Pada suatu masa dahulu, di sebuah kampung besar, berdirilah sebatang pohon tua di tengah-tengah padang.
Pohon itu sangat besar. Batangnya tegap, daunnya merimbun dan bayangnya luas.
Sejak turun-temurun, orang kampung berlindung di bawahnya.
Bila panas, mereka berteduh, bila hujan, mereka menumpang dan bila letih, mereka bersandar.
Orang kampung menamakan pohon itu ‘Pohon Warisan’.
Setiap kali ada orang bertanya, “kenapa kita semua duduk bawah pokok ini?”
Jawapannya mudah: “sejak dulu lagi, pokok inilah yang jaga kampung kita.”
Amaran Orang Tua
Di hujung kampung, tinggallah seorang orang tua yang terkenal dengan kebijaksanaan dan sifat zuhudnya.
Rambutnya putih, tutur katanya lembut, tetapi tajam maksudnya.
Suatu hari, beliau berkata kepada orang kampung:
“Aku tidak risau pada daun pohon itu, Aku risau pada akarnya.
“Dari luar nampak hijau, tapi di bawah tanah, akarnya sedang reput.”
Ramai orang kampung ketawa kecil.
“Orang tua ni kuat beragan,” kata mereka.
“Pokok ni besar. Mana mungkin tumbang.”
Ada yang menyindir, “kalau akar reput, masakan daun masih hijau?”
Orang tua itu tidak marah.
Beliau hanya berkata perlahan:
“Pokok yang akarnya reput tidak tumbang serta-merta. ia tumbang bila tiba masanya dan bila ia tumbang,
orang yang berteduh di bawahnya akan ditimpa bahaya.”
Daun Masih Hijau, Tapi Ranting Mula Gugur
Tahun demi tahun berlalu.
Pada awalnya, pokok itu masih kelihatan gagah tetapi orang kampung mula perasan sesuatu:
- Ranting kecil mula patah bila angin kuat
- Daun gugur lebih cepat daripada biasa
- Bayangnya tidak lagi seteduh dahulu
Namun penjaga pokok berkata:
“Tak apa. Pokok kita masih hidup. Lihat daunnya, masih hijau.”
Orang kampung pun percaya.
Tetapi hari demi hari, orang mula meninggalkan bawah pokok itu.
Ada yang mencari teduhan lain. Ada yang mendirikan pondok sendiri.
Ada yang berkata: “Pokok ini tidak seperti dulu.”
Pelampung di Tengah Laut
Pada suatu musim tengkujuh, kampung dilanda banjir besar.
Air naik sampai ke pinggang. Orang kampung bertempiaran mencari keselamatan.
Penjaga pokok membawa keluar pelampung lama sambil berkata:
“Pegang pelampung ini. Inilah yang selama ini menyelamatkan kita.”
Pelampung itu nampak besar, diwarnai cantik, dan tertulis perkataan ‘Keselamatan’.
Ramai orang berpaut. Tetapi tidak lama kemudian, mereka mula terasa sesuatu yang pelik.
Pelampung itu perlahan-lahan tenggelam.
Air masuk sedikit demi sedikit.
Bukan tenggelam terus tetapi cukup untuk membuat orang panik.
Barulah mereka sedar bahawa pelampung itu bocor.
Orang tua di hujung kampung berkata:
“Pelampung bocor bukan menyelamatkan, ia hanya melambatkan orang daripada tenggelam.”
Pohon Mencari Sokongan Aneh
Bila angin makin kuat dan tanah makin lembut, penjaga pokok melakukan sesuatu yang pelik.
Mereka mengikat pohon itu dengan tali dari pokok lain, pokok yang selama ini mereka kata beracun dan berbahaya.
Orang kampung terkejut.
“Bukankah pokok itu yang selalu kamu larang kami dekati?”
“Bukankah dulu kamu kata pokok itu musuh kampung?”
Penjaga menjawab:
“Ini demi kelangsungan. Sekarang kita perlu bekerjasama.”
Tetapi akar pohon Warisan semakin lemah. Tali tidak menyembuhkan akar. Ia hanya menangguhkan rebah.
Akhirnya Orang Kampung Faham
Kini, orang kampung tidak lagi bertanya: “Kenapa pokok ini tumbang?”
Sebaliknya mereka bertanya: “Kenapa kita terlalu lama berteduh di bawah pokok yang akarnya reput?”
Mereka teringat kata-kata orang tua dahulu:
“Berteduhlah di bawah pohon yang akarnya kuat, bukan yang daunnya cantik, tetapi yang akarnya mencengkam bumi.”
Pengajaran Cerita
Cerita ini bukan tentang sebatang pokok.
Ia tentang kuasa yang hidup terlalu lama dengan akar yang rosak.
- Daun boleh dicat hijau
- Batang boleh disokong dengan tali
- Pelampung boleh dicantikkan dengan slogan
Tetapi akar yang reput tidak boleh menipu hukum alam.
Dan bila tiba masanya, yang rebah bukan sekadar pokok tetapi harapan orang yang masih berteduh di bawahnya.
Penutup: Akar yang Kuat, Amanah yang Selamat
Seperti mana yang pernah disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz pada tahun 2010 bahawa UMNO ibarat pohon yang sedang mereput akarnya, ramai yang anggap ia cuma sindiran politik.
Dari luar nampak masih gagah, daunnya masih merimbun, batangnya masih besar.
Tetapi Tuan Guru sangat tajam membaca hakikat: yang rosak bukan dahan tetapi yang mereput itu adalah akar.
Dalam Islam, kekuatan bukan diukur pada zahir semata-mata.
Allah SWT mengajar manusia melihat akar, bukan sekadar daun; melihat amanah, bukan hanya penampilan.
Allah SWT berfirman:
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًۭا كَلِمَةًۭ طَيِّبَةًۭ كَشَجَرَةٍۢ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌۭ وَفَرْعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ ٢٤ تُؤْتِىٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍۭ بِإِذْنِ رَبِّهَا
“Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah membuat perumpamaan: kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya.” (Surah Ibrahim: 24–25)
Ayat ini meletakkan prinsip siyasah Islam yang jelas: akar yang teguh melambangkan aqidah, nilai dan amanah, bukan sekadar struktur kuasa atau jenama politik.
Dalam siyasah, kuasa yang kehilangan akar nilai akan cuba bertahan dengan slogan tanpa isi, pakatan tanpa prinsip dan ‘realpolitik’ tanpa arah.
Namun Islam mengingatkan, matlamat tidak menghalalkan cara, dan kelangsungan tanpa kebenaran hanyalah penangguhan kejatuhan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam konteks siyasah, hadis ini menegaskan bahawa kepimpinan bukan soal siapa paling lama memerintah, tetapi siapa paling amanah menjaga rakyat dan prinsip.
Maka bagi rakyat bawahan, pesanan Islam ini jelas dan mudah difahami, jangan berteduh di bawah pohon hanya kerana bayangnya besar, tetapi pilihlah pohon yang akarnya mencengkam bumi.
Dan bagi pemimpin, peringatannya lebih berat, kuasa yang tidak dibina di atas kebenaran, akhirnya akan runtuh oleh hukum Allah dan sunnatullah.
Sebagaimana pohon yang akarnya reput tidak mampu berdiri lama, begitulah juga kuasa yang kehilangan kepercayaan, kejujuran dan hala tuju.
Dalam siyasah Islam, kemenangan sebenar bukan sekadar menang pilihan raya, tetapi menang di sisi Allah dengan amanah, istiqamah dan keberanian mempertahankan kebenaran.
