Pengkhianatan Politik, Kesatuan Jemaah, dan Ibrah daripada al-Qur’an
Dalam dunia politik, keputusan besar tidak pernah bebas daripada risiko.
Bezanya bukan pada wujud atau tidaknya risiko, tetapi siapa yang sanggup memikulnya dengan amanah dan siapa yang memilih jalan pintas demi keuntungan sementara.
Di sinilah perbezaan paling ketara antara politik berprinsip dan politik oportunis.
Bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), hampir setiap keputusan strategik dibuat atas satu neraca yang konsisten: kepentingan ummah, kesatuan jemaah dan implikasi jangka panjang perjuangan Islam.
Muafakat Nasional: Tangan Di Hulur, Risiko Diterima
Kita imbas kembali saat UMNO berada dalam fasa paling rapuh pasca kejatuhan kepimpinan Najib Razak.
Ketika itulah PAS menghulurkan tangan melalui Muafakat Nasional (MN), bukan kerana UMNO kuat, tetapi kerana PAS melihat kestabilan politik Melayu-Islam sebagai keutamaan lebih besar daripada kepentingan parti semata-mata.
Namun realiti politik tidak sesederhana slogan.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak diterima oleh sebahagian kepimpinan UMNO.
PAS pula berdepan pilihan sukar:
Bersama UMNO tanpa BERSATU, atau membina gabungan besar yang merangkumi semua parti Melayu-Islam.
PAS memilih jalan yang paling berisiko tetapi paling inklusif, tidak meninggalkan sesiapa.
UMNO pula memilih risiko yang lain.
Politik pun bergerak mengikut hukum sebab dan akibat.
Tiada siapa tersalah secara mutlak, tetapi setiap pilihan ada harga yang perlu dibayar.
PRU15: Menang Besar, Tetapi Tidak Rakus Kuasa
Dalam PRU15, PAS mencatat kemenangan luar biasa dengan 43 kerusi Parlimen.
Secara logik politik, PAS berhak menuntut jawatan tertinggi dalam Perikatan Nasional (PN): Ketua Pembangkang, Pengerusi PN atau pengaruh dominan dalam membuat keputusan.
Namun PAS tidak berbuat demikian.
Mengapa?
Kerana PAS memahami satu prinsip asas dalam kerja berjemaah: menang sendirian bukan kemenangan, tetapi memenangi kepercayaan rakan adalah pelaburan jangka panjang.
Dalam bola sepak, ada ketika penyerang perlu turun bertahan demi pasukan.
PAS memilih peranan itu walaupun tidak popular, walaupun disalah tafsir dan walaupun mengundang cemuhan sebahagian penyokong sendiri.
Perlis: Isu Negeri Kecil, Kesan Nasional
Kemelut politik di Perlis sering dilihat sebagai isu setempat.
Hakikatnya, ia langsung tidak kecil dari sudut implikasi nasional.
PAS pusat memahami sesuatu yang gagal dibaca oleh sebahagian pemimpin negeri:
Sentimen akar umbi PAS di seluruh negara jauh lebih besar daripada keuntungan jangka pendek di sebuah negeri.
Ramai ahli PAS masih lebih selesa dengan Muafakat Nasional berbanding PN.
Jika rasa tidak puas hati ini dibiarkan, letupannya bukan di Perlis sahaja tetapi di seluruh negara.
Maka PAS pusat memilih risiko paling sukar: menarik “handbrake” terhadap tiga ADUN PAS demi memadam api sebelum ia merebak, demi memelihara kestabilan jemaah dan rakan gabungan dalam jangka panjang.
Sebaliknya, BERSATU Perlis memilih jalan pintas, menguntungkan buat seketika, tetapi mahal dari sudut kepercayaan nasional.
Menang di negeri kecil, tetapi kehilangan modal kepercayaan di peringkat gabungan.
Pengkhianatan Politik: Penyakit Lama, Wajah Baharu
Sejarah politik termasuk dalam sirah Nabawiyyah menunjukkan bahawa perpecahan jarang datang daripada musuh luar, tetapi sering bermula daripada retak kepercayaan dalam saf sendiri.
Allah SWT mengingatkan:
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah.” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Ayat ini bukan sekadar slogan perpaduan.
Ia adalah amaran keras bahawa perpecahan, walaupun dengan alasan strategi, boleh membawa umat kembali ke tepi jurang kehancuran.
Politik Berprinsip vs Politik Dadu
PAS bukan parti yang bermain dadu.
Setiap langkahnya: telah dikaji, telah ditimbang dan telah dihitung kesan jangka pendek serta jangka panjang.
Kadangkala keputusan PAS tidak menggembirakan semua pihak.
Itu lumrah dalam politik matang.
Tetapi satu perkara kekal konsisten sejak dahulu hingga kini:
Bila PAS membuat keputusan, risiko itu bukan tidak disedari tetapi diterima dengan penuh kesedaran.
Dalam politik, keberanian sebenar bukan sekadar berani melawan musuh, tetapi berani menanggung risiko demi prinsip, kesatuan jemaah dan amanah perjuangan.
Dan di situlah garis pemisah antara kepimpinan berjiwa besar dan politik berfikiran kecil.
