Kenyataan wakil UMNO Terengganu dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang mendakwa parti itu ‘2,000 kali lebih kecewa’ dengan PAS berbanding DAP telah mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan pemerhati politik negeri.
Dakwaan tersebut bukan sahaja mengejutkan, malah menimbulkan persoalan serius tentang asas dan rasional kenyataan itu, khususnya apabila PAS, sebuah parti yang berkongsi latar perjuangan Islam dan Melayu, dibandingkan secara negatif dengan DAP yang jelas berbeza ideologi, prinsip dan haluan politik.
Menurut YB Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, gambaran yang cuba dibina melalui kenyataan tersebut kelihatan tidak selari dengan realiti sebenar pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu sejak PAS menerajui negeri itu pada Ogos 2018.
Beliau mengingatkan bahawa dalam amanat sulung Menteri Besar Terengganu ketika itu, kerajaan negeri telah menetapkan prinsip asas pentadbiran yang jelas: waktu bekerja telah bermula dan tiada lagi pengasingan rakyat berdasarkan ideologi atau warna politik.
Yang ada hanyalah satu identiti bersama, ‘rakyat Terengganu’.
Prinsip ini, menurut beliau, bukan sekadar slogan politik, tetapi diterjemahkan secara konsisten di semua peringkat pentadbiran, daripada Kerajaan Negeri sehingga ke peringkat kampung.
Sebagai contoh, ketika negara berdepan pandemik COVID-19 sekitar tahun 2021, Kerajaan Negeri Terengganu telah menyalurkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) kepada semua DUN melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Bantuan tersebut disampaikan secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang politik penerima.
“Tidak pernah ditanya sama ada seseorang itu ahli UMNO, PAS, PH atau mana-mana parti.
“Asasnya hanyalah kelayakan. Jika layak, bantuan diberikan walaupun pengundi Barisan Nasional.
“Jika tidak layak, bantuan tidak diberikan walaupun penyokong PAS,” jelas Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini bukan bersifat bermusim, sebaliknya kekal menjadi amalan kerajaan negeri sehingga hari ini.
Malah, di peringkat DUN Wakaf Mempelam sendiri, beliau secara terbuka menjemput wakil UMNO setempat untuk turun padang bersama-sama menyantuni rakyat dan ahli UMNO yang terjejas.
Beliau turut meminta senarai ahli UMNO di setiap kampung bagi memastikan tiada pihak tercicir atau dinafikan hak.
“Hasil semakan mendapati kebanyakan nama yang dikemukakan oleh ketua-ketua UMNO kampung telah pun tersenarai dalam senarai JPKK.
“Ini membuktikan dakwaan kononnya ahli UMNO disisihkan adalah tidak berasas dan tidak disokong oleh fakta lapangan,” katanya.
Berhubung dakwaan bahawa UMNO menderita, didera dan disisihkan sepanjang tempoh pemerintahan PN di Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menegaskan bahawa tuduhan tersebut perlu dinilai secara jujur dan berlandaskan bukti.
“Jika benar berlaku penindasan, di manakah bukti konkrit dalam dasar pentadbiran, agihan bantuan atau kebajikan rakyat yang menunjukkan wujudnya diskriminasi?” soalnya.
Menurut beliau, kenyataan “2,000 kali lebih kecewa” itu lebih menyerlah sebagai retorik politik beremosi yang diungkapkan di dewan perhimpunan, berbanding gambaran sebenar tadbir urus kerajaan negeri.
“Hakikatnya, rakyat Terengganu tidak menilai melalui ucapan di PAU, tetapi melalui tindakan, keadilan dan keikhlasan kepimpinan yang mereka lihat dan alami sendiri,” tegas beliau.
Kerajaan Negeri Terengganu, katanya, terus mentadbir dengan prinsip keadilan, profesionalisme dan tanggungjawab kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, itulah realiti sebenar yang wajar dijadikan ukuran, bukan angka kekecewaan yang tidak disandarkan kepada fakta.
