Serangan ke atas Republik Islam Iran masih lagi menjadi tajuk utama perbahasan dalam media utama antarabangsa.
Laporan daripada U.S Central Command ( CENTCOM ) menyatakan bahawa ketumbukan tentera Amerika Syarikat dari segenap penjuru telah tiba di perairan Laut Arab dan hanya menunggu arahan daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menyerang Republik Islam Iran pada bila-bila masa.
Amerika Syarikat berada di persimpangan sama ada mahu mengikut kehendak Zionis Israel menyerang Republik Islam Iran habis-habisan atau menangguhkan serangan dengan hanya menumpukan tekanan politik melalui pelbagai cara seperti meningkatkan sekatan ekonomi atau yang sewaktu dengannya.
Bagi Zionis Israel ini adalah peluang keemasan terbaik yang tidak akan dipersia-siakan sama sekali sebagaimana hasrat yang ditunjuk secara terbuka oleh Benjamin Netanyahu sejak awal penglibatannya dalam politik yang mahu ancaman Republik Islam Iran dihapuskan.
Pendirian ini didokong oleh pelobi Zionis dalam pentadbiran Donald Trump seperti Senator Lindsy Graham dan lain-lain lagi.
Berdasarkan pengalaman yang lalu; serangan ke atas Republik Islam Iran tetap akan berlaku, namun persoalannya ialah sama ada ia berlaku dalam skala kecil atau besar-besaran.
Amerika Syarikat dilihat masih teragak-agak kerana Republik Islam Iran tidak sama dengan Venezuela yang lemah longlai apabila Presidennya Nicolas Manduro diculik oleh pasukan tentera elit khas Delta Amerika Syarikat.
Venezuela hanya berada dalam jangkauan Amerika Syarikat serta dikelilingi oleh negara-negara lemah yang hanya menunggu masa untuk ditakluk oleh Amerika Syarikat.
Manakala Republik Islam Iran adalah kuasa besar di Asia Barat yang mempunyai pelbagai kekuatan serta dibantu oleh kuasa besar lain khususnya Rusia dan China yang mempunyai matlamat yang sama dengan Republik Islam Iran iaitu untuk melemahkan pengaruh Amerika Syarikat.
Dari segi dalaman; Republik Islam Iran berjaya membina kekuatan ketenteraan sendiri yang tidak bergantung dengan pihak lain seperti teknologi roket, drone dan lain-lain lagi.
Dalam masa yang sama kepimpinan Republik Islam Iran yang diketuai oleh Ayatullah Ali Khamenei didokong oleh rakyat marhaen dan sangat disegani kerana kehidupan yang sederhana berbeza dengan pemimpin yang ditonjol oleh Amerika Syarikat bagi mengantikan ketua spritual di atas yang hidup dengan penuh kemewahan dan penuh dengan pelbagai skandal sejak zaman ayahnya Raja Shah.
Ketua Central Command (CENTCOM) , Brad Cooper dalam satu kenyataan menyatakan bahawa serangan yang bakal berlaku memakan ‘masa pendek, cepat dan bersih’.
Ia memberi bayangan bahawa Amerika Syarikat tidak mahu konfliknya dengan Republik Islam Iran berlarutan panjang.
Kali ini Republik Islam Iran berada dalam kesiapsagaan yang lebih baik berbanding perang dua belas (12) hari pada bulan Jun tahun lepas.
Republik Islam Iran belajar dari kesilapan lepas apabila dikhianati oleh Amerika Syarikat ketika perundingan damai sedang berlangsung antara wakil Republik Islam Iran dan Amerika Syarikat.
Kejayaan Republik Islam Iran mematahkan serangan dari dalam melalui proksi Amerika Syarikat dan Zionis Israel menyebabkan mereka berfikir dua kali untuk meneruskan perancangan menyerang Republik Islam Iran.
Pimpinan Republik Islam Iran dari pelbagai lapisan sama ada politik mahupun tentera menyatakan bahawa; jika Republik Islam Iran diserang maka ia akan melancarkan perang terbuka ke atas kepentingan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat.
Jika senario ini berlaku maka ia akan melibatkan serangan dari pelbagai arah oleh proksi Republik Islam Iran seperti Hizbullah di Lubnan, Ansarullah di Yaman dan al-Hasyd al-Sya’bi di Iraq.
Negara-negara Arab yang menjadi proksi utama Amerika Syarikat sangat bimbang dengan senario ini kerana ia bakal membawa perang terbuka yang akan menjadi malapetaka ke atas negara-negara tersebut yang menjadi pengkalan utama tentera Amerika Syarikat seperti Jordan, Bahrain, Qatar, UAE dan lain-lain negara lagi.
Dunia Islam berdepan dengan situasi sangat kritikal yang bakal menentukan hala tuju sama ada akan memimpin dunia atau terus kekal menjadi ‘pak turut’ kepada imperialisme Barat dan Zionis Israel.
Inilah masanya Dunia Islam khususnya negara-negara Arab keluar dari kepompong serta menyedari bahawa kekuatan mereka adalah dengan Islam bukannya bergantung dengan tali selain dari Islam.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam“
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat
