keadaan ini, rakyat memilih untuk memerhati dan menilai, bukan lagi terpesona dengan pengumuman atau penjenamaan semula Kabinet.
Peluang Terbuka Luas Buat PN
Ironinya, rombakan Kabinet ini dilihat sebagai satu hadiah politik kepada Perikatan Nasional (PN).
Tanpa sebarang perubahan luar biasa, Kerajaan Madani dijangka terus beroperasi seperti biasa, dengan keutamaan lebih kepada kelangsungan kuasa berbanding pembaharuan sebenar.
Situasi ini dilihat memudahkan laluan PN menuju PRU16.
Seruan kini semakin jelas: PN, khususnya PAS, digesa tampil lebih tersusun, matang dan bersedia untuk menggalas peranan sebagai parti masa hadapan Malaysia.
Laporan berasaskan pandangan Dr. Haim Hilman, ADUN Jitra
