Gelombang protes yang sedang berlaku di Iran kini menjadi tumpuan media Barat, namun apa yang disampaikan kepada dunia luar tidak semestinya mencerminkan keseluruhan realiti di lapangan.
Terdapat arus besar maklumat palsu, manipulasi naratif dan propaganda terancang yang cuba menggambarkan keadaan Iran seolah-olah berada di ambang kejatuhan rejim seperti Revolusi 1979.
Hakikatnya, keadaan jauh lebih kompleks dan belum ada sebarang kepastian muktamad tentang masa depan politik negara itu.
Antara tanda jelas campur tangan luar ialah usaha mempromosikan Reza Pahlavi, bekas putera raja yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat, sebagai bakal pemimpin Iran.
Reza Pahlavi dilaporkan mendapat sokongan Amerika Syarikat dan Israel dan menurut laporan Al Jazeera, ketidaktentuan politik semasa dilihat sebagai ‘Pelan B’ Donald Trump dan Benjamin Netanyahu selepas kegagalan konflik ketenteraan langsung antara Israel dan Iran sebelum ini.
Sokongan terbuka Israel terhadap kepulangan Pahlavi bukan rahsia dan ia mengingatkan rakyat Iran kepada era pemerintahan Shah yang penuh penindasan, kekejaman SAVAK dan penjajahan kepentingan Barat.
Namun, naratif Barat sering mengabaikan satu hakikat penting: jutaan rakyat Iran masih menyokong kerajaan sedia ada.
Dalam pilihan raya lalu, lebih 13 juta pengundi menyokong Saeed Jalili, tokoh konservatif tegar yang rapat dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, serta berpengaruh dalam Majlis Keselamatan Negara Tertinggi.
Sokongan ini menunjukkan bahawa kerajaan Iran bukan rejim yang terasing sepenuhnya daripada rakyat, seperti yang cuba digambarkan oleh media Barat.
Golongan ini juga menyokong Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan sayap sukarelanya, Basij.
Hakikatnya, struktur kuasa ini masih kukuh dan berakar dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan kelas pekerja dan rakyat luar bandar.
Mereka bukan kumpulan yang boleh disingkirkan begitu sahaja melalui tekanan media atau protes jalanan.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna Iran statik atau menutup ruang perubahan.
Terdapat pergolakan dalaman dan perbincangan halus tentang pembaharuan dasar, terutamanya selepas Presiden Masoud Pezeshkian memenangi pilihan raya mengejut susulan kematian Presiden Ebrahim Raisi pada Mei 2024.
Pezeshkian dilihat lebih terbuka kepada pembaharuan, manakala tokoh berpengaruh seperti Ali Larijani yang dilantik sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi dan wakil peribadi Pemimpin Tertinggi menjadi faktor penimbang tara penting dalam landskap kuasa Iran.
Yang penting difahami ialah rakyat Iran bukan masyarakat naif politik.
Mereka tahu apa yang mereka tuntut: perubahan dasar yang bermakna, bukan kehancuran negara.
Ramai penunjuk perasaan sendiri sedar bahawa kejatuhan mendadak rejim akan mencipta vakum kuasa, membuka pintu kepada kekacauan, perpecahan wilayah dan kemungkinan Iran dipecah-pecahkan menjadi negara-negara kecil, satu senario yang sangat digemari oleh musuh-musuhnya.
Tambahan pula, tiada pembangkang yang benar-benar kuat dan bersatu, sama ada di dalam atau di luar Iran.
Kumpulan pembangkang dalam buangan berpecah-belah dan lemah walaupun mendapat sokongan Barat.
Seruan mengembalikan sistem monarki hampir ditertawakan oleh rakyat Iran yang masih segar mengingati kekejaman pemerintahan Shah.
Di sinilah peranan propaganda Barat menjadi jelas.
Media sayap kanan di Barat, digerakkan oleh agenda Islamofobia dan Zionisme, cuba membingkai konflik ini sebagai perjuangan ‘kebebasan vs teokrasi’, sedangkan realitinya jauh lebih rumit.
Ramai rakyat Iran yang mengkritik kerajaan juga takut dengan akibat jika kerajaan runtuh sepenuhnya, kerana sejarah membuktikan campur tangan Barat jarang membawa keamanan.
Pengalaman pahit di Iraq, Syria, Libya dan Gaza menjadi amaran jelas.
Amerika Syarikat bukan pembina negara yang ikhlas, melainkan kuasa yang mengejar kepentingan geopolitik, Israel dan sumber ekonomi.
Israel pula secara terang-terangan mengakui mempunyai ejen di dalam Iran, walaupun sebahagian institusi keselamatannya sendiri mengingatkan agar tidak campur tangan secara terbuka.
Kesimpulannya, apa yang berlaku di Iran tidak boleh dinilai secara hitam-putih.
Terdapat kemarahan rakyat, tuntutan perubahan dan pergelutan dalaman kuasa, tetapi juga terdapat kesedaran kolektif bahawa kejatuhan negara akan membawa mudarat yang lebih besar.
Justeru, umat Islam dan masyarakat antarabangsa perlu berhati-hati menelan naratif Barat, kerana di sebalik laungan hak asasi dan demokrasi, sering tersembunyi agenda penjajahan baharu.
Waspadalah terhadap propaganda Barat.
Apa yang berlaku di Iran jauh lebih mendalam daripada apa yang kelihatan di permukaan dan sejarah menunjukkan, propaganda sebegini jarang membawa kebaikan kepada umat dan negara yang disasarkan.
