Walaupun gencatan Gaza telah berlalu empat bulan lalu ( 10 Oktober 2025 ), namun ke mana halatuju pentadbiran Gaza masih lagi samar-samar.
Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) baru sahaja dibentuk.
Ia adalah sebuah badan teknokrat 15 anggota yang dipengerusikan oleh Ali Shaath, bekas Timbalan Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA).
NCAG ditugaskan untuk mengetuai struktur pentadbiran sementara, penyediaan perkhidmatan dan menguruskan pembinaan semula Gaza.
Walaupun NGAC dilihat sebagai sebuah struktur pentadbiran teknokrat yang neutral, namun ia adalah sebahagian daripada pelan gencatan senjata yang dianjurkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang bertujuan menjayakan agenda “two state solution”.
“Board of Peace” (BOP) yang ditubuhkan Donald Trump untuk keamanan dan kemakmuran Semenanjung Gaza dan warganya adalah janji palsu dan imejinasi kuasa imperialisme Barat untuk menjajah bumi Palestin semata-mata.
Tidak ada seorang pun daripada Ahli Lembaga Pengarah BOP dari kalangan warga Palestin dan Donald Trump sebagai Pengerusi BOP mempunyai kuasa penuh dan “veto” ke atas sebarang keputusan berkenaan Semenanjung Gaza dan BOP.
Negara-negara yang ingin menganggotai BOP pula perlu membayar sebanyak 1 bilion USD yang boleh dianggap sebagai yuran keanggotaan.
Donald Trump menjemput semua negara menjadi anggota BOP, termasuk negara haram Israel.
Namun, majoriti negara-negara Eropah menolak kerana berpandangan bahawa apa yang dilakukan Amerika Syarikat adalah untuk menubuhkan satu badan yang seumpama PBB, bezanya ia dikuasai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.
Lebih memeranjatkan, Yakir Gabai, seorang billionaire Israel dalam sektor hartanah, telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah BOP oleh Donald Trump.
Jared Kushner, menantu Donald Trump yang juga Ahli Lembaga Pengarah BOP, memainkan peranan utama dalam pelan pembangunan semula Semenanjung Gaza.
Fantasi Riviera yang memperlihatkan pembangunan pusat peranginan dan kediaman mewah, pusat teknologi tinggi, hub perdagangan dan pembangunan sektor minyak dan gas dipertontonkan ketika persidangan World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru ini.
Semua ini bakal dibina dan dibangunkan di atas ribuan runtuhan bangunan dan jasad rakyat Palestin yang menjadi korban kekejaman rejim penjajah Zionis Israel sejak lebih 70 tahun lalu.
Yang menjadi persoalan utama ialah janji penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka ataupun sekurang-kurangnya solusi dua negara?
Tidak ada satu pun pelan pembangunan atau penempatan semula untuk warga Palestin dalam pelan pembangunan semula Gaza yang dipertontonkan.
Yang ada hanyalah habuan rampasan hasil bumi seperti minyak dan gas dan ‘land grab’ untuk tokoh korporat, ahli perniagaan dan syarikat multinasional yang melabur dalam pelan Gaza yang diilhamkan Donald Trump.
Dengan kuasa BOP yang begitu besar, bagaimana NGAC mahu mentadbir Gaza.
Mandat NCAG dirangka secara sempit, hanya berlegar sekitar pentadbiran dan pembinaan semula, manakala persoalan politik seperti kedaulatan, sempadan, akauntabiliti, demiliterisasi dan penamatan penjajahan diserahkan sepenuhnya kepada BOP Donald Trump dan penyelia antarabangsanya.
Ini bukan pembahagian kerja, ia adalah pembahagian kuasa.
Rakyat Palestin dijemput untuk menguruskan akibat, bukan untuk menentukan punca.
Mereka dibenarkan membina semula runtuhan, tetapi tidak mencabar sistem yang menghasilkannya.
Model di atas sama sahaja seperti Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat, sebuah badan yang ditugaskan untuk mentadbir kehidupan seharian manakala rejim penjajah Zionis Israel mengekalkan penguasaannya ke atas tanah, pergerakan, keselamatan dan keganasan.
Hasilnya adalah gejolak politik yang berpanjangan di mana perkhidmatan disampaikan, pilihan raya ditangguhkan, perbezaan pendapat dikawal dan penjajahan semakin meluas tanpa sebarang gangguan.
Kenegaraan kekal selama-lamanya dijanjikan, tetapi turut dinafikan selama-lamanya.
Gaza kini berisiko diserap ke dalam logik yang sama, di bawah keadaan yang jauh lebih besar malapetakanya.
Board of Peace Donald Trump adalah tidak bermoral tetapi telus.
Cita-citanya yang kasar dan penghinaan terhadap rakyat Palestin langsung tidak disembunyikan.
Alternatif teknokratiknya jauh lebih berbahaya kerana ia memakai wajah Palestin.
Ia berisiko untuk menormalkan masa depan di mana Gaza dibina semula tanpa henti tetapi tidak pernah dibebaskan, ditadbir tetapi tidak pernah berdaulat, stabil tetapi tidak pernah sembuh.
Genoside tidak berakhir hanya kerana bom berhenti seketika.
Ia berterusan apabila keadaan yang memungkinkannya dipelihara di bawah pengaturan pentadbiran baharu.
Gencatan senjata tanpa perpecahan politik hanya menjadi selingan.
Pembinaan semula tanpa akauntabiliti menjadi satu lagi fasa keganasan, lebih perlahan, birokratik dan lebih mudah untuk bertolak ansur dengan masyarakat antarabangsa.
Gaza tidak memerlukan pemegang amanah, teknokrat, campur tangan asing atau penstabil.
Ia memerlukan gencatan senjata segera dan kekal, jaminan untuk menghentikan serangan baharu, akauntabiliti terhadap jenayah perang dan penjajahan yang dilakukan, dan akhirnya penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.
Namun, apa yang menyedihkan, masih lagi terdapat negara-negara Dunia Islam yang percaya kepada janji manis kuasa imperialisme Barat dan Zionis Israel walaupun melihat dengan mata mereka sendiri muslihat dan genosid ke atas warga Palestin.
Sama-sama kita doakan agar Semenanjung Gaza dan warga Palestin khususnya diberikan pertolongan oleh Allah SWT yang akhirnya membuka ruang untuk pembebasan Al-Quds, kemerdekaan dan penubuhan sebuah negara Palestin.
Semoga doa-doa kita semua dimakbulkan oleh Allah SWT, insya-Allah.
“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Bumi Palestin”
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat.
