Dua hari lalu, saya berjumpa dengan Pegawai Khas (Setiausaha Peribadi) kepada Presiden PAS, Haji Zaihan Mohd Daud, anak kepada mantan MB pertama PAS di Terengganu 1959, allahyarham Mohd Daud Samad.
Lama kami berbincang berkenaan politik.
Saya mendapat idea menulis isu ini setelah mendengar penjelasan beliau mengenai hal ini.
PAS adalah parti politik Islam yang kedua di Tanah Melayu selepas Hizbul Muslimin pasca Perang Dunia Kedua.
PAS sebenarnya adalah kesinambungan kepada perjuangan HM selepas British mengisytiharkan darurat pada 16 Jun 1948 yang mana berlakunya tangkapan besar-besaran kepada pemimpin utama HM yang melumpuhkan HM.
Bagi menyelamatkan diri, ada ahli HM terpaksa menyertai Umno yang waktu itu direstui British.
Kemudian majoriti ulamak HM dalam Umno tidak bersetuju dengan cara Umno menguruskan isu-isu yang melibatkan hukum agama seperti loteri kebajikan, majlis kaberet, hidangan arak dan fun fair yang bercanggah dengan hukum Allah.
Mereka kemudiannya menubuhkan Persatuan Ulamak pada 1951 di Pulau Pinang dan menjadikannya sebagai Parti Islam Se-Malaya (PAS) dan keluar beramai-ramai dari Umno.
Mereka ketika menguruskan PAS pernah kembali duduk sekali bersama Umno pada 1953 dalam National Conference dan National Convention.
Apa masalah dalaman Umno, itu hal mereka.
PAS hanya mahukan kerjasama untuk kemerdekaan.
Setelah tidak berjaya, PAS bersama Parti Negara menentang Perikatan.
Dato’ Onn diberikan kerusi Kuala Terengganu setelah beliau dilihat gagal menguasai Johor.
Ikatan ini juga kemudiannya terlerai.
PAS dan 13 Mei
13 Mei 1969 memberikan ruang PAS berbaik kembali dengan Kerajaan Perikatan demi perpaduan negara dan diteruskan sehingga 1978.
PAS juga sempat menjadi sebahagian daripada anggota Kerajaan Pusat dan Negeri di bawah panji BN.
Setelah ditendang oleh BN yang mencampuri urusan PAS, PAS yang hampir kehilangan ramai penyokong mereka kerana marahkan PAS yang terlepas Kelantan kepada BN.
PAS membina pula usaha sama dengan kaum Cina melalui Majlis Perunding Cina (CCC).
Antara yang berjaya diajak bersama PAS ialah Dato’ Anuar Tan yang kemudiannya dilantik menjadi Exco Kelantan.
1988, bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) selepas Ku Li berkelahi dengan Tun Mahathir.
Dan hasilnya, pada 1990, Kelantan berjaya dikembalikan kepada PAS.
Kemudian 1996, S46 memilih untuk kembali kepada Umno, namun sebahagian ahlinya, kekal bersama PAS.
Barisan Alternatif (BA) tertubuh dengan kerjasama antara PAS, DAP, PKR (waktu itu Parti Keadilan Nasional) dan beberapa parti lain pada 1999.
Diwaktu inilah dapat dilihat betapa tinggi semangat setia kawan PAS terutama terhadap PKR yang bukan sahaja ahli PAS digunakan bagi membantu PKR, tetapi juga wang, markas, harta benda sehinggalah calon PKR juga ramai daripada PAS.
BA kekal dengan PAS, PKR dan beberapa parti lain setelah DAP memilih untuk keluar dengan 16 daripada 18 AJK Pusat mereka menolak bersama dengan PAS.
Ini kerana mereka kehilangan banyak kerusi dan berkebetulan dengan isu 11 September berlaku Islamofobia yang sangat dahsyat. DAP yang larikan diri.
Langkah Kajang yang jahat
Pakatan Rakyat (PR) menjadi percubaan kedua ketiga-tiga parti besar ini bergabung.
PR berjaya menang di beberapa buah negeri.
Berjaya bertahan hanya selama lapan tahun apabila pada tahun 2014, Langkah Kajang yang sangat jahat itu dirancang oleh PKR, meretakkan ikatan PR.
Memfitnah Tan Sri Khalid kerana kerusi MB.
Ia menyebabkan dalaman PAS berpecah teruk kerana adanya ‘broker’ dan ‘barua’ dalam PAS.
Mereka keluar membentuk parti Islam baharu yang ditaja DAP untuk menggantikan PAS.
PR terkubur setelah desakan kuat dari DAP untuk menyingkirkan PAS.
Sebelum PRU-14 PAS diserang begitu hebat dari dua penjuru oleh PH dan BN kerana PAS hanya bertemankan Berjasa dan Ikatan, yang mana kedua-dua parti ini tidak kuat, tetapi mempunyai hasrat yang sama untuk menumbangkan BN dan mengenepikan PH.
Bukti PAS tidak memilih kawan yang kuat sahaja untuk menentang musuh.
Umno yang kalah teruk pada tahun 2018, bersetuju untuk menyertai PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan kemudiannya Perikatan Nasional (PN) tetapi mempunyai masalah dengan kes Zahid Hamidi.
Beliau direhatkan, tetapi kerap memaksa dan memberi tekanan MN.
Setelah PM dari Muhyiddin bertukar kepada Ismail Sabri, Zahid masih belum diletakkan dalam barisan kerajaan.
Umno mendesak Ismail Sabri untuk mengadakan PRU-15 dan memilih memutuskan hubungan dengan PAS. Umno kalah lebih teruk.
Zahid hampir kalah di Bagan Datuk.
Hanya sahaja kerana ada perundingan di balik tabir sebagaimana yang didakwa oleh calon PKR di Bagan Datuk, Shamsul Iskandar, Zahid terselamat.
Beliau kemudiannya membawa Umno bersama PH walaupun telah bersumpah atas nama Allah, No Anwar, No DAP, sebelum PRU-15 dan menjadi menteri.
PAS dihina kerana prinsip Islam
Kemudian, dalam keadaan tidak sedar diri, sering menjadi kutukan kepada DAP, Umno tetap memilih menyerang PAS, tidak kira masa, di mana jua mereka berada.
Terbaharu dalam PAU 2025 mereka yang meratib nama PAS secara negatif.
Lakonan Ketua Pemuda mereka kononnya berkelahi dengan DAP, masih tidak dipercayai walaupun ahli mereka sendiri.
Secara kesimpulannya pengunduran PAS atau penolakan oleh komponen gabungan politik terhadap PAS adalah kerana prinsip PAS.
PAS kekal sebagai sebuah parti Islam yang tidak mempunyai masalah salah laku, rasuah oleh pimpinan mereka yang diamanahkan memegang jawatan.
Rekod PAS bersih, tidak seperti parti-parti lain.
Oleh kerana prinsip Islam yang teguh PAS ini, maka parti-parti lain tidak tahan bersama PAS kerana mereka tidak mampu melaksanakan amanah ini dengan betul.
Tujuan mereka berpolitik kerana mengejar kekayaan dan kedudukan.
Manakala PAS ikhlas kerana Allah, tidak mengejar semua itu.
Lihat sahaja rumah pimpinan PAS, walau duduk sebagai ketua negeri, ia kekal sederhana.
Malah wang wakil-wakil rakyat PAS sentiasa tidak mencukupi kerana terpaksa dibelanjakan kepada rakyat.
Tiada kurang ada yang terpaksa berhutang bagi membantu rakyat sebagaimana kisah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff Mohd Yusoff.
Jadi jelas kenapa PAS tidak disukai oleh parti-parti politik lain.
Disiplin PAS ini menyusahkan mereka untuk melakukan kejahatan, membaham wang rakyat.
Sebab itu mereka memilih membuang PAS.
Dan bayangkan jika PAS menguasai sepenuhnya Malaysia dengan prinsip Islam ini, pastinya tiada lagi peluang bagi musuh PAS untuk memerintah kembali.
Oleh itu PAS dituduh sebagai tidak setia dalam pakatan politik.
Mohd Nasir Abdullah
