Dalam Kongres PKR Selangor, Amirudin Shari bukan Menteri Besar Selangor tetapi beliau Naib Presiden PKR dan Pengerusi negeri.
Di hadapan beliau adalah para perwakilan parti peringkat negeri, iaitu benteng kekuatan politik beliau kiranya beliau seorang pemimpin yang cemerlang dan disanjungi.
Amir perlu buktikan yang PKR di Selangor kukuh dan teguh, serta beliau benar-benar punya pengaruh.
Realitinya cabaran-cabaran ini sukar buat beliau.
Rekodnya tidak cemerlang samada sebagai pemimpin parti mahupun MB jika mahu dibandingkan dengan Pengerusi Negeri dan MB-MB sebelumnya di Selangor.
Amir merasakan dirinya kecil berbanding Presiden dan Timbalan Presiden anak beranak yang menghendarai pengaruh beliau.
Mereka jauh lebih berpengaruh malah sudah ada cakap-cakap yang Amir mahu dipindahkan ke Pusat dan jawatan MB nya mahu diserah pada orang lain, pasti jika prestasinya cemerlang tidak akan ada cakap-cakap begitu.
Dalam PRU dan PRN lalu, Amir sebenarnya gagal menahan kebangkitan pembangkang khasnya PN di Selangor.
6 kerusi Parlimen majoriti Melayu tumbang dan gandingan PAS serta Bersatu atas tiket PN memenangi 22 kerusi negeri menafikan kerajaannya sokongan 2/3 di Dewan Negeri.
Ringkasnya, Amir gagal sebagai Ketua PKR dan PH Selangor kerana PN dapat melebarkan pengaruhnya di Selangor.
3 isu besar yang melanda negeri yang turut dikaitkan dengan kegagalan pentadbiran Amir adalah isu banjir, isu sampah dan, terbaru, isu ladang penternakan babi yang gagal diuruskan dengan baik sehingga membangkitkan kemarahan dan protes rakyat.
Rakyat jelata dari ceruk kampung hinggalah ke pekan dan bandar kecewa dan marah dengan cara pengurusan kerajaan Amir, malah suara rakyat turut diangkat oleh Istana Selangor yang turut menzahirkan kekecewaan pihak Istana.
Amir tertekan, survival dan maruah politik beliau terancam, dalam waktu yang sama kegagalan beliau perlu dialihkan dengan pelbagai alasan terutama menyalahkan pihak lain.
Semua yang melihat gelagat Amir di Kongres PKR Selangor baru ini dapat bersimpati dengan tekanan jiwa dan mental yang beliau hadapi.
Pemimpin atau MB sebuah negeri maju seperti Selangor seharusnya membutirkan kata-kata dan hujah yang berkualiti sepadan dengan kemajuan negeri yang beliau wakili, tetapi tidak Amir.
Beliau pilih umtuk menyerang dan menyalahkan orang lain atas kelemahan dan kegagalan beliau sehingga selamba “MEMBODOHKAN” pimpinan PAS Selangor.
Sejujurnya Amir melihat PAS Selangor merupakan ancaman besar pada kepimpinan beliau.
Mereka bekerja saban hari, turun menyantuni dan mendekati rakyat, malah berjaya bangkit menjadi suara dan jurucakap rakyat, terutama dalam isu yang Amir gagal.
PAS berjaya membawa isu yang menimpa dan mengganggu rakyat di Selangor dengan berstruktur dan teratur dari Dewan Negeri ke Parlimen dan media demi membela nasib rakyat.
Rakyat hari ini mengiktiraf peranan dan sumbangan PAS.
Pengiktirafan inilah yang mengganggu emosi Amir sehingga beliau melompat memaki hamun PAS di hadapan para perwakilan partinya.
Memanglah mereka bersorak itukan Kongres PKR, tetapi rakyat Selangor yang di luar dewan itu tidak, kerana rakyat Selangor bijak menilai antara yang jujur berkhidmat pada mereka dan yang berpura-pura, yang mabuk dengan kuasa dannpangkat.
Pesuruhjaya PAS Selangor dan pimpinan serta penyokong PAS sedikit pun tidak tercalar dengan makian kebudak-budakan MB Selangor itu.
Di hadapan penyokong tegarnya sendiri.
Malah kegagalan Amir mengawal emosi sehingga tergamak menghamburkan kata-kata begitu sesungguhnya bukti Amir gagal sebagai MB dan kerajaan PHBN ini sudah kehabisan modal untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka masih diperlukan dan masih relevan.
Rakyat boleh melihat dan menilai.
Biarlah Amir terus beremosi dan kacau fikirannya, sebab PAS yang saban hari di lapangan sedar bahwwa rakyat Selangor.yang matang sudah sangat bersedia untuk menutut perubahan.
Teruslah begitu, Amir.
Roslan SMS
