Alhamdulillah, apabila membaca nasihat yang diberikan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal semalam, hati ini terasa sejuk dan damai.
Sememangnya ayat al-Quran adalah penawar terbaik bagi hati yang sedang gundah gulana.
Ayat ini adalah berkenaan dengan kesatuan yang dianjurkan Allah terhadap kaum Aus dan Khazraj, ketika mereka hampir berperang kerana sifat jahilyyah kembali menguasai mereka setelah dihasut oleh Yahudi.
Kedua kaum ini sudah berada di tebing jurang neraka sebelum Allah menyelamatkan mereka dengan nikmat Islam yang di dalamnya ada persaudaraan.
Mereka sudah melupakan persengketaan ratusan tahun dahulu dan menjadi bersaudara sehingga umat Islam semakin kuat dan melahirkan rasa bimbang dan dengki oleh kalangan Yahudi.
Maka, mereka mencari jalan untuk memecahkan kesatuan umat Islam melalui dendam lama Aus dan Khazraj.
Apa yang menariknya, apabila PAS bersekutu dengan parti lain, maka Islamlah yang akan mereka lihat sebagai penyelesaian untuk berdamai dan bersatu untuk memujuk PAS kembali.
Tidak terdapat dalam parti lain hal sebegini.
Mereka menghormati PAS sebagai kumpulan yang dipimpin oleh ulamak dengan hormat yang bukan main-main.
Jika semua masih ingat bagaimana Dyana Sofea, calon DAP di Teluk Intan dahulu, berselendang kerana berada dalam majlis PAS.
Ia menunjukkan rasa hormatnya kepada ulamak.
Sehinggakan DAP pada suatu masa, mereka menyatakan yang mereka menghormati akan dasar PAS yang mahu menegakkan Islam di Malaysia.
Sebaliknya mereka tidak pernah mengatakan secara terbuka akan menghormati dasar Umno yang memperjuangkan bangsa Melayu, tidak pernah didengari ia berlaku.
Malah bekas Presiden Umno pula dihina mereka ketika masih berpakat dengan Umno.
Manakala wanita DAP yang bukan Islam juga bersopan dalam majlis PAS.
Samada ia satu penyamaran atau tidak, itu perkara lain, tetapi mereka melakukan bila bersama PAS dan tidak ketika bersama parti lain.
Dan tidak pernah pula muslimat PAS terpaksa melepaskan tudung mereka kerana hormatkan DAP.
Maka, Tun Faisal mengulangi perkara yang sama dengan menasihati semua pihak, PAS terutamanya agar kembali memegang tali Allah iaitu perpaduan Islam.
Lalu sahabat saya, Nurul Islam Mohamed Yusoff mengusik dengan mengatakan kenyataan Tun Faisal itu ibarat melumurkan garam ke atas luka yang terbuka.
Lalu Tun Faisal merasakan tidak patut kenyataan balas Nurul Islam itu kepada ayat al-Quran yang beliau kongsikan.
Sebagai orang Islam, sepatutnya Nurul menghormatinya.
Saya menyokong Tun Faisal dalam hal ini dan menolak cara Nurul Islam dalam membalasnya.
Nurul ni pun satu, nakalnya tak bertempat.
Hanya sahaja yang saya ingin tahu daripada Tun Faisal sebelum kita sama-sama berpaut dengan tali Allah itu ialah, tali Allah yang Tun Faisal maksudkan ini tali yang mana satu?
Bolehkah Tun Faisal tunjukkan tali Allah itu dengan jelas?
Adakah tali yang tidak pernah mendapat kebenaran dari Presiden Bersatu untuk menandatangani surat akuan bersumpah sebagaimana yang telah TS Muhyiddin nyatakan dalam kenyataan beliau?
Atau tali yang memaksa Adun-Adun untuk menandatangani SD itu secara paksa?
Atau tali yang sepatutnya apabila kita mempunyai sedikit bilangan ahli, tetapi kita secara tidak profesionalnya menerima jawatan itu?
Atau tali yang didakwa oleh Presiden PAS ada desakan untuk mengejar projek dan jawatan yang memaksa YB Cikgu Shukri menolaknya?
Kita boleh dan begitu enteng menyebut berpegang teguh dengan tali Allah, akan tetapi tali itu sendiri kita masih keliru mana yang benar-benar tali Allah.
Tali Allah ialah kita sama-sama menolak ketidakadilan dalam Islam seperti rasuah, penyelewengan.
Kita juga bersatu atas jalan Allah untuk menolak sebarang bentuk salah laku, pecah amanah dan segala yang seerti dengannya kerana Allah.
Dan jalannya mestilah benar mengikut kehendak Rasulullah dan Allah.
Tetapi bukan tali berkhianat dengan rakan.
Jika tidak, anda hanya menjadi seperti burung kakak tua yang hanya tahu menyebut-nyebut ayat al-Quran sahaja, tanpa ada ruh dan kebenaran yang Allah mahukan.
Jadi, kenyataan Nurul Islam itu bagi saya sebenarnya amat tepat kerana ajakan anda untuk berpegang kepada tali Allah setelah mencabuli hak PAS, bukanlah ajakan yang sebenar kepada tali Allah, tetapi sekadar ajak-ajak ayam untuk membuatkan rakyat lupa pencabulan yang baharu sahaja kumpulan anda lakukan terhadap PAS.
PAS bukan mahu berlagak atau menyombong, tetapi melalui pimpinan ulamak, kami mengenali tali Allah itu insya Allah.
PAS sudah lama dikhianati, ditendang, oleh rakan tahaluf kerana mereka tidak berpegang atau mengenali tali Allah itu.
Tetapi PAS kekal yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa kami agar suatu hari nanti, umat Islam di Malaysia ini akan bersatu secara majoritinya pada gantungan tali Allah iaitu di bawah naungan Islam.
Mohd Nasir Abdullah
