Pegawai daripada Biro Penjara Persekutuan Amerika Syarikat (Federal Bureau of Prisons) tiba di pusat tahanan New York tempat Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, ditahan, pada 5 Januari 2026.
Penculikan oleh Amerika Syarikat pada hujung minggu lalu terhadap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dan isterinya bukan sekadar satu peningkatan dalam pertikaian yang telah lama berlarutan.
Ia merupakan satu pengisytiharan, dilakukan melalui pencerobohan, bahawa kedaulatan di hemisfera barat hanyalah satu ilusi yang tertakluk kepada campur tangan AS dan bahawa undang-undang antarabangsa hanyalah instrumen yang dikhaskan untuk musuh dan negara lemah, bukan satu kewajipan yang terpakai kepada kuasa besar atau empayar.
Walaupun AS membingkai tindakan tersebut sebagai ‘penguatkuasaan undang-undang’, pada hakikatnya ia lebih menyerupai satu serbuan ketenteraan, satu realiti yang ditegaskan oleh kata-kata Presiden Donald Trump sendiri.
Beliau menyifatkan operasi itu sebagai sangat berjaya dan berkata AS akan mentadbir negara itu sehingga berlaku satu peralihan yang selamat, wajar dan berhemah.
Trump turut memberi amaran kepada pemimpin politik Venezuela bahawa apa yang berlaku kepada Maduro boleh berlaku kepada mereka, sambil menyatakan beliau tidak takut untuk menempatkan tentera di darat.
Paling mendedahkan ialah keputusan Trump untuk secara terbuka mengaitkan tindakan itu dengan minyak.
Dengan angkuh beliau mendakwa Venezuela telah mencuri minyak daripada industri yang AS bina dengan bakat, dorongan dan kemahiran Amerika dan menyifatkannya sebagai “salah satu kecurian terbesar harta Amerika dalam sejarah negara kita”.
Bahasa seperti ini tergolong dalam kosa kata penaklukan yang angkuh, bukannya bahasa perundangan dan keadilan.
Untuk memahami tindakan Trump di Venezuela, ia mesti diletakkan dalam konteks corak imperialisme yang lebih luas.
Diisytiharkan pada tahun 1823 oleh Presiden AS kelima, James Monroe, Doktrin Monroe bertujuan menjadikan hemisfera barat sebagai zon pengaruh AS.
Dari masa ke masa, ia berkembang menjadi satu doktrin penguatkuasaan hemisfera: AS menentukan kerajaan mana yang dianggap sah, mana yang dianggap berbahaya dan tertakluk kepada sekatan atau penggantian, serta sumber mana yang dianggap strategik dan boleh diperoleh dengan apa jua cara.
Logik Penguasaan
Apabila sesebuah kerajaan menghalang hegemoni AS atau keutamaan strategik dan ekonominya, ketidakstabilan menjadi dasar, dan pelbagai slogan seperti demokrasi, anti-komunisme, anti-keganasan, perang terhadap dadah digunakan untuk menghalalkan paksaan.
Apa yang baharu pada Januari 2026 bukanlah niat, tetapi keberanian terbuka. Campur tangan terdahulu bergantung pada penafian melalui proksi, pembiayaan sulit dan “penasihat”. Kali ini, presiden AS secara terbuka menerima logik penguasaan, dengan anggapan dunia akan gentar dan tunduk melihat paparan kuasa kasar Amerika secara terang-terangan.
Venezuela terletak di atas lebih 300 bilion tong minyak, rizab minyak mentah terbukti terbesar di dunia.
Fakta ini tidak pernah bersifat neutral dari sudut moral dalam sistem imperial yang menganggap tenaga sebagai kuasa.
Namun isu ini bukan sekadar tentang minyak.
Jalur perlombongan Orinoco di Venezuela kaya dengan emas dan logam berharga lain; dengan lebih 8,000 tan emas, negara itu memiliki antara rizab emas terbesar di dunia.
Ini penting kerana campur tangan yang dijual sebagai “nti-dadah atau anti-rasuah sering membawa tujuan tersembunyi dalam kes ini, memberi Trump dan ketua-ketua syarikat multinasional kuasa untuk menentukan siapa menguasai konsesi, siapa mengawal laluan perdagangan dan siapa boleh memonetisasi kekayaan di bawah tanah.
Venezuela juga mempunyai berbilion tan bijih besi serta simpanan signifikan unsur nadir bumi, nikel, tembaga dan fosfat.
Sumber-sumber ini merupakan input kritikal bagi teknologi moden dan pengeluaran industri, termasuk keluli yang penting untuk pembuatan peralatan ketenteraan.
Dalam persaingan geopolitik, penguasaan sumber industri berat sering menentukan imbangan kuasa.
Dalam minggu dan bulan sebelum serangan, AS mengetatkan tekanan ke atas Venezuela dengan cara yang mendedahkan tujuan strategiknya.
Pada Disember lalu, AS mengenakan sekatan laut yang mengganggu aliran kapal tangki, merampas kargo dan mengurangkan eksport minyak kepada separuh.
Apa yang ditunjukkan Washington bukan sekadar bahawa sekatan mendatangkan mudarat, tetapi bahawa sekatan, sekatan laut, rampasan dan naratif penguatkuasaan undang-undang digunakan sebagai tembakan persediaan untuk perubahan rejim.
Runtuhnya Kepura-puraan Undang-undang
Apa yang ingin dibalikkan oleh Washington bukan sekadar ke mana aliran minyak Venezuela pergi, tetapi apa yang dibina oleh minyak itu di dalam negara.
Selepas Hugo Chavez dipilih sebagai presiden pada 1998, Venezuela mengalihkan hasil minyak kepada program sosial berskala besar untuk menangani ketidaksamaan ekstrem selama beberapa dekad.
Dalam tahun-tahun berikutnya, kemiskinan berkurang lebih separuh, kemiskinan tegar menurun dengan ketara dan akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan serta subsidi makanan berkembang pesat.
Model inilah yang cuba dibongkar oleh dasar AS, bermula dengan langkah kewangan bersasar pada pertengahan 2000-an dan meningkat selepas 2015 kepada sekatan menyeluruh terhadap minyak, perbankan dan perdagangan.
Kemerosotan kemanusiaan yang menyusul adalah akibat langsung: pembalikan sengaja terhadap pencapaian sosial melalui pencekikan ekonomi dari luar, bukan untuk membaiki tadbir urus, tetapi untuk memaksa kejatuhan rejim dengan menjadikan sistem sedia ada tidak lagi berdaya maju dari segi ekonomi.
Selepas penculikan Maduro, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang telah berbulan-bulan mendorong perubahan rejim di Venezuela menyifatkan serangan itu sebagai operasi penguatkuasaan undang-undang.
Namun ia dikecam oleh banyak negara di rantau tersebut, termasuk Mexico, Brazil dan Colombia, serta di seluruh dunia.
China menyatakan ia amat terkejut dan mengecam keras AS kerana secara melulu menggunakan kekerasan terhadap sebuah negara berdaulat dan menyasarkan presidennya.
Ketegasan Washington bahawa penculikan ini hanyalah penguatkuasaan undang-undang bukan sahaja tidak meyakinkan; ia mendedahkan niat politik.
Dakwaan (indictment) AS terhadap Maduro yang dibuka selepas serbuan ketenteraan itu bukan bukti kesalahan jenayah, tetapi cop kelulusan yang diletakkan selepas kejadian untuk menormalkan apa yang telah dilakukan empayar Amerika.
Dan walaupun Trump mendakwa AS kini akan mentadbir Venezuela, Jabatan Negara AS sendiri telah mengeluarkan amaran bahawa ia tidak dapat membantu warganegara Amerika yang mungkin terperangkap di negara itu.
Gaza dan Ukraine
Venezuela tidak boleh difahami secara terasing daripada Gaza, yang telah berfungsi sebagai ujian litmus global terhadap kedaulatan undang-undang dalam politik antarabangsa.
Washington telah menghabiskan dua tahun lalu melindungi Israel dari segi politik, membekalkannya dengan senjata dan melemahkan sebarang usaha untuk pertanggungjawaban terhadap pelbagai jenayahnya.
Dalam kes Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengeluarkan langkah sementara pada Januari 2024, yang diubah suai dan ditegaskan semula pada Mac dan Mei tahun tersebut.
Namun keadaan kemanusiaan di Gaza, yang berulang kali didokumentasikan oleh badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kekal bencana, dengan kematian berterusan dan perpindahan besar-besaran, walaupun semasa apa yang dipanggil gencatan senjata.
Pada tahap akauntabiliti jenayah, waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa, tetapi tidak dikuatkuasakan.
Terdapat perbezaan jelas dalam cara undang-undang diterapkan terhadap Venezuela berbanding Israel.
Maduro diculik tanpa perbicaraan dan negaranya diletakkan di bawah pengurusan peralihan asing, manakala Netanyahu dilayan sebagai rakan strategik.
Sistem yang mendakwa kesahan sejagat dengan itu digugat oleh rejim pengecualiannya sendiri.
Dalam isu Ukraine, Barat menegaskan bahawa sempadan tidak boleh dicabuli dan pencerobohan adalah jenayah.
Tetapi di Gaza dan Venezuela, perkara sebaliknya dibenarkan.
Kuasa, bukan prinsip, yang menentukan bila kedaulatan itu bermakna.
Pengajaran utama Venezuela kepada dunia adalah suram tetapi jelas.
AS tidak boleh melakukan terhadap Korea Utara apa yang telah dilakukannya terhadap Venezuela, kerana Korea Utara memiliki pencegah nuklear yang kredibel. Venezuela tidak.
Rekod Trump sendiri mengukuhkan logik ini.
Dengan Pyongyang, Washington terpaksa mengurus pencegahan dan berunding, tepat kerana kos pemenggalan kepimpinan atau pendudukan akan membawa eskalasi yang bersifat kewujudan.
Venezuela dengan itu menjadi kajian kes yang mengukuhkan hujah, di seluruh Dunia Selatan, bahawa keupayaan nuklear berfungsi sebagai insurans rejim.
Ini bukan sokongan moral terhadap proliferasi; ia adalah pembacaan empirikal terhadap tingkah laku imperial, berlandaskan logik geopolitik realis.
Iran dan Had Kuasa Ketenteraan
Logik pencegahan yang sama terpakai dengan lebih kuat terhadap Iran dan realiti ini menjelaskan mengapa operasi ala Venezuela di Tehran hampir pasti gagal, walaupun masih ada pihak di Washington dan Tel Aviv yang berfantasi mengenainya.
Serangan sedemikian hampir pasti gagal kerana kekangan struktur yang tidak dapat dineutralkan oleh AS melalui kekerasan.
Iran telah menunjukkan keupayaan tindak balasnya dalam perang 12 hari pada Jun lalu.
Dengan arsenal peluru berpandu dan dron yang besar, kemudahan yang diperkukuh, serta keupayaan untuk menyerang pangkalan serantau dan infrastruktur kritikal, Iran mampu menyebabkan kerosakan besar kepada musuhnya.
Sebarang eskalasi tidak semestinya kekal bersifat tempatan.
Selat Hormuz adalah kritikal kepada ekonomi global.
Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS, aliran minyak melalui selat itu pada 2024–25 merangkumi lebih satu perempat perdagangan minyak laut global dan kira-kira satu perlima penggunaan minyak dan produk petroleum dunia.
Dengan populasi 92 juta dan wilayah seluas 1.6 juta kilometer persegi, Iran tidak dapat diurus dari segi demografi mahupun geografi sebagai projek pendudukan.
Pendudukan AS di Iraq dan Afghanistan menunjukkan bahawa kekuatan luar biasa boleh menjatuhkan sebuah negara, tetapi tidak mungkin mentadbir sebuah masyarakat yang menolak penjajah.
Iran telah menghabiskan dua dekad mengkaji kegagalan tersebut dan membangunkan tindak balas asimetri, termasuk kedalaman serantau.
Operasi perubahan rejim bergantung kurang kepada persetujuan rakyat dan lebih kepada penembusan perisikan, pembelotan dan pengkhianatan dalaman.
Operasi terhadap Maduro berkemungkinan akan memperhebatkan, bukannya mengurangkan, usaha di Venezuela untuk membongkar rangkaian perisikan asing dan mencegah penyusupan masa depan, satu kesimpulan yang dibentuk oleh pengalaman terdahulu, termasuk rampasan kuasa gagal terhadap Chavez pada 2002.
Di peringkat masyarakat, mobilisasi pro-kerajaan, termasuk seruan oleh pasukan simpanan awam dan struktur pertahanan berasaskan komuniti untuk menentang campur tangan asing, mencerminkan corak yang berulang kali disalah tafsir oleh Washington, dari Iraq hingga Afghanistan.
Menyingkirkan seorang pemimpin tidak memadamkan penentangan apabila campur tangan difahami secara meluas sebagai dominasi asing yang terikat dengan perampasan sumber negara.
Venezuela dengan itu berdepan dilema yang sudah dikenali AS.
Sebuah negara mungkin dilemahkan oleh sekatan, tetapi masyarakatnya menjadi lebih keras dari segi politik akibat kepungan.
Paksaan di peringkat atas mengukuhkan penentangan di peringkat bawah.
Gaza telah mendedahkan kekosongan universalisme Barat, liberalisme dan globalisasi.
Venezuela memanjangkan pengajaran itu ke hemisfera barat, dengan kejelasan yang sukar diselindungi walaupun oleh sekutu.
Apabila undang-undang hanya dikuatkuasakan terhadap pihak lawan, seperti yang ditunjukkan oleh Gaza dan Venezuela, ia berhenti berfungsi sebagai undang-undang dan menjadi alat kuasa.
Dan apabila pencerobohan dikaitkan secara terbuka dengan minyak, empayar berhenti berpura-pura menjadi sesuatu yang lain.
Lebih dua ribu tahun lalu, Maharaja Rom Marcus Aurelius memberikan satu peringatan ringkas kepada pemerintah masa depan:
“Lihatlah kembali masa lalu, dengan empayar-empayar yang bangkit dan jatuh, dan kamu boleh meramalkan masa depan juga.”
Trump, bagaimanapun, tidak pernah dituduh mengambil iktibar daripada nasihat yang bijaksana.
