Perkembangan mutakhir menunjukkan perang 2.0 antara Amerika Syarikat/Israel dan Republik Islam Iran sudah tidak dapat dielakkan.
Pertembungan kali ini semestinya berbeza dengan peperangan 12 hari yang berlaku pada bulan Jun tahun lepas.
Ia dijangka menjadi medan akhir yang bakal merubah landskap geopolitik Asia Barat dan dunia Islam.
Amerika Syarikat mesti menghapuskan Republik Islam Iran yang menjadi ancaman utama ke atas Israel.
Sekarang adalah masa terbaik untuk melakukannya setelah proksi utama Republik Islam Iran iaitu HAMAS, Hizbullah dan Syria berjaya dilemahkan setelah menerima pukulan hebat sejak bermulanya perang pada 7 Oktober 2023.
Jika sekiranya serangan pada tahun lepas alasannya ialah pembangunan loji nuklear, manakala pada kali ini Amerika Syarikat akan menggunakan alasan membela rakyat Iran yang ‘tertindas’ khususnya peserta demonstrasi anti kerajaan yang dibiayai oleh pihak luar sebagaimana dakwaan media rasmi Republik Islam Iran.
Kesemuanya itu adalah ‘wayang’ semata-mata.
Hakikat sebenarnya ialah kerana Republik Islam Iran adalah satu-satunya negara yang menentang kewujudan negara haram Israel dan membantu pejuang Palestin menentang penjajahan Zionis Israel.
Salah satu teras kepada revolusi Islam Iran tahun 1979 sehingga membawa kepada pembentukan Republik Islam Iran ialah membebaskan Palestin.
Justeru setiap tahun, Republik Islam Iran meluluskan peruntukan tanpa had untuk tujuan tersebut.
Barat menyedari hakikat ini dan berusaha menjatuhkan Republik Islam Iran dengan pelbagai cara seperti perang Iraq-Iran dan segala bentuk sekatan ekonomi, namun kesemuanya tidak berjaya.
Dalam tempoh tersebut Republik Islam Iran berjaya membina kekuatan tersendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak.
Kejayaan paling besar Republik Islam Iran ialah membina teknologi roket atau peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang tidak ada jangkauan had.
Hanya beberapa buah negara sahaja yang mempunyai teknologi ini antaranya Amerika Syarikat, Rusia dan China.
Barat mahu Republik Islam Iran mengikut kehendaknya supaya tidak menjadi ancaman serta menggugat keselamatan negara haram Israel.
Namun Republik Islam Iran kekal dengan prinsip pembebasan Baitulmaqdis serta menamatkan penjajahan regim Zionis Israel ke atas bumi Palestin.
Jika Republik Islam Iran menurut kehendak Barat maka nasibnya sama dengan negara-negara Arab lain yang hanya menjadi “pak turut” dan tidak mempunyai jatidiri.
Oleh kerana itulah, Republik Islam Iran mestilah dihapuskan dengan apa cara sekali pun.
Media Israel melaporkan serangan akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.
Ia bukan sahaja menyasarkan loji nuklear Iran bahkan juga fasiliti kepentingan awam bagi memberi tekanan semaksima mungkin dan membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menumbangkan kepimpinan Ayatullah Ali Khamenei.
Mohamad Baqir Qalibaf, Speaker Parlimen Iran memberi amaran keras dalam satu kenyataan bahawa Republik Islam Iran tidak akan teragak-agak menyerang balas mana-mana kepentingan Amerika Syarikat jika negaranya diserang.
Jika peperangan ini bermula adakah Rusia dan China yang merupakan rakan sekutu Iran akan berdiam diri atau akan memulakan langkah ke arah Perang Dunia Ketiga?
Apa yang pasti dunia berada di persimpangan yang sangat mendebarkan.
Dunia Islam berada di persimpangan paling penting yang akan menentukan landskap dunia dalam tempoh 100 tahun akan datang.
Justeru, tidak dapat tidak dunia Islam mestilah bersatu tanpa mengira perbezaan mazhab mahupun bangsa demi menghadapi ujian di atas.
Jika sekiranya gagal maka kita akan melihat cita-cita gerakan Zionis meluaskan wilayah Isrel ke seluruh Asia Barat bakal tercapai.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam“
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
