Pengumuman Perdana Menteri bahawa kanak-kanak seawal usia enam tahun akan memulakan persekolahan di Darjah 1 bukan sekadar satu perubahan teknikal dalam sistem pendidikan negara.
Ia adalah keputusan dasar besar yang menyentuh akar pembentukan insan, struktur keluarga, kesejahteraan psikologi kanak-kanak serta masa depan generasi Malaysia.
Namun yang lebih mengejutkan daripada keputusan itu sendiri ialah cara ia diumumkan, tanpa perbincangan awam yang jelas, tanpa proses libat urus menyeluruh dan tanpa persediaan mental kepada ibu bapa, guru serta masyarakat.
Rakyat tiba-tiba diletakkan di hadapan satu keputusan yang akan mengikat masa depan anak-anak mereka, seolah-olah pendidikan adalah milik segelintir pembuat dasar, bukan amanah bersama seluruh negara.
Persoalan asas mula timbul:
- Sejak bila keputusan sepenting masa depan anak-anak dibuat tanpa keterlibatan rakyat?
- Siapakah yang benar-benar dirujuk sebelum keputusan ini diumumkan?
Krisis Kepercayaan dalam Proses Dasar Pendidikan
Dalam isu pendidikan, proses sama penting dengan hasil.
Pendidikan tidak boleh ditadbir dengan pendekatan tertutup dan eksklusif kerana setiap perubahan memberi kesan jangka panjang, bukan sahaja kepada pencapaian akademik, tetapi kepada emosi, nilai, jati diri dan keyakinan diri kanak-kanak.
Benar, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk menetapkan dasar.
Namun kuasa itu bukan lesen untuk bertindak secara unilateral.
Ia hadir bersama amanah besar untuk mendengar suara ibu bapa, pendidik, pakar perkembangan kanak-kanak, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat keseluruhannya.
Lebih membimbangkan, kuasa sebesar ini kini diletakkan di bahu seorang menteri yang masih dilihat kurang pengalaman mendalam dalam keseluruhan ekosistem pendidikan negara.
Dalam pendidikan, kesilapan bukan sekadar salah langkah pentadbiran, ia adalah kesilapan terhadap masa depan generasi dan kesannya tidak boleh diputar semula.
Jawatankuasa Khas: Cukupkah Sekadar Nama?
Kerajaan mungkin berhujah bahawa satu Jawatankuasa Khas telah dibentuk bagi mengkaji dasar ini.
Namun, kewujudan jawatankuasa semata-mata bukan jaminan kebijaksanaan.
Keberkesanannya tetap boleh dipersoalkan jika pendekatan yang digunakan bersifat selektif, menapis pandangan, meminggirkan suara kritikal dan membina keputusan dalam ruang gema yang sempit.
Pendidikan tidak boleh dibina atas persetujuan dalaman semata-mata.
Ia memerlukan pertembungan idea, perbahasan terbuka dan kejujuran intelektual.
Hujah “Negara Lain Buat” Bukan Justifikasi Kukuh
Antara alasan yang sering diketengahkan ialah kononnya lebih 143 negara telah melaksanakan kemasukan Darjah 1 pada usia enam tahun.
Hujah ini kedengaran meyakinkan pada zahirnya, tetapi rapuh apabila diteliti.
Apakah Malaysia dibina atas prinsip “orang buat, kita ikut”?
Adakah konteks sosioekonomi, budaya keluarga, tahap kesediaan kanak-kanak, kualiti prasekolah, nisbah guru-murid, dan sokongan psikososial di negara-negara tersebut sama dengan realiti Malaysia?
Meniru tanpa memahami konteks tempatan bukan reformasi, ia adalah eksperimen sosial berskala besar.
Ujian Diagnostik: Beban Psikologi Seawal Enam Tahun
Cadangan untuk melaksanakan ujian diagnostik khas bagi kanak-kanak enam tahun menambah kebimbangan yang lebih mendalam.
Pada usia ini, kanak-kanak sepatutnya berada dalam fasa membina rasa ingin tahu, keselamatan emosi dan keseronokan belajar, bukan diasak dengan label lulus atau gagal.
Kajian psikologi kanak-kanak menunjukkan bahawa tekanan awal boleh membawa kepada kebimbangan berpanjangan, hilang keyakinan diri, ketakutan terhadap pembelajaran dan sikap menjauhi sekolah.
Bagi keluarga M40 dan T20, sokongan tambahan mungkin boleh mengurangkan kesan ini.
Namun bagi anak-anak B40, ujian ini berpotensi melebar jurang pendidikan, bukan merapatkannya.
Sejak usia enam tahun, mereka sudah dikelaskan, satu bentuk ketidakadilan sistemik yang halus tetapi merosakkan.
Tekanan Berganda kepada Guru dan Ibu Bapa
Guru-guru pula bakal berdepan tekanan yang semakin kompleks: kemasukan murid lebih muda, keperluan pedagogi berbeza, serta penilaian prestasi yang tidak mengambil kira realiti perkembangan kanak-kanak.
Ibu bapa pula berdepan tekanan sosial dan emosi apabila anak mereka gagal melepasi penilaian awal ini.
Akhirnya, seluruh ekosistem pendidikan ditekan sedangkan akar masalah sebenar masih belum diselesaikan.
Masalah Sebenar yang Masih Terabai
Hakikatnya, reformasi pendidikan yang benar-benar diperlukan hari ini bukan pada umur kemasukan sekolah, tetapi pada isu-isu asas yang telah lama membelenggu sistem, antaranya:
- Prasarana sekolah luar bandar yang uzur dan tidak selamat;
- Kesukaran menyelaraskan sesi sekolah pagi dengan KAFA di sebelah petang;
- Trend guru bersara awal yang semakin membimbangkan;
- Masalah guru mengajar di luar bidang kepakaran.
Inilah realiti harian sekolah anak-anak kita, masalah yang menuntut keberanian untuk membaiki, bukan keghairahan mencipta legasi politik.
Anak-Anak Bukan Bahan Eksperimen
Apa yang lebih ditonjolkan hari ini seolah-olah keinginan meninggalkan nama dalam sejarah.
Namun sejarah tidak hanya mengingati siapa yang mengumumkan dasar, tetapi siapa yang bertanggungjawab terhadap kesannya.
Anak-anak kita adalah khalifah dalam pembikinan.
Mereka bukan bahan eksperimen.
Mereka bukan tikus makmal.
Pendidikan negara mesti diselamatkan sebelum penyesalan menjadi warisan.
Kerana dalam pendidikan, tragedi tidak berlaku serta-merta, ia muncul perlahan-lahan, dan apabila disedari, segalanya sudah terlambat.
