Pergolakan dalaman Perikatan Nasional (PN) kini tidak lagi boleh diselindungkan dengan slogan perpaduan atau retorik agama dan bangsa.
Apa yang terserlah hari ini ialah sebuah gabungan yang semakin hilang arah, bukan akibat tekanan lawan politik, tetapi kerana pertarungan kuasa dari dalam.
Ketidakhadiran Presiden PAS dalam Mesyuarat Presiden PN baru-baru ini menjadi isyarat jelas bahawa krisis ini sudah melangkaui fasa senyap.
Namun, harus ditegaskan sejak awal bahawa tidak semua kemelut ini boleh diletakkan di bahu PN secara keseluruhan.
Ramai pemerhati melihat senario yang berlaku hari ini lebih banyak dicetuskan oleh beberapa kerat dalam kepimpinan BERSATU, bukannya hasil keputusan kolektif seluruh gabungan.
Konflik ini bersifat dalaman, tetapi kesannya telah mengheret rakan sekutu lain, khususnya PAS, ke dalam polemik yang sebenarnya bukan berpunca daripada mereka.
Sebelum episod tersebut, percaturan dalaman telah lama bergerak secara tersusun.
Kenyataan dan serangan politik daripada tokoh-tokoh tertentu dalam BERSATU dan PAS memperlihatkan kewujudan satu blok yang mahu melihat perubahan kepimpinan, khususnya menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Presiden BERSATU.
Desakan ini tidak lagi bersifat bisikan, tetapi telah berkembang menjadi tekanan politik yang sistematik.
Kekalahan PN dalam PRN Sabah menjadi pemangkin penting.
Pengunduran Muhyiddin sebagai Pengerusi PN dilihat ramai sebagai langkah separuh jalan yang gagal meredakan krisis.
Namun beliau juga sedar, pengunduran sepenuhnya bererti membuka ruang untuk dirinya ‘dikuburkan’ oleh gabungan yang dibinanya sendiri.
Ironinya, arkitek kepada projek politik itu kini dilihat sebagai liabiliti terbesar kepada kelangsungannya.
PAS pula semakin jelas menilai situasi ini dari sudut kos dan manfaat politik.
Bagi mereka, politik bukan soal nostalgia atau jasa lama, tetapi soal daya tahan jangka panjang.
Isu-isu legasi pentadbiran lalu, termasuk yang masih membayangi imej PN, menjadikan PAS enggan terus menanggung beban reputasi yang bukan berpunca daripada mereka.
Dalam kalkulasi ini, Muhyiddin dilihat semakin kehilangan nilai strategik, manakala tokoh lain dianggap lebih ‘boleh diurus’.
Pendekatan ini semakin terserlah apabila Mursyidul Am PAS mengeluarkan kenyataan yang bersifat nasihat tetapi sarat mesej politik.
Beliau menegaskan bahawa PAS tidak wajar terus terheret dalam masalah dalaman BERSATU, dan sekiranya konflik tersebut mula menjejaskan PAS, maka pilihan untuk bergerak secara solo tidak boleh diketepikan.
Kenyataan ini bukan luahan spontan, tetapi peringatan berlapik bahawa kesabaran politik ada hadnya.
Namun dalam masa yang sama, gambaran bahawa PN telah lumpuh sepenuhnya juga tidak tepat.
Hakikatnya, hubungan sesama majoriti Ahli Parlimen PN masih relatif kukuh.
Blok pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin terus menunjukkan kesepaduan dalam Parlimen, khususnya dalam menyerang kelemahan, ketirisan dan kebobrokan pentadbiran kerajaan sedia ada.
Dari sudut fungsi semak dan imbang, PN masih agresif, vokal dan berperanan aktif.
Di dalam BERSATU sendiri, realitinya jauh lebih rapuh.
Parti ini dibina dan dibesarkan ketika berada dalam kerajaan, dengan jentera yang terbiasa bergerak melalui kuasa dan dana.
Apabila kuasa pusat hilang, saluran tersebut terputus, jentera menjadi lesu dan kesetiaan akar umbi mula terhakis.
Dalam suasana sebegini, sokongan kepada kepimpinan semakin menipis.
Daripada kekosongan inilah muncul gerakan menukar presiden.
Hamzah Zainuddin ditampilkan sebagai pilihan yang lebih pragmatik, bukan kerana idealisme atau naratif besar, tetapi kerana keupayaannya mengurus parti dalam keadaan serba kekurangan.
Soalnya bukan siapa paling bermoral, tetapi siapa mampu memastikan parti terus hidup.
Dalam politik ala BERSATU, kelangsungan sering mengatasi prinsip.
PAS memahami realiti ini dengan jelas.
Mereka bukan parti yang bergantung kepada satu individu, tetapi kepada sistem dan jentera yang telah lama dibina.
Selagi BERSATU dilihat rapuh dan bergantung kepada figura yang semakin kehilangan pengaruh, PAS tidak akan mempertaruhkan masa depan mereka.
Sikap dingin yang diperlihatkan hari ini lebih kepada langkah berjaga-jaga strategik, bukannya keputusan muktamad untuk memutuskan hubungan.
Dalam konteks ini, pemerhati juga tidak menolak kemungkinan bahawa kekalutan yang berlaku bukan sahaja berpunca daripada konflik dalaman BERSATU, tetapi juga kerana wujud tawaran politik yang lebih menarik daripada pihak lain.
Tawaran tersebut mungkin menawarkan kestabilan, ruang politik lebih luas atau peluang survival jangka panjang yang tidak tersedia dalam PN sekarang.
Spekulasi ini bukan dakwaan, tetapi bacaan realistik berdasarkan pergerakan politik yang sedang berlaku.
Dalam senario yang sama, kemungkinan kemunculan wadah baharu bagi menggantikan peranan BERSATU dalam ekosistem pembangkang juga dibincangkan secara senyap.
Parti-parti sedia ada yang dilihat lebih segar dan tidak terlalu dibebani konflik dalaman mula disebut sebagai pilihan berpotensi.
Dalam perbincangan ini, nama seperti PEJUANG sering muncul, bukan sebagai kepastian, tetapi sebagai simbol kepada ruang politik baharu yang mungkin ingin diteroka.
Jika krisis BERSATU berlarutan tanpa penyelesaian tuntas, tidak mustahil akan berlaku penghijrahan besar-besaran pimpinan dan tokoh-tokoh parti ke wadah yang dianggap lebih dinamik, lebih fleksibel dan kurang dibelenggu legasi lama.
Tambahan pula, kebimbangan lain yang semakin kerap dibincangkan ialah kemungkinan krisis ini akan berpanjangan sekiranya wujud campur tangan pihak berautoriti seperti Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Walaupun secara prinsip ROS berfungsi sebagai badan pentadbiran, dalam realiti politik Malaysia, sebarang tindakan melibatkan parti politik sering membawa implikasi besar.
Jika konflik dalaman BERSATU gagal diselesaikan, ruang untuk tekanan luaran terbuka luas dan berpotensi melemahkan PN secara total, bukan sekadar satu komponen.
Dalam senario sedemikian, PAS dan mana-mana gabungan baharu yang sedang atau bakal dibentuk mungkin tidak mempunyai kemewahan masa untuk terus menunggu.
Langkah bersiap siaga dan pelan kontingensi perlu digerakkan lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Politik tidak menunggu mereka yang ragu-ragu; ia hanya memihak kepada pihak yang paling bersedia.
Yang jelas, BERSATU kini berada di posisi paling terdedah.
Tanpa kuasa, tanpa dana konsisten dan dibebani konflik dalaman yang berpanjangan, parti itu berisiko menjadi sekadar pelengkap kepada rakan yang lebih kukuh.
Jika perpecahan berterusan, ia bukan kerana kekuatan lawan, tetapi kegagalan mengurus rumah sendiri.
Akhirnya, masa depan PN tidak ditentukan oleh siapa yang paling lantang atau siapa yang berundur, tetapi oleh sejauh mana kebijaksanaan pimpinan membaca risiko, menilai tawaran baharu, mengurus perbezaan dalaman dan bertindak sebelum keadaan memaksa mereka.
Dalam politik, krisis boleh menjadi pemusnah atau penentu arah baharu bergantung kepada siapa yang berani membuat keputusan lebih awal.
Oleh: Abu Ubaidah
