Perikatan Nasional (PN) berpeluang memperkenalkan corak organisasi yang lebih inklusif, fleksibel dan progresif, berbeza daripada pendekatan tradisional Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), di mana kuasa biasanya tertumpu pada satu parti dominan.
Transformasi ini memberi ruang kepada PN untuk menjadi coalition yang dinamik, berasaskan prinsip syura dan konsensus, tanpa terikat kepada protokol birokrasi yang kaku.
Struktur dan Kuasa Majlis Presiden
Perlembagaan PN menetapkan Perkara 7, yang memberi kuasa utama kepada Majlis Presiden.
Dalam struktur ini, semua presiden parti komponen berada pada tahap setara; tiada parti besar atau kecil yang mendominasi.
Keputusan dibuat secara syura dan konsensus, memastikan semua suara diambil kira.
Selain itu, Perkara 8 memberi ruang pentadbiran yang lebih luas kepada pasukan yang bekerja secara kolektif.
Pengerusi dan anggota Majlis boleh menggerakkan PN sebagai satu coalition cohesive, membolehkan pengurusan dan pentadbiran dijalankan secara efisien tanpa kekangan birokrasi yang membelenggu.
Fleksibiliti dan Talent Enrichment
Perlembagaan PN juga menyediakan ruang untuk pindaan strategik dengan persetujuan Majlis Presiden.
Contohnya, perlantikan Setiausaha Agung Bersama membolehkan penglibatan lebih daripada seorang SUA jika diperlukan.
Selain itu, PN boleh menerima individu atau NGO sebagai ahli dan sekutu, menjadikannya ‘payung besar’ penyatuan yang mampu menampung tokoh berkeupayaan tinggi atau teknokrat yang mungkin tidak terikat dengan parti tradisional.
Pendekatan ini membolehkan PN menjalankan talent enrichment secara unik, satu kelebihan yang jarang dimiliki oleh parti politik lain dan menjadikan gabungan ini lebih inklusif, progresif dan bersedia menghadapi cabaran pentadbiran serta politik masa depan.
Prinsip Bersama Menguasai Kerajaan
Di peringkat kerajaan, prinsip parti secara bersama menguasai kerajaan dapat diaplikasikan dengan lebih jelas.
Apabila PN secara kolektif mempunyai majoriti selepas pilihan raya umum, pemilihan calon Perdana Menteri boleh dilakukan melalui proses syura, menguatkan prinsip musyawarah dan mufakat dalam gabungan.
Pemimpin parti yang berpengalaman dan berpengaruh akan terus memimpin dan membimbing, manakala Majlis Presiden boleh dipertimbangkan untuk turut menempatkan eminent persons bagi menambah wibawa dan kredibiliti gabungan.
Kesimpulan
Transformasi PN bukan sekadar perubahan struktur, tetapi satu langkah strategik ke arah organisasi politik yang matang, inklusif dan progresif.
Dengan pelaksanaan prinsip syura, mufakat, dan meritokrasi, PN berpotensi menjadi model gabungan politik yang dinamik, berkesan dan berwibawa, memimpin Malaysia ke arah kestabilan politik yang kukuh.
