Kehangatan pertembungan antara Amerika Syarikat dan China bukannya bermula pada hari ini bahkan ianya adalah kesinambungan daripada sistem imprealisma Barat yang wujud selepas Perang Dunia Kedua sehingga pembentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada tahun 1948.
Kemenangan negara kumpulan Anglo-Saxon ( Amerika Syarikat, Britain, Australia, Kanada dan New Zealand) serta block Barat memberi kelebihan kepada mereka untuk mencorak peta dunia demi kepentingan geopolitik serta ekonomi.
Maka tertubuhnya negara-negara seperti Israel, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan lain negara yang sewaktu dengannya bagi menjaga kepentingan Barat di atas.
Negara haram Israel pada asalnya adalah Palestin maka begitulah juga Singapura adalah sebahagian daripada Tanah Melayu manakala Hong Kong dan Taiwan adalah sebahagian daripada tanah besar China.
Negara-negara tersebut di atas walaupun berdiri di atas entiti masing-masing namun pada hakikatnya ialah ‘pengkalan’ kepada Amerika Syarikat dan Barat bagi mengekalkan tampuk kuasanya menguasai dunia.
Dalam konteks Taiwan, polisi ‘One China’ yang menjadi salah satu prinsip utama negara China tidak berubah serta sentiasa diperkasakan dari semasa ke semasa.
Disaat Amerika Syarikat leka ditampuk kuasa dengan olekan gerakan Zionisma yang menguasai setiap sendi pentadbiran negaranya, China membina kekuatannya sedikit demi sedikit sehingga tanpa disedari mengatasi Amerika Syarikat dari pelbagai sektor khususnya ekonomi dan ketenteraan
Ketika ini dunia tertumpu ke arah ‘perang tarif’ yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas sekutu dan musuhnya, di mana ia sebenarnya adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas bertujuan mengekalkan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dominan dunia dengan saki baki kudrat yang masih ada.
Walaupun Amerika Syarikat kononnya ‘mendakwa’ menyokong dasar ‘One China’, namun pada hakikatnya adalah sebaliknya.
Ia dapat dilihat tingkah laku Amerika Syarikat yang memberikan sokongan serta dokongan yang tidak berbelah bagi kepada Taiwan.
‘Perjanjian Shanghai 1972’ iaitu perjanjian antara Amerika Syarikat dan China ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon ke China pada 28 Februari 1972, menyatakan bahawa “Amerika Syarikat mengakui bahawa semua orang Cina di kedua-dua belah Selat Taiwan mengekalkan hanya satu China dan Taiwan adalah sebahagian daripada China dengan Amerika Syarikat tidak akan mencabar kedudukan tersebut yang akan membuka ruang kepada penyelesaian aman mengenai persoalan Taiwan oleh orang Cina sendiri “.
Dalam perjanjian tersebut juga Amerika Syarikat menegaskan bahawa objektif utamanya ialah pengunduran pasukan tentera Amerika Syarikat dari Taiwan.
Pada mulanya, Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya dari Taiwan, tetapi penggubalan undang-undang seperti ‘Taiwan Relations Act’ dan ‘Six Assurance’ menafikan komitmen Amerika Syarikat terhadap China dan kewajipannya di bawah polisi ‘One China’.
Ia turut mengekalkan hubungan dengan Kerajaan Taiwan, meneruskan sokongan ketenteraan melalui penjualan senjata dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mengerahkan semula tentera Amerika Syarikat ke Taiwan.
Ketika Donald Trump baharu sahaja memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat buat kali kedua, kapal perang Amerika Syarikat telah belayar melalui Selat Taiwan sebagai langkah untuk memprovokasi China.
Amerika Syarikat juga telah meningkatkan lawatan ahli politiknya ke Taiwan termasuk Speaker Dewan Kongres ketika itu Nancy Pelosi pada 2022 dan yang terbaharu pada Ogos 2025 satu delegasi ahli politik Amerika Syarikat yang diketuai oleh Senator Roger Wickers ( Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan Senat) dan Deb Fisher.
Akhirnya ketegangan antara Amerika Syarikat – China semakin memuncak berikutan keengganan Amerika Syarikat menerima kebangkitan China dan kemerosotannya sebagai kuasa besar dominan dunia.
Dalam usaha untuk mensabotaj kebangkitan China, Amerika Syarikat berusaha untuk mengepung dan menghalang China dengan menggunakan Taiwan dan negara jirannya, cara yang sama dilakukan ke atas Rusia dengan melakukan kepungan melalui negara-negara Eropah.
Selepas kejatuhan Sovet Union, Amerika Syarikat membuat perjanjian untuk tidak melakukan perluasan NATO ke atas wilayah bekas Soviet Union serta penempatan jenis senjata tertentu di wilayah yang bersempadan dengan Rusia namun akhirnya perjanjian tersebut dilanggar secara sistematik sehingga mencetuskan serangan Rusia ke atas Ukraine yang berlanjutan sehingga ke hari.
Hari ini, puluhan ribu tentera Amerika Syarikat ditempatkan di seluruh Eropah Timur dan rantau Asia-Pasifik untuk menghalang Rusia dan China.
Jika Ukraine bertindak sebagai pemangkin untuk meningkat ketegangan terhadap Rusia, termasuk melalui paksaan ke atas negara-negara di seluruh dunia untuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dalam usaha untuk memencilkan Rusia, Taiwan turut berada dalam situasi yang sama dalam usaha untuk memencilkan China.
Paling membimbangkan ialah langkah penempatan tentera dan senjata di Filipina, Jepun dan Korea Selatan bertujuan untuk mengancam China.
Lawatan pertama Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth ke Asia adalah ke Filipina, salah satu negara yang terletak paling dekat dengan Taiwan di China, kononnya bagi menentang pencerobohan China di rantau Indo-Pasifik.
Sedar atau tidak, sistem yang didominasi oleh imprealisma Barat pada hari ini telah ampuk.
Kebangkitan kuasa-kuasa baharu makin hari makin terserlah yang bakal membawa satu perubahan ke arah sistem yang lebih adil dan saksama jauh dari sistem perhambaan dan penjajahan yang dibawa oleh Barat sejak ratusan tahun.
Atas sebab ini, China serta negara serantau khususnya ASEAN hendaklah memperkukuhkan kerjasama dan usaha diplomatik serta mempertahankan keamanan bagi merungkai segala permasalahan yang berlaku.
Desakan dan ketegasan diperlukan untuk menghalang campurtangan asing, bukan sahaja kuasa tentera Amerika Syarikat dan proksinya, tetapi juga terhadap campur tangan dan paksaan politik dan ekonomi yang tidak langsung (soft power) yang memainkan peranan penting dalam memudahkan perlaksanaan dasar Amerika Syarikat di seluruh Asia dan seluruh dunia selama beberapa dekad.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
