Iran telah menggerakkan demonstrasi pro-kerajaan besar-besaran di beberapa bandar utama sebagai tindak balas terhadap gelombang protes nasional yang berlarutan lebih dua minggu.
Media kerajaan melaporkan perhimpunan besar berlaku di pelbagai wilayah, manakala Al Jazeera menyatakan puluhan ribu penyokong kerajaan berhimpun di Tehran, khususnya di Dataran Ngalabi yang sering menjadi lokasi perhimpunan rasmi negara.
Pihak berkuasa Iran menyeru rakyat untuk turun ke jalanan sebagai simbol kesatuan nasional bagi menentang apa yang mereka sifatkan sebagai usaha campur tangan asing yang bertujuan menggugat kestabilan negara.
Kepimpinan Iran menegaskan bahawa protes yang tercetus bukan sekadar isu domestik, sebaliknya sebahagian daripada kempen perang hibrid yang didalangi kuasa luar.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, secara terbuka menuduh Amerika Syarikat dan Israel terlibat secara langsung dalam mencetuskan keganasan sepanjang protes tersebut.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai satu ‘perang keganasan’ dan menegaskan bahawa kerajaan mempunyai bukti kukuh menunjukkan kumpulan bersenjata telah dipersenjatai dan diarahkan untuk melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan serta pasukan keselamatan bagi meningkatkan jumlah korban.
Menurut Araqchi, ejen perisikan Israel (Mossad) didakwa menyusup masuk ke dalam protes dan memainkan peranan utama dalam keganasan yang berlaku.
Beliau juga mengaitkan ancaman campur tangan ketenteraan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebagai faktor yang mendorong kumpulan tertentu mensasarkan keganasan bagi membuka ruang kepada intervensi asing.
Kenyataan ini dibuat tidak lama selepas Trump mengesahkan bahawa pihak tentera Amerika sedang mempertimbangkan ‘pilihan-pilihan yang sangat kuat’ terhadap Iran, termasuk serangan siber, sekatan tambahan dan kemungkinan tindakan ketenteraan.
Trump turut mendakwa bahawa kepimpinan Iran telah menghubungi Washington untuk berunding, dakwaan yang tidak disahkan secara bebas.
Walaupun demikian, Araqchi menegaskan bahawa Iran berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi perang, namun pada masa yang sama masih terbuka kepada dialog diplomatik.
Dari sudut kemanusiaan, angka korban terus meningkat.
Pertubuhan Iran Human Rights yang berpangkalan di Norway melaporkan sekurang-kurangnya 192 orang terbunuh, manakala Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat menganggarkan angka korban mencecah 544 orang dalam tempoh 15 hari protes.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, turut memberikan reaksi terhadap ancaman Amerika melalui satu hantaran di media sosial.
Beliau mengingatkan bahawa tokoh-tokoh zalim dunia seperti Firaun, Namrud dan bekas raja-raja Iran akhirnya tumbang ketika berada di puncak kekuasaan, satu isyarat jelas penolakan terhadap tekanan luar.
Dalam perkembangan lain, Iran memasuki hari keempat gangguan internet hampir sepenuhnya, dengan NetBlocks mengesahkan berlakunya sekatan komunikasi berskala nasional.
Kerajaan menyatakan perkhidmatan internet akan dipulihkan secara berperingkat selaras dengan keperluan keselamatan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, menyuarakan kebimbangan terhadap laporan keganasan dan penggunaan kekerasan berlebihan, serta menggesa kerajaan Iran bertindak secara berhemah dan memulihkan akses internet.
Pada masa yang sama, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat bahawa sebarang serangan ke atas Iran akan mengundang tindak balas ketenteraan terhadap Israel serta semua pangkalan dan aset ketenteraan Amerika di rantau tersebut.
Protes yang bermula pada 28 Disember akibat kenaikan harga barangan kini berkembang menjadi cabaran politik besar terhadap kepimpinan Iran, dalam suasana ketegangan geopolitik yang semakin memuncak antara Tehran, Washington dan Tel Aviv.
