Pada 6 Januari 2026, jam 10.00 pagi, bertempat di kediaman Pengerusi Perikatan Nasional, YB Tan Sri Muhyiddin Yasin (TSMY) di Bukit Damansara, telah berlangsung satu kunjungan hormat yang signifikan dalam landskap politik negara.
Kunjungan tersebut dilakukan oleh YAB Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden PAS, YB Dato’ Seri Dr. Samsuri Mokhtar.
Kunjungan ini amat bermakna memandangkan beberapa kekangan yang diketahui umum.
YB Presiden PAS masih dalam tempoh pemulihan selepas menjalani pembedahan mata dan sedang berehat di Rusila, manakala Timbalan Presiden PAS pula baru sahaja menyelesaikan majlis perkahwinan anaknya di Pahang dan masih terikat dengan urusan keluarga.
Justeru, kehadiran YAB Dr. Samsuri jelas membawa makna bahawa beliau mewakili PAS secara keseluruhan dalam kunjungan tersebut.
Lebih signifikan, kunjungan hormat ini berlangsung dalam tempoh kurang 24 jam selepas kepulangan Tan Sri Muhyiddin Yasin dari luar negara.
Malah, dimaklumkan bahawa terdapat hasrat daripada YAB Dr. Samsuri untuk mengadakan kunjungan lebih awal sekiranya Tan Sri Muhyiddin berada lebih lama di luar negara, termasuk di London.
Namun, memandangkan Tan Sri Muhyiddin pulang pada 5 Januari, pertemuan tersebut disegerakan di Kuala Lumpur.
Isyarat Hormat dan Prinsip Kebersamaan PN
Seperti biasa, kunjungan seumpama ini tidak terlepas daripada pelbagai tafsiran dan spekulasi politik.
Namun, hakikat yang paling jelas ialah ia melambangkan rasa hormat PAS terhadap Pengerusi Perikatan Nasional, serta memperkukuh prinsip kebersamaan dan setiakawan politik antara PAS dan BERSATU dalam kerangka PN.
Tambahan pula, dalam suasana politik semasa yang hangat dengan khabar angin dan perbincangan mengenai hasrat Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk melepaskan jawatan secara sukarela, adalah wajar dan beradab bagi PAS untuk segera mengadap dan berbincang secara tertutup dalam semangat keluarga besar Perikatan Nasional.
Sudah tentu, banyak perkara strategik perlu dibincangkan bagi memastikan kesinambungan, kestabilan dan pengukuhan PN ke hadapan.
Kematangan Menghadapi Emosi dan Provokasi
Tidak dapat dinafikan, kebelakangan ini wujud pelbagai reaksi emosi dalam kalangan penyokong dan pemerhati politik ekoran beberapa peristiwa mutakhir.
Namun, Tan Sri Muhyiddin Yasin kekal fokus, tenang dan ‘composed’ dalam pendekatannya, manakala PAS pula konsisten dengan pendirian yang utuh dan istiqamah, tidak mudah terheret dengan provokasi atau permainan persepsi.
Pendekatan matang ini dapat dilihat apabila PAS segera menyelesaikan isu di Perlis dengan menerima pelantikan Menteri Besar daripada rakan komponen PN, iaitu BERSATU, demi menjaga kestabilan gabungan.
PAS juga bersedia untuk menyambung peranan kepimpinan dalam PN apabila berlaku kekosongan sementara dalam struktur kepimpinan BERSATU.
Manifestasi Kebersamaan PAS–BERSATU
Keseluruhan perkembangan ini merupakan manifestasi jelas kebersamaan PAS dan BERSATU dalam menghadapi cabaran politik semasa dan masa hadapan.
Tidak dinafikan, masih banyak isu besar yang bakal mencabar keberadaan dan perjalanan Perikatan Nasional.
Semua ini menuntut kebijaksanaan, kesabaran dan kematangan bertindak daripada kedua-dua parti utama dalam gabungan ini.
Di luar PN, sudah tentu terdapat pihak kawan dan lawan yang sedang mengatur langkah masing-masing.
Namun, perlu diingat bahawa Perikatan Nasional dianggotai oleh parti dan pemimpin yang telah masak dan berpengalaman dalam realiti politik Malaysia.
Dengan pengalaman tersebut, mereka diyakini berupaya menangani apa jua cabaran yang mendatang.
Penutup
Perikatan Nasional kekal sebagai wadah politik yang kukuh dengan sokongan rakyat Malaysia.
Dengan strategi yang terancang dan kepimpinan yang matang, PN diyakini mampu melangkah ke hadapan dengan lebih yakin.
Hakikatnya, kebijaksanaan dan kematangan pimpinan PN mungkin mengecewakan pihak lawan politik, namun itulah realiti politik yang berasaskan pengalaman, kesatuan dan keutuhan prinsip.
