Dr. Malar aku kenali melalui media sosial sewaktu Covid-19 dahulu kerana sering berceloteh mengenai kesihatan samada isu suntikan vaksin atau apa sahaja yang berkaitan kesihatan.
Dengan penggunaan Bahasa Malaysianya yang sangat lancar, membuatkan ramai rakyat Malaysia suka mengikuti siarannya.
Sehinggakan beliau menjadi terkenal dengan video-video yang disiarkan dan menjadi tular di kalangan masyarakat kita.
Beliau juga tidak lekang dari diserang oleh golongan yang tidak menyukai beliau.
Akan ada sahaja perkara-perkara yang tidak disukai di mata orang, akan dibangkitkan menjadi serangan siber. Biasalah tu.
Beliau tetap tenang dengan segala hal tersebut.
Keyakinan beliau dengan ilmu yang dimilikinya menyebabkan hal sebegini tidaklah menjadi terlalu bermasalah baginya.
Namun beberapa minggu lalu, ada satu kejadian yang dilihat menjadi begitu hangat di media sosial, berkenaan kelulusan dan kelayakan seseorang bagi merasmikan atau menghadiri majlis kecemerlangan pelajar di sekolah.
Berlaku ketika itu ialah seorang pemuda yang berkebetulannya hanya mempunyai SPM telah dijemput pihak sekolah bagi merasmikan majlis di sekolah itu.
Tanpa maklumat lengkap, pemuda itu diserang oleh warga maya dengan sindiran dan ada juga yang menyokong.
Terheret sama dalam isu ini ialah Dr. Malar sendiri yang menyatakan dalam akaun Tik Tok pemuda tersebut, orang lain yang memegang ijazah sedang berbakti kepada masyarakat dan supaya pemuda itu sedar diri untuk menolak dari menghadiri majlis anugerah kecemerlangan seperti itu sambil membandingkan dirinya tidak akan ke jemputan kecantikan kerana sedar dirinya tidak cantik.
Kemudian terdedah cerita penuh iaitu si pemuda itu dijemput ke majlis keusahawanan, bersesuaian dengan kepakarannya sebagai seorang usahawan.
Apa lagi, Dr. Malar terus diserang warga maya sehingga menangis meminta maaf atas kekhilafan yang berlaku dan mempertahankan dirinya tidak menghina orang yang lulusan SPM.
Apa yang ingin aku sampaikan di sini ialah memang benarnya kata-kata Dr. Malar itu bahawa ilmu itu penting dan pihak sekolah mesti menapis orang yang mahu dijemput ke sekolah bagi apa-apa majlis untuk dijadikan ikon kepada pelajar-pelajar.
Pada kebiasaannya tetamu itu akan mudah menjadi ikutan pelajar-pelajar dengan melihat kejayaan yang diraih.
Jadi jika untuk membuatkan pelajar mengikuti contoh yang terbaik, jemputlah mereka yang telah berjaya dalam bidang penting yang memerlukan pencapaian tinggi dalam pendidikan seperti angkasawan, jurutera, doktor atau sesiapa yang hebat supaya pelajar-pelajar mahu meneruskan persekolahan dengan lebih bersemangat. Itu maksud Dr. Malar.
Hanya sahaja beliau tergelincir jari mengomentar isu ini, tanpa mengetahui tujuan jemputan pemuda itu ke majlis oleh pihak sekolah.
Jadi memang salah beliau dalam hal ini kerana kurang teliti latar belakang majlis itu, walaupun maksud perkataan dan niat beliau betul, tetapi kaedahnya salah.
Dan sekarang, apa kaitan Dr Malar dengan isu MB Perlis?
Aku yang mulanya berpendapat sama seperti Dr. Malar, sekarang ini telah mula merasakan pandangan Dr. Malar tidak boleh digunakan lagi.
Ini kerana jika tiada ijazah sekalipun dan hanya ada SPM, ada orang masih boleh menjadi VIP dalam kerajaan, dijemput sebagai tetamu kehormat ke sekolah-sekolah dan bakal menjadi contoh kepada pelajar-pelajar.
Bukan itu sahaja, malah, projek-projek, kelulusan kewangan, majlis-majlis rasmi kerajaan nanti akan dirasmikan oleh orang yang hanya ada SPM.
Orang yang ada ijazah pula kena duduk di bawah arahannya.
Lebih dari itu, nanti akan ada nanti orang yang ada ijazah, mencium tangan orang yang hanya ada SPM itu.
Jadi kenyataan Dr. Malar yang jika tiada ijazah, kena sedar diri, jangan pergi rasmi majlis-majlis yang melibatkan kecemerlangan pelajar sudah tidak boleh dipakai lagi.
Apa yang mungkin Dr. Malar lupa untuk masukkan satu elemen dalam kenyataan beliau ialah adat orang Melayu.
Orang Melayu jika melihat orang Melayu lain kaya, berjaya dengan tiba-tiba mereka jarang akan bertanya di manakah dia belajar?
Apakah kelulusan dia?
Bagaimanakah kesusahan dia untuk mencapai kejayaan?
Tidak, orang Melayu sangat jarang bertanya hal itu.
Yang mereka akan tanya dengan sangka baik ialah, apalah agaknya amalan dia sampai dapat jadi MB, walaupun tak ada ijazah?
Adalah tu amalan dia yang Allah terima, berkat sungguh hidup dia, tak ada ijazahpun jadi VIP.
Ini contoh ayat-ayatnya….
Jadi, ada SPM tak ada ijazah ke, tak ada sarjana ke, orang Melayu tak kisah semua tu.
Semua kekayaan itu mereka kata kerana keberkatan hidup.
Tetapi jika tidak kaya, tidak ada pangkat, walaupun ada ijazah bergulung, itu orang Melayu kata itu tanda tidak ada keberkatan.
Silap-silap binipun lari.
Adalah tu amalan yang dia buat dulu yang Allah tak suka dan balas sekarang.
Ada ijazahpun kerja biasa-biasa jer.
Haa gitu cara timbangan orang Melayu.
Ada setuju Dr. Malar tanggachi?
Mohd Nasir Abdullah
